20 October, 2009

e-Tip Bahasa Melayu 6


Kadangkala semasa menulis alamat pada sampul surat, ataupun ketika menulis nama khas, khususnya nama tempat dalam sesuatu laporan, timbul keraguan sama ada ejaan nama itu betul ataupun tidak, meskipun nama-nama tersebut biasa kita dengar. Semasa berada di Alor Star (?) baru-baru ini, saya menjadi keliru dengan ejaan sebenar nama Alor Star, ibu negeri Kedah atau Negeri Jelapang Padi itu. Jika anda ke sana, anda akan melihat Alor Star dieja silih berganti dengan Alor Setar (sila lihat gambar di bawah).



Bagi mendapatkan kepastian, saya bertanya kepada beberapa kenalan yang tinggal di sana tentang perkara ini, namun jawapan yang diterima agak kabur. Malah kebanyakan mereka tidak sedar akan perkara ini. Saya sendiri tidak sangka wujudnya konflik pada ejaan nama Alor Star, dan sebelum ini saya terus menerus berpegang pada ejaan Alor Setar, sehinggalah saya memperoleh jawapan rasmi daripada pihak Majlis Perbandaran Alor Star. Pihak Majlis menghuraikan panjang lebar tentang susur galur penggunaan nama bandar itu. Saya amat berpuas hati dengan penjelasan itu, setelah gagal mendapatkan maklum balas yang memuaskan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Ejaan sebenar nama Alor Star ialah Alor Star, bukan Alor Setar, seperti tanggapan awal saya. Nama Setar hanya digunakan secara rasmi untuk Kota Setar, iaitu satu kawasan Parlimen di Kedah. Di sini bukanlah niat saya untuk berceloteh panjang lebar tentang sejarah ejaan nama Alor Star, tetapi kesalahan mengeja sesuatu nama khas (terutamanya untuk nama-nama penting) boleh mencemar kredibiliti kita yang tidak prihatin tentang perkara sebesar ini.

Selain Alor Star, nama-nama tempat lain yang sering disalah eja ialah Klang (bukan Kelang - ejaan nama kelang hanya terpakai untuk Sungai Kelang sahaja), Kota Bharu (bukan Kota Bharu atau Kota Baharu), Johor Bahru (bukan Johor Bharu atau Johor Baharu) dan Terengganu (bukan Trengganu). Dalam isu yang sama, beberapa tahun lalu Kerajaan Negeri Melaka telah menetapkan perkataan 'Melaka' wajib digunakan untuk semua kegunaan rasmi (sila rujuk laman rasmi Kerajaan Negeri Melaka di www.melaka.gov.my) atas alasan tertentu, walaupun dalam bahasa Inggeris sebelum ini Melaka dieja 'Malacca'. Walau bagaimanapun, ramai pihak tidak mengendahkan gesaan ini, termasuk akhbar utama berbahasa Inggeris yang masih terus menerus mengeja 'Melaka' dengan 'Malacca'.

Sambungan e-Tip Bahasa Melayu

e-Tip Bahasa Melayu kali ini menjelaskan kesilapan penggunaan kata adalah yang juga berlaku dalam bentuk-bentuk yang berikut:

1. Ayat atau frasa yang tidak memerlukan penggunaan kata adalah kerana
    tanpa kata adalah sudah mencapai maksud dan menepati struktur
    tatabahasa.
    Contoh:
    Salah: KWSP adalah merupakan sebuah institusi...
    Betul: KWSP merupakan sebuah institusi...

2. Pada umumnya kata adalah tidak boleh hadir dengan kata nafi seperti:
    Contoh:
    Salah: Arahan itu adalah bukan untuk semua pegawai.
    Betul: Arahan itu bukan untuk semua pegawai.


     Namun begitu, terdapat pengecualian, seperti ayat yang berikut:
     Contoh:
     Betul: Keputusan itu adalah tidak adil.

Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...