01 December, 2009

Artikel Khas: Tulisan Jawi dan Anda


Ketika anda dalam keadaan hampir “terkucil” dan mencari tandas untuk menunaikan “hajat”, tiba-tiba anda berdepan dengan masalah tidak pandai membaca tulisan jawi, seperti dalam gambar di bawah.



Apakah yang patut anda lakukan?
1. Mengintai-intai mencari yang mana satu tandas perempuan dan yang mana satu pula tandas lelaki;
2. Menebalkan muka dan terus cuba mengeja secara merangkak-rangkak;
3. Bertanya dengan budak-budak yang lalu lalang dan mengaku anda tidak pandai mengeja jawi; atau
4. Membiarkan “khazanah” di dalam perut anda mengucil tanpa sempat bertinggung (bercangkung).

Jika anda tidak mahu mengalami nasib yang sedemikian, carilah guru dan belajarlah semula tulisan jawi sebelum terlambat...

Kamus Dewan Edisi-4
1. Kucil bermaksud keluar dari lubang (sesuatu yang dipicit).
2. Khazanah bermaksud barang-barang kepunyaan, harta benda, kumpulan (himpunan) sesuatu dan tempat menyimpan harta benda.
3. Tinggung/cangkung bermaksud duduk di atas tapak kaki dengan kaki berlipat dan punggung tidak diletakkan di lantai, berjongkok



Sedih mengenangkan nasib tulisan Jawi



Bacaan Santai...

TULISAN JAWI SEBAGAI MEDIA PERSURATAN MELAYU DAN ISLAM.
Oleh : Prof. Madya Dr. Abdul Hayie Abdul Syukur

Bahasa kerap dicanangkan sebagai jiwa bangsa, acuan budaya bangsa, bekas pengisi ilmu, media penyebar maklumat tentang agama dan kepercayaan, alat penghubung dan penterjemah hasrat hati dan saluran pengembangan idea dan pemikiran. Bahasa Melayu antara bahasa-bahasa manusia yang mengandungi padanya semua hakikat ini, manakala tulisan jawi adalah jalan persuratan bahasa budaya bangsanya.

Allah mencipta manusia, kemudian melengkapkan padanya nikmat Al-Bayaan (kebolehan bertutur), sama ada pertuturan lisan atau pernyataan tulisan, untuk berinteraksi dan menjelaskan apa yang tersembunyi di sudut hati. Kelainan bahasa pertuturan antara manusia dan perbezaan penjelasan tentang sesuatu, adalah sebahagian tanda kebesaran Allah yang setaraf dengan kelainan warna kulit. Allah berfirman yang bermaksud:


Antara tanda kebesaran Allah ialah perbezaan bahasa dan warna kulit kamu. Sesungguhnya pada yang demikian itu menjadi petanda bagi orang yang mengetahui.

Bahasa Melayu sama juga dengan bahasa-bahasa lain di dunia, mempunyai erti dan sumbangan yang tersendiri kepada Islam sebagai agama dan budaya bangsa, aqidah dan kepercayaan umatnya. Bagi umat Islam di rantau Nusantara dan alam Melayu, bahasa itu tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan harian. Melalui bahasa Melayu, umat mempertalikan dirinya dengan warisan silam, dengan persuratan Melayu dan budaya, dengan adat dan tamadunnya, dengan aqidah dan peradaban bangsanya.


Satu keistimewaan pada bahasa ini yang mungkin tidak wujud pada bahasa lain di dunia, walaupun penggunaan bahasa-bahasa lain itu lebih meluas dan pada peringkat yang lebih tinggi, ialah persuratan Melayu boleh ditulis sama ada dengan tulisan jawi atau lainnya (rumi). Persuratan Melayu dengan menggunakan huruf Arab yang juga disebut tulisan jawi, lebih dahulu mengambil tempatnya dalam persuratan Islam. Hubungan tulisan jawi dengan Islam dan bahasa Al-Quran lebih akrab dan harmoni berbanding dengan tulisan yang menggunakan huruf Latin atau rumi.


