06 January, 2010

Kaki...


Mengapa pejalan kaki perlu ada kaki (pejalan kaki), sedangkan pelari tidak perlu kaki? Seperti berjalan, berlari juga menggunakan kaki. Dalam Kamus Dewan Edisi ke-4, Pedestrian bermaksud pejalan kaki. Jika perkataan kaki tidak relevan, buang sahajalah, seperti kita membuang kaki dalam ukuran metrik. Ukuran kaki digantikan dengan meter.


Pejalan @ pejalan kaki


Lucu dan salah

Football pula tidak dipanggil bola kaki, sebaliknya bola sepak. Foot bermakna kaki. Ke mana perginya kaki? Kaki bola lain pula maksudnya...



Siapa pernah melihat kaki gunung atau kaki langit? Gunung dan langit ada berapa kaki?



Apa pula maknanya siar kaki? Sila lihat papan tanda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di bawah. Dahulu laluan jalan kaki dipanggil orang kaki lima (five foot way, pavement, sidewalk) dan digantikan pula dengan siar kaki. Walau bagaimanapun, istilah kaki lima masih kerap digunakan. Timbul pula persoalan, mengapa kaki lima, tidak kaki enam, kaki tujuh atau kaki lapan?


Siar kaki jarang didengar dan salah dieja

Apabila kaki ditambah imbuhan “meng”, perkataan itu menjadi “mengaki”. Tahukah anda apakah makna mengaki? Mengaki bermaksud menurut segala perintah, mengabdi, patuh. Contoh ayat: Betapa samsengnya ia, tunduk mengaki juga kepada anggota polis.


Meskipun betina merupakan panggil untuk haiwan, tetapi kaki betina ialah orang

Makna lain bagi kaki:

1. Bahagian (sebagai penyangga atau penopang) tempat sesuatu benda berdiri: ~ kerusi; ~ meja;

2. Bahagian yang di sebelah bawah sesuatu; ~ gunung bahagian bawah gunung; ~ kain bahagian kain sarung yang di sebelah bawah; ~ langit bahagian langit yang kelihatan seperti bertemu dengan permukaan laut atau bumi; ~ seluar bahagian seluar yang menyelubungi kaki (apabila dipakai);

3. Penjodoh bilangan bagi beberapa jenis benda: se~ bunga; se~ payung; se~ kunyit;

4. Ukuran panjang yang sama dengan 12 inci atau 30 sentimeter: kira-kira satu ~ setengah tingginya;

5. Orang yang suka melakukan sesuatu: ~ arak; ~ pancing; ~ arak orang yang suka minum arak; ~ bajang tiang yang beralaskan batu dll yang lebar; ~ bangkang orang yang sering menentang atau tidak bersetuju dengan pandangan, pendapat dsb orang lain; ~ bangku (orang yang) tidak pandai bermain (menyepak) bola; ~ botol, kaki arak, kaki tunggang orang yang suka minum minuman keras; ~ buli orang yang suka menyakiti, menganiayai atau menakuti orang yang lemah (untuk membuat sesuatu); ~ butang benang penjahit yang dililitkan di bawah butang yang dikenakan pada baju dll; ~ gaduh (orang yang) suka bergaduh; ~ hutan tepi (pinggir) hutan; ~ judi (orang yang) suka berjudi; ~ lima a) lantai di antara depan (deretan) kedai atau rumah dengan tepi jalan; b) lantai yang beratap yang menghubungkan dua buah rumah; ~ (meng)umpat orang yang suka mengumpat; ~ pancing orang yang suka dan biasanya pandai memancing.

6. Perumpamaan: ~ papan unit ukuran papan gergaji (dengan dimensi satu kaki panjang, satu kaki lebar, dan satu inci tebal); ~ perempuan orang yang suka main perempuan; ~ seribu lari kerana ketakutan, langkah seribu; ~ telanjang kaki yang tidak berkasut; ~ tengkar orang yang suka bertengkar; ~ tiga penopang kamera dll, tripod; ~ tiung padi yang hampir masak; ~ naik, kepala turun prb tidak berhenti-henti bekerja utk mencari rezeki; ~ pekuk lenggang ke perut prb orang yg hodoh; ~ sudah terlangkahkan, tangan sudah terjembakan Mn, prb sudah melakukan kesalahan; berjalan peliharakan ~, berkata peliharakan lidah prb berhati-hati apabila melakukan atau memperkatakan sesuatu; cepat ~ ringan tangan prb sangat cekap dan suka menolong; naik basuh ~ sahaja prb mendapat sesuatu dgn mudah sahaja; terikat ~ tangan prb tidak bebas atau tidak berkuasa (lagi).


Kaki tidur...

31 comments:

Sharinginfoz said...

rasanya tak sempat nak tengok signboard bagi pelari.. sebab tu le ada pejalan kaki aja..

Masa itu Time

First Day Smart Reader

Unknown said...

Oh gitu! Lari terlalu pantas...Logik juga.

terokai seni said...

ada unsur ganas sikit entri ni... rasanya sebelum jawab semua orang kena tengok kaki la baru jawab

Unknown said...

