13 October, 2009

Selembar Benang 1



Pagi kelmarin semasa sesi perkongsian ilmu, jika saya tidak tersilap dengar Encik Ghazali ada berpepatah, iaitu katanya "buat kerja seperti melepaskan batuk di tangga". Keindahan pepatah Melayu, meskipun lembut bunyinya, tetapi mampu meruntun jiwa dan memberi pukulan maut kepada Si Penerima. Walau bagaimanapun, tidak semua orang faham tentang maksud tersurat yang terkandung dalam pepatah "seperti melepaskan batuk di tangga", walaupun hampir semua tahu maksudnya tersirat, iaitu sesuatu pekerjaan yang dilakukan secara sambil lewa. Persoalannya, apakah kaitan antara melepaskan batuk di tangga dengan kerja sambil lewa? Apakah logiknya, sekadar batuk di tangga dikatakan kita ini membuat kerja tidak bersungguh-sungguh? Pada hakikatnya, perkataan batuk yang terdapat dalam peribahasa ini bukanlah batuk seperti yang kita fikirkan. Batuk ini ialah batok pencedok air yang diperbuat daripada tempurung kelapa untuk membasuh kaki sebelum masuk ke rumah seperti gambar di bawah ini:



Oleh itu, maksud sebenar peribahasa ini ialah:
Maksud tersurat: Jangan melepaskan batok di tangga, letakkan betul-betul di tempatnya.
Maksud tersirat: Buat sesuatu jangan sambil lewa. 

Oleh sebab vs oleh kerana
Penggunaan oleh yang diikuti kerana dalam ungkapan oleh kerana adalah salah. Ini disebabkan oleh (kata sendi nama) mesti diikuti oleh kata nama atau frasa nama, sedangkan kerana ialah kata hubung. Bentuk yang betul ialah oleh sebab.

Contoh:
Salah: Oleh kerana sesuatu halangan, dia tidak dapat hadir.
Betul: Oleh sebab sesuatu halangan, dia tidak dapat hadir.

Ingat, penggunaan oleh kerana adalah salah dari segi tatabahasa Melayu!
Kata hubung tidak boleh disamakan dengan kata nama sebab.

Contoh:
Salah: Mesyuarat itu ditangguhkan sebab pengerusinya tidak dapat hadir.
Betul: Mesyuarat itu ditangguhkan kerana pengerusinya tidak dapat hadir. 

Berhemah vs berhemat
Dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4, berhemah bermaksud mempunyai budi pekerti, manakala berhemat pula bermaksud berjimat/ bercermat. Oleh itu, penggunaan kata berhemah seperti dalam slogan "Amalkan Pengurusan Kewangan Berhemah Sebagai Budaya Hidup" adalah jauh sekali daripada maksud sebenarnya. Slogan ini boleh anda lihat di dalam laman web AKPK.

Sekian, semoga berjumpa lagi minggu hadapan.

No comments:

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...