Pada beberapa dekad mutakhir ini, apabila tulisan jawi dipinggirkan daripada persuratan Islam, generasi muda dengan sendirinya terputus hubungan dengan warisnya Islam silam yang pernah membentuk budaya hidupnya, warisan yang pernah menjadi teks baginya untuk mempelajari fardu ain dan membaca Al-Qur'an. Tempatnya kini diambil oleh tulisan rumi, bukan sahaja pada persuratan berita, tetapi juga pada persuratan Islam dan budaya bangsa Melayu. Mampukah tulisan rumi memikul tanggungjawab yang selama ini dipikul tulisan jawi ?


Tidak keterlaluan jika saya katakan masalah sosial dan akhlak remaja yang melanda bangsa  Melayu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, adalah akibat peminggiran tulisan jawi daripada persuratan Islam dan budaya bangsa. Kadang-kadang saya meragui apakah tulisan yang sah dan rasmi bagi bahasa Melayu? Kemampuan tulisan rumi memikul tanggungjawab dalam persuratan berita, mungkin setanding atau hampir setanding dengan tulisan jawi, tetapi dalam persuratan Islam, keakraban jawi dengan sumber-sumber warisan Islam, jauh lebih tinggi dan lebih mampu berbanding tulisan rumi. Artikel ini tidak berhasrat mengurangkan status tulisan rumi dalam persuratan Melayu, tetapi sekadar menyatakan bahawa tulisan jawi adalah sebahagian daripada identiti bahasa dan jiwa bangsa Melayu, terutama ketika merujuk isu-isu yang berkaitan dengan persuratan Islam.


Bahasa Melayu dalam tulisan jawi, sejak kehadiran Islam dirantau ini, telah sekian lama menempa sejarahnya sebagai media persuratan Islam. Kitab-kitab jawi yang ditulis ulama silam, sama ada dari Minangkabau, Aceh,  Pattani, Kelantan mahupun dari tempat-tempat lain, hingga kini masih terpelihara dengan baik dalam berbagai-bagai tahap dan tingkat kemampuan pembaca dan dalam pelbagai bidang ilmu dan pengkhususan disiplin pengajian, bermula daripada kitab perukunan yang membicarakan fardu ain, sifat dua puluh hingga kepada Furuul Masaail dan Kasyful Lisaan yang ditulis dalam beberapa jilid yang tidak begitu ramai guru yang berani mengulas permasalahan, hukum dan falsafahnya, apa lagi orang-orang muda yang baru setahun jagung membalik-membalik nota kuliah dalam tulisan rumi.


Tulisan jawi sebagai media persuratan Islam dalam bahasa Melayu telah sampai ke tahap kejayaan yang sangat memuaskan umat Islam dirantau ini. Buku-buku agama atau kitab-kitab jawi sudah banyak yang dihasilkan dan tidak kurang juga yang memanfaatkan sebagai rujukan Islam bagi orang yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu, rakyat kemboja sebagai contoh, yang bahasa ibundanya bukan bahasa Melayu, sering menggunakan kitab-kitab jawi sebagai asas untuk mempelajari Islam. Kitab-kitab seperti Maniyyatul Musholli, Wasyaahul Afraah Wa Mishbaahul Falaah dan Mathla'il Badraini sangat berharga kepada mereka sebagai rujukan bagi pengetahuan Islam.


Saya tidak sependapat dengan sesetengah penerbit buku dan Jabatan Agama Islam yang menerbitkan kitab-kitab jawi lama dan karya ulama silam dalam tulisan rumi, kerana kelemahan yang berlaku di sana sini pada tulisan rumi boleh menjejaskan kekuatan bahasa Melayu sebagai media persuratan Islam. Usaha-usaha ke arah menerbitkan kitab-kitab jawi dalam tulisan rumi boleh dianggap sebagai satu langkah ke belakang yang sangat merugikan Islam dan bahasa Melayu sendiri.


