13 October, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 2


Terdapat desas-desus dalam kalangan kita yang mengatakan tatabahasa yang betul tidak penting.  Kononnya, yang lebih utama dan yang patut dititikberatkan ialah mesej yang ingin disampaikan perlu tepat.  Hari ini, saya cuba menyangkal pendapat ini dengan mengemukakan bukti bahawa tanpa tatabahasa yang betul, mesej yang akan diterima pembaca atau pendengar mungkin boleh menyimpang daripada maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis atau penutur. 

Pertamanya, saya akan memberikan satu contoh paling asas dalam tatabahasa ,iaitu kesalahan menggunakan tanda baca, seperti koma (,) yang boleh mewujudkan kekeliruan makna.  Cuba amat-amati contoh berikut dan tanya pada diri anda apakah perbezaan makna pada kedua-dua ayat ini?.
(i)         Ramli bertanya kepada Rahmah, “Apa khabar Mak Long?”
(ii)        Ramli bertanya kepada Rahmah, “Apa khabar, Mak Long?”

Dalam ayat (i), Rahmah dan Mak Long ialah dua individu yang berlainan manakala dalam ayat (ii), Rahmah dan Mak Long itu ialah individu yang sama. Perhatikan pula contoh di bawah ini.  

MENCARI DAMAI ABADI
 Aku cari bukan harta bertimbun-timbun,
Untuk hidup kaya,
Aku cari bukan wang berjuta-juta,
Untuk hidup bergaya,
Aku cari bukan kawan-kawan,
Untuk hidup sekadar berfoya-foya,
Aku cari mana dia Al-Ghazali,
Aku cari mana dia Al-Shafie…

Rangkap sajak di atas ialah sebahagian daripada sajak yang pernah dideklamasikan oleh bekas Perdana Menteri kita, Y.A.B. Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi.  Apakah yang anda faham tentang frasa yang dihitamkan dan diitalikkan di atas? Pada pemahaman saya, hadirnya perkataan sekadar dan koma (,) pada frasa sebelumnya telah menonjolkan pengakuan sememangnya “Aku masih berfoya-foya”, walaupun bukan itu yang dimaksudkan oleh penulis.  Sepatutnya ayat itu berbunyi Aku cari bukan kawan-kawan yang hidup sekadar berfoya-foya.  

Sajak ini kekal terpampang di laman web Pejabat Perdana Menteri sehinggalah beliau bersara sebagai Perdana Menteri kita.  Kesilapan ini tidak pernah mendapat teguran daripada mana-mana pakar bahasa. Malah, sajak ini telah pun diserap ke dalam bentuk lagu yang dialunkan oleh penyanyi popular bernama Ramli Sarip. Berpunca daripada lagu inilah saya mula menyedari kejanggalan sajak tersebut. Ditambah pula dengan intonasi penyanyi berkenaan ketika menyampai rangkap itu, menguatkan lagi tanggapan saya yang sedemikian.  Ketika itu, saya berharap ada pihak yang berani tampil menegur kesilapan ini kerana gambaran yang diberikan melalui frasa itu amat berbeza dengan sikap Perdana Menteri yang kita kenali. 

Sekarang perhatikan pula contoh kesan penggunaan perkataan ekshortatif, yakni kata seruan yang menyeru-nyerukan pendengar atau pembaca.  Penutur atau penulis yang kerap menggunakan perkataan seperti hendaklah, wajiblah, perlulah, kenalah, haruslah, dan mestilah, pada hakikatnya meletakkan diri mereka pada tempat yang lebih tinggi daripada audiens mereka tanpa mereka sedari.  Malah, ayat-ayat yang terhasil daripada perkataan ekshortatif ini menyembunyikan kenyataan “tuduhan” di sebalik ayat itu.  Bayangkan isteri anda (bagi lelaki) berkata kepada anda, “Abang mestilah balik cepat” atau seorang kakitangan berkata kepada pegawai atasannya, “Encik Ali kenalah beri saya bonus yang lebih sedikit”.  Apakah perasaan anda? Atau seorang guru menulis satu surat pekeliling untuk ibu bapa murid-muridnya yang berbunyi “Ibu bapa hendaklah mengawasi siapa kawan anak-anak”.  Di sebalik ayat itu tersembunyi tuduhan bahawa ibu bapa tidak mengawasi kawan anak-anak mereka. Dalam contoh yang ketiga ini, perkataan-perkataan eksortatif tersebut boleh diganti dengan kata “perlu” sebagai alternatif. Meletakkan perkataan pada tempat yang salah boleh memberi makna yang salah, malah boleh menyinggung perasaan pembaca atau pendengar. 

Kesimpulannya, hindarilah pendapat songsang yang mengatakan tatabahasa yang betul tidak begitu penting.  Teruskan iltizam untuk mempelajari tatabahasa Melayu yang betul supaya maklumat yang ingin disampaikan tepat dan tekal seperti yang dimaksudkan.  

Setelah menghurai kepentingan bahasa Melayu pada siri yang lepas dan disusuli pula dengan sanggahan tentang dakwaan bahawa tatabahasa kurang penting berbanding dengan mesej yang ingin disampaikan, e-Tip Bahasa Melayu yang akan datang akan menghuraikan perbezaan antara kata ialah dan adalah. 

Wallahualam. 

Nota:
Intonasi = turun naik atau tinggi rendah nada suara ketika bercakap
Iltizam = komitmen
Tekal = konsisten

No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...