22 October, 2009

Selembar Benang 7


Hampir seminggu kita meninggalkan bulan Syawal, iaitu bulan raya bagi orang Islam.  Sehingga ke saat akhir, masing-masing beraya betul (betul di sini bermaksud sungguh). Sakan tidak boleh digunakan kerana perkataan sakan dalam ayat ini tidak memberi maksud sebenar Si Penutur. Makna sebenar sakan ialah banyak (barang dan lain-lain), teruk (penyakit), berat; lebat (hujan).

Minggu ini saya ingin mengulas sedikit tentang beberapa perkara yang berkaitan dengan perkataan raya.

Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, raya bermaksud besar.  Oleh itu, hari raya boleh diertikan sebagai hari besar atau hari kebesaran.  Ungkapan lain yang menggunakan kata raya adalah seperti bandar raya (ditulis dua perkataan; salah jika dieja satu perkataan kecuali kata nama yang telah diwartakan seperti Dewan Bandaraya) yang bermaksud bandar besar, jalan raya atau lebuh raya - jalan besar, gendang raya - gendang besar dan hantu raya - hantu besar (mengikut fahaman orang Melayu).
Hantu Raya

Selain itu, raya juga bermakna awam atau umum, seperti yang digunakan untuk ungkapan balai raya,  Jabatan Kerja Raya, pendakwa raya dan sebagainya.

Salah satu penggunaan yang salah bagi perkataan raya ialah pasar raya besar.  Pasar raya besar digunakan untuk merujuk pada perkataan bahasa Inggeris hyper market   kerana perkataan pasar raya telah digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan supermarket (pasar mini untuk mini market).  Apabila kita mengambil kira makna raya itu sebagai besar, maka perkataan pasar raya besar sebenarnya membawa maksud pasar besar besar.  Lucukan? Sebagai alternatif, saya mencadangkan istilah hyper market itu diganti kepada pasar hiper (?).  Apa pendapat anda?


 

Walau bagaimanapun, saya tetap tidak akan bersetuju dengan frasa kata duit raya (duit besar) dan kuih raya (kuih besar) kerana saya masih kurang mampu untuk menyediakannya.

Sambungan Selembar Benang

Merasa vs berasa
Berasa bermaksud rasa (yang dialami oleh bahagian badan), manakala merasa(i) bermaksud mengecap (makanan atau minuman); mencicip.   
Contoh:
Kakinya berasa (bukan merasa) sengal, seluruh badannya berasa sakit. 

Hanya vs sahaja
Perkataan hanya dan sahaja mempunyai maksud yang sama.  Menggunakan perkataan ini bersama-sama adalah salah.
Contoh:
Salah: Saya berada di Kuala Lumpur hanya sehari sahaja.
Salah: Saya berada di Kuala Lumpur hanya sehari.
Betul:  Saya berada di Kuala Lumpur sehari sahaja.

Jumpa lagi...

2 comments:

Kakcik Seroja said...

Assalamu'alaikum...

Kakcik suka berkunjung ke sini. Terima kasih kerana membuka 'kelas maya' ini.

Unknown said...

Waalaikum salam Kak Cik,
Nanti saya juga akan selalu berkunjung ke blog Kak Cik. Kita masing-masing klik pada iklan masing-masing. OK.

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...