Bahasa Melayu sama ada di Malaysia atau di Indonesia, adalah bahasa yang kuat dan mampu menjadi bahasa ilmu- ilmu Islam dan sekular. Sebagai bahasa pertuturan hampir 25 juta rakyat Malaysia atau hampir 200 juta rakyat Indonesia, ia tidak harus dipandang remeh. Asas utamanya ialah huruf Arab atau tulisan jawi. Kekuatan bahasa bertulisan jawi sejak awal kelahirannya lagi, jika tidak kerana bertunjangkan Islam, sudah lama bahasa ini lenyap tanpa kubur. Banyak sebab boleh digarap sebagai alasan yang mewajarkan kelenyapannya.


Hubungan antara bahasa Melayu bertulisan jawi dengan Islam sangat erat, bagaikan hubungan antara roh dengan jasad. Sesiapa yang mula mempelajari wahyu Islam, sepatutnya mempelajari mengikut tradisi pengajian. Warisan Islam dalam persuratan Melayu masih utuh, setakat ini tidak perlu diubah, kerana dibimbangi berlaku, seperti nasib labu-labu, labu yang dibaiki tikus. ".


Usaha memisahkan pengajian Islam di Nusantara daripada tulisan jawi, atau buku-buku teks yang menggunakan tulisan jawi, adalah usaha yang sangat malang. Kita tidak mengetahui sejauh mana kementerian pendidikan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasi masalah buta jawi dan Al-Quran dalam kalangan pelajar-pelajar lepasan sekolah menengah dan pusat-pusat pengajian tinggi. Saya sangat bersetuju dengan pandangan saudara Muhammad Jusoh dalam Utusan Melayu yang menekankan supaya usaha ke arah memantapkan pendidikan jawi dan Al-Quran disetarafkan dengan pendidikan agama. Langkah ini akan membolehkan pelajar digarap dengan kredibiliti keintelektualan yang unggul serta bersifat dinamik, bersesuaian dengan relevan semasa, demi melahirkan satu generasi yang bersesuaian dengan falsafah pendidikan negara.


Golongan yang tidak berminat dengan Islam, awal-awal lagi tidak menaruh sebarang cemburu jika tulisan jawi dihapuskan, kerana kebangkitan Islam boleh dikurangkan, atau sekurang-kurangnya boleh memutuskan hubungannya dengan zaman Islam silam Nusantara, dengan tulisan jawi dan dengan warisan budaya serta tokoh-tokoh Islam Nusantara yang pernah mengharumkan nama rantau ini dalam forum-forum antarabangsa

Nama tokoh-tokoh dan cendekiawan Melayu yang asalnya menerima pendidikan Melayu bertulisan jawi, seperti Muhsin bin Ali bin Abdul Rahman dari Palembang yang meninggal dunia di Mekah pada tahun 1935M, pernah mengharumkan rantau ini dengan karya-karyanya dalam bahasa Arab dan dengan kuliahnya yang dihadiri oleh pelajar-pelajar berketurunan Melayu dan bukan Melayu. Demikian juga dengan Muhammad Nawawi Bantin yang meninggal dunia di Mekah pada tahun 1898M, seorang tokoh yang dikagumi ilmunya di dunia Islam pada zamannya. Karyanya dalam bahasa Arab membuktikan keupayaannya menguasai seluruh bidang ilmu Islam. Demikian juga dengan Sheikh Muhammad Mahfuz Attarmasi (meninggal dunia selepas tahun 1911M / 1329H ) yang menjadi lambang pengajian hadis di Mekah pada zamannya. Mengapakah tokoh-tokoh berdarah Melayu ini tersembunyi daripada ingatan sarjana Melayu Islam, sedang orang Arab sentiasa merujuk buah-buah fikiran yang ditinggalkannya.


