Dalam bahasa Melayu asli, orang kita hanya boleh menghitung sehingga seratus ribu (?) yang dipanggil keti (100,000). Kata bilangan sebelum keti ialah laksa (10,000). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4 untuk makna kedua-dua kata aksara (angka/nombor) itu. Dengan pengaruh bahasa sanskerta, kita mendapat satu lagi kata bilangan, iaitu juta (1,000,000). Antara ketiga-tiga kata aksara tersebut, yang masih bertahan dalam penggunaan hingga sekarang ialah juta, yang mewakili jumlah seribu ribu. Kata nombor laksa kini telah bertukar menjadi kata nama makanan yang terkenal di Johor, Penang dan Sarawak, iaitu Laksa Penang, Laksa Johor dan Laksa Sarawak. Manakala kata nombor keti telah lama terkubur.
Pengaruh bahasa Inggeris membawa masuk perkataan milion (istilah lama bagi kata nombor juta), bilion dan trilion pula. Peminjaman kata bilion dan trilion diserap terus ke bahasa Melayu kerana aksara sebanyak ini tidak pernah tergambar oleh masyarakat Melayu lama (?), Wallahualam.
Sebermula, maka Raja Suran pun berkira-kira hendak menyerang negeri China. Maka baginda menyuruhlah menghimpunkan segala bala tenteranya. Maka sekalian rakyat pun berkampunglah daripada segala pihak negeri, tiada terpermanai lagi banyaknya. Maka segala raja-raja yang takluk kepada Raja Suran itu pun sekaliannya datang dengan alat senjatanya, dan dengan segala rakyatnya sekali; adalah banyaknya seribu dua ratus laksa. Setelah sudah sekaliannya berkampung, maka Raja Suran pun berangkatlah hendak menyerang benua China. Maka adalah daripada kebanyakan rakyat berjalan itu segala hutan belantara pun habislah menjadi padang, dan bumi pun bergetar seperti gempa, dan gunung pun bergerak runtuh kemuncaknya, dan segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata, dan batu pun habis berpelantingan dan segala sungai yang besar-besar pun habislah kering, jadi seperti lumpur, kerana dua bulan perjalanan rakyat itu tiada berputusan lagi; jikalau pada malam yang kabut sekalipun menjadi terang seperti bulan purnama pada ketika cuaca daripada kebanyakan cahaya senjata dan kilat mahkota segala raja-raja; dan jikalau halilintar di langit berbunyi sekalipun tiada kedengaran daripada kesangatan bunyi tempik segala hulubalang dan sorak segala rakyat, bercampur dengan bunyi gajah, kuda, tiada lagi sangka bunyi. Maka segala yang bertemu dengan Raja Suran itu habislah dialahkannya. Maka segala negeri itu semuanya habis takluk kepada baginda....
Dipetik daripada "Sejarah Melayu", W.G.Shellabear, Fajar Bakti, 1996, Cetera yang Pertama, pp.8-9.
Sambungan Selembar Benang
Ejen vs agen
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi agent ialah ejen yang bermaksud wakil jualan. Jika ejen dieja agen, makna itu akan berubah kepada sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas (proses dsb): ~ pendebungaan.
Agensi vs ejensi
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi agency ialah agensi yang bermaksud organisasi perniagaan. Ejensi pula tidak membawa apa-apa makna.
3 comments:
salam
saya rasa blog awk sgt patriotik, hebat. Saya sangat tertarik dengan usaha memartabatkan bahasa melayu yang sebenar. Saya akui diri saya masih banyak melakukan kesilapan dlam berbahasa.
Bagus sekali jika blog saudara dapat perhatian dari rakan-rakan blog yang lain. Cuma saya dapati di sini, dari segi pemberi komen tidak mendapat sambutan, walaupun jumlah pengikut saudara berjumlah tinggi. (termasuk antaranya saya sendiri)
Saya ingin memberi pandangan, atas dasar menyokong usaha saudara membetulkan penggunaan bahasa melayu sebagai usaha memartabatkannya, untuk saudara melebar luaskan promosi blog ini agar mesej merafakkan bahasa ini sampai kepada sasaran.
Salah satu cara untuk mempromosi paling mudah adalah dengan membaca dan memberi komen pada artikel blog2 org lain. Namun saya harap dan saya yakin saudara tidak akan komen tentang penyalahgunaan bahasa di artikel oleh mereka. Tentu akan buatkan mereka berasa hati dengan saudara. Sebaliknya dengan komen yang membina yang terkait dengan artikel yang ditulis, dan menjadi pengunjung setia mereka,saya yakin usaha sebegini akan menarik minat mereka untuk bertandang ke sini membaca artikel saudara.
Selain itu, bagus juga jika saudara mengadakan sedikit variasi dalam genre tulisan saudara agar lebih menarik minat orang yang datang. Mungkin tulisan bersahaja, bercampur formal dan kurang formal. Tajuk2 entri yang memukau tetamu untuk terus membaca. Artikel yang relevan dengan isu-isu semasa, tapi dikupas dari sudut penggunaan bahasanya. Menulis sesuatu yang mencetus pembaca meninggalkan komen,mungkin dengan menigalkan soalan yang perlu dijawab oleh pembaca di akhir artikel.
Itu sedikit pandangan saya. Sekali saya nyatakan bahawa cadangan ini saya kemukakan atas dasar menyokong usaha mulia saudara. Saya minat. Saya suka. Saya pun masih banyak perlu belajar dan betul-betulkan.Saya harap saudara tidak salah tafsir dengan cadangan yang saya ungkapi ini.
Moga selepas ini blog ini bakal terserlah dipersada dunia blog tidak bertepi ini.Saya doakan yang terbaik buat saudara.
Dengan tulisan ini juga, saya mengumumkan untuk membuat pautan ke blog saudara dalam blog saya. InsyaAllah saya akan bertandang dengan rela dan suka, setiap kali saudara mengemaskini laman indah ini.
Waalaikum salam. Ya, saya memang bercadang untuk melayan blog orang lain juga. Bagaimana orang mahu berkunjung ke rumah kita,jika kita tidak menziarahi dan berbual-bual dengan mereka. Kita ni siapalah? Baharu 2 minggu beroperasi. Followers yang ramai tu pun kerana saya jemput mereka. Saya rasa waktu saya buat "marketing" hampir tamat. Perlu sentuhan peribadi pulak. Terima kasih kerana komen membina daripada anda.
jom kembali bersekolah.. hehe... =)
Post a Comment