Salam Cemomoi. Banyak lagi kaki yang tak dimasukkan spt kaki bodek (ampu), kaki lapor, kaki rasuah dll. He...he...

eelobor said...

gabungan antara kaki & tangan menjadikan seseorang yang berkerja. kenapa kepala tidak di masukkan sekali yer? hehehehe

Unknown said...

Salam Eelobor. Pening juga kepala memikirkan mengapa hanya kaki dan tangan sahaja dipanggil pekerja? Mungkin kepala selalu pening punca utama kepala terpaksa diketepikan...

rosnanie said...

hahaha... babah mcm buat kuiz pulak... hehehe.. cuma mlm ni tak brapa semangat nak pk, hehehe...

Unknown said...

Salam Ros. Kadang-kadang pertanyaan dibuat bukan untuk mendapat jawapan,tetapi untuk memantapkan fahaman/pegangan orang yang ditanya atau mendorong orang lain berfikir. Pertanyaan merupakan satu senaman minda.

Azhar Salleh said...

Salam TUAN SAMSUDIN,
Persoalan dan isu yang dicatat dalam entri ini, memang menarik! Perlu difikirkan segala persoalan tersebut. Insya-Allah, akan saya berikan komen nanti. Yang penting, inilah bahasa Melayu, yang kaya, mewah, dan bervariasi, yang selalunya tidak begitu wujud dalam bahasa lain. Teruskan mencatat persoalan bahawa begini.

Azhar Salleh said...

Ralat,
...teruskan mencatat persoalan bahasa begini.

jebat_berani said...

menarik sekali...selain kaki mungkin ada lagi perkataan lain yang boleh dihuraikan sebegini...

Unknown said...

Salam Munsyi Azhar. Saya sangat berbesar hati dengan komen tuan munsyi. Semestinya saya menunggu kupasan daripada tuan.

Unknown said...

Salam Jebat. Sebelum ini saya pernah menghurai perkataan banjir dengan agak mendalam. Sekarang sedang mengumpul maklumat tentang perkataan tengok, lihat, tinjau, jeling, pandang, tenung, calik, jenak,lengung dan banyak lagi. Semua perkataan ini sama makna tetapi berlainan tujuan.

Catwoman said...

Salam Babah.....

Kaki makan mcm sy mcm mana ekkkk? Nama je kaki makan, tapi kurus... hihihihi..

;)

Unknown said...

Zyma, babah belum pernah dengar orang kata kaki makan. Mungkin kaki dan makan tidak sesuai digabungkan kerana kita makan dengan tangan. Pasal kuat makan tetapi kurus, orang tua-tua kata sebabnya ialah tak baca bismillah. Makanan yang banyak dikongsi bersama syaitan...Harap2 Zyma tak lupa baca bismillah.

mazru said...

kaki kaki ade tak? hehehe

abu muaz said...

banyak lagi kaki-kaki lain tuan. seperti kaki ayam.
tapi kaki ampu merosakkan segala-galanya.

menarik sungguh tulisan tuan.

Werdah said...

Salam Samsudin,

selain kaki makan yg Zyma sebutkan tu, ada juga kaki tidur, kerjanya memanjang je tidur.. tp ada ke pepatah macam tu dalam Bahasa Melayu.

Unknown said...

Penjalan kaki..
Bila dah terbiasa jadi biasa2 lah pulaknya..
Seperti kes penipu..bila dok hebah selalu..dok perkata selalu.. lama2 masyarakat akan terpercaya dan terpedaya juga..

Unknown said...

Salam Mazru. Kaki kaki belum ada. Tetapi untuk tujuan jamak ok seperti kaki-kaki penipu bukan kaki penipu-kaki penipu. Wallahualam.

Unknown said...

Salam Abu Muaz. Kaki ayam buat sup sedap. Tetapi maksud sebenar kaki ayam rasanya semua orang tahu, iaitu kaki tanpa kasut.

Unknown said...

Salam Werdah. Kaki bermakna suka. Sebelum PM skrg, ramai ok kata PM kita dulu kaki tidur. Kononnya suka tidur. Tetapi saya rasa, tidak begitu. Dia bukan suka-suka tidur, tetapi tak sengaja tidur. Apabila tak sengaja, tak bolehlah disebut kaki tidur. Wallahualam.

Unknown said...

Salam Lan. Kebanyakan pelaku menggunakan imbuhan pe seperti pejalan, pelari, pelukis, pemain dll. Ada juga guna imbuhan pen seperti pencuri, pentadbir, penolong dll. Ini yang membuatkan kita selalu "confuse". Wallahualam.

Umi Azuddin said...

Salaam Tuan Samsudin,

Banyaknya boleh dikupas daripada perkataan 'kaki'. Sungguh menarik! Mungkin tuan boleh ulas tentang penggunaan nama anggota badan yang lain seperti 'tangan', 'kepala', 'mata', 'mulut' dan sebagainya. :)
Baru perasaan kebanyakan