Malaysia hanya antara dua negara yang masih mempertahankan huruf Arab sebagai tulisan bagi bahasanya. Sebuah lagi negara yang menggunakan huruf ini ialah Pakistan, yang menggunakan huruf yang sama untuk menulis bahasa Urdu yang menjadi bahasa rasmi negara Pakistan. Negara-negara lain yang dahulunya menggunakan huruf ini telah lama hapus atau dihapuskan, kini sedang menerima akibatnya. Negara Turki dan beberapa negara Islam di Afrika sudah cukup berpengalaman dengan kesilapan ini. Istilah-istilah agama yang sebelumnya menggunakan bahasa Arab, kini ditukar dengan istilah bukan Arab, atau ditulis dengan huruf Latin yang bentuk dan sebutannya sudah kehilangan identiti dan jauh daripada pengertian asalnya. Golongan yang tidak berminat dengan Islam sedar bahawa istilah Arab lebih mampu membawa pengertian yang lebih bermakna kepada penghayatan Islam.


Pengaruh Bahasa Melayu kepada kebudayaan Islam di rantau ini dapat diperdalam pada konsep ketauhidan kepada Allah dan keesaan pada Asma' dan Af'alnya. Hiasan-hiasan pada bangunan masjid dan ruang-ruang rumah dengan ayat-ayat Al-Quran dan kain langsir yang dipilih daripada warna-warna yang sesuai dengan ketenteraman jiwa untuk orang bersolat, bentuk rumah Melayu dengan identitinya sendiri, dengan bilik-bilik tidur, ruang-ruang tetamu yang berpisah jauh dari dapur dan dengan posisi rumah yang mempunyai arah Kiblat yang tepat, membayangkan bahawa kebudayaan Melayu telah disebatikan dengan ajaran Islam sejak sekian lama, sehingga budaya ini sukar untuk dipisahkan daripada Islam.

Tidak rugi jika dikatakan Melayu di rantau ini adalah Islam, walaupun terdapat dalam masyarakatnya kumpulan orang yang menganut fahaman tidak bertuhan, atau yang terpesong daripada hidayat Allah, kerana jumlah mereka hanya sedikit, tidak boleh diambil kira. Itu pun budaya hidup mereka juga secara tidak langsung diresapi budaya Islam, sama ada disedari atau tidak disedari, disukai atau tidak disukai.

Kebudayaan Melayu rapat sekali hubungan dengan akhlak Islam. Kelembutan dan kehalusan budi yang sedia terpaku dalam masyarakat Melayu sebelum Islam, kemudian diperkukuhkan pula dengan ajaran Islam yang mengikatkan amalan sama ada baik atau buruk, dan dengan kepercayaan terhadap balasan baik di dunia dan di akhirat, menjadikan nilai-nilai yang baik sebagai mempunyai pertalian dengan akidah. Kebudayaan ini sesuai sekali dengan sabda Nabi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A: Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang terpuji.
Sebagaimana Islam mengutuk tuan punya ilmu yang tidak membuahkan akhlak yang terpuji dan peribadi yang mulia, kebudayaan Melayu juga mengajar kita, bahawa seseorang yang berilmu, seharusnya makin bertambah ilmunya makin baik pekertinya, bagaikan pokok padi, makin berisi makin tunduk ke bumi.

Kita perlu menegaskan bahawa hubungan antara Melayu dan Islam bukan seperti hubungan antara kayu dengan batu yang tidak mungkin bertemu hingga bila-bila, sama ada juzuk-juzuk besar atau kecilnya, tetapi lebih benar jika bandingan antara keduanya bagaikan hubungan manis dengan buah, ada manis kadang-kadang bukan buah, ada buah kadang-kadang tidak manis. Mengapa kita tidak menuju wawasan menjadikan buah itu semuanya manis, sedangkan teknologi yang ada memungkinkan kita berbuat demikian. Mungkinkah di sini wujudnya titik-titik pertemuan yang membawa penuh berkat antara Melayu dengan Islam?

Rencana ini diterbitkan ihsan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan.

Sedikit suntingan dari segi ejaan dan tatabahasa oleh Mybabah.

11 comments:

Md Nizar Parman said...

Salam Babah,
Alhamdulillah kerana di Johor ini ada kurikulum khas sekolah agama bantuan kerajaan negeri yang mengajarkan pelbagai bidang agama menggunakan tulisan jawi. Dan, alhamdulillah kerana saya dapat menguasai tulisan Jawi dan membacanya dengan lancar. Kita mesti sedar, tulisan jawi itu berasaskan abjad Arab. Jika kita tidak menguasainya, bagaimana kita hendak membaca al-Quran?

Unknown said...

Salam Cikgu Md Nizar.
Itulah kelebihan negeri Johor berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Namun secara umumnya, tampak jelas kemerosotan penggunaan tulisan jawi dari tahun ke tahun. Sikap orang Melayu yang terlalu mudah berkompromi dalam segala segi dan bersikap tidak endah tentang hal ini, memungkinkan suatu masa nanti, tulisan jawi menjadi sangat terasing di negara kita sendiri. Wallahualam.

Maiyah said...

patutnya tulisan jawi ni wajib kene tau bg suma pelajar.. tulisan jawi ada kene mengena gak ngan agama kita.. tapi ramai pelajar pun tak minat nak kuasainya

masa zaman sy dulu sy suka baca jawi ni.. mula2 merangkak tapi tak mngalah last2 bleh baca lancar, tapi tgk le semakin terpinggir tulisan jawi

Guru said...

assalammualaikum

saya dan tulisan jawi ni agak menjauh sedikit...
mmm... masalah

*lagi satu masalah ialah nak menulis komen dalam blog teacherrahila... kenapa ya? saya seorang je ke yang bermasalah?

Unknown said...

Salam Maiyah. Sekarang orang hanya tahu masuk jawi je lagi. Baca jawi tak tahu dah. Kita sebagai orang Melayu prihatin, kena sama-sama mempertahankan warisan bangsa ini.

Salam Cikgu Normah. Tugas cikgu lagi berat. Bagaimana nak mengajar kimia guna tulisan jawi ye. Payah tu..Pasal blog teacherrahila, blog itu masih dalam pembinaan. Dia tengah karang cerita pengalaman kami kehilangan anak yang meninggal dunia akibat kanser otak. Dunia macam kiamat. Saya rasa lambat lagi kerana baharu sebaris dah menangis. Insya-Allah, suatu masa nanti blog itu akan kerap dikemas kini. Wallahualam.

kuina said...

terus terang ckp sy tak la pandai sangat membaca & menulis jawi nie.. tp klu tetakat tandas tu tak tersilap la kot...

ayen =D said...

salam.
tertarik dengan banner blog.. your iltizam..

berkaitan tulisan jawi.. teringat baru2 ni nak ke toilet di surau selepas solat aiduladha. reti tu reti, tapi kena tenung sign board tu lebih beberapa saat lah berbanding sign board rumi hehe.. msti sedih ustazah saya ms skolah dulu kan kalau tau.. ngeh3...

en_me said...

salamm singgah jerr.. ehehe

Unknown said...

Salam Insinyur Kuini, ayen=D dan en_me. Blog anda masing-masing ada daya penarik, kecuali ayen=D kerana susah nak masuk. Kena jadi pengunjung eksklusif dahulu baru boleh masuk. Apa-apapun, terima kasih kerana sudi datang mampir dan beri ulasan dalam blog babah.

cm said...

salam
masa CM dulu, tulisan jawi diajar as a subject di sekolah rendah, so tak ada masaalah sangat... tetapi selepas tu ditiadakan..itu yg ramai tak tahu jawi!!

pecinta_Islam said...

kan senang klu letak simbol jerk..hehe..mungkin akan ada jg sesetengah yg nk kene mengeja dlu..dah la sakit perut.hehe..tandas pelajar lelaki,tandas pelajar perempuan..x pun tulis je lelaki, perempuan.hehe..tp moral disebalik n3 ni adalah kelebihan bahasa jawi dan bukanlah soal tandas tu..huhu..semenjak kedatangan inggeris ke tanah melayu bahasa jawi mula dilupakan.sdh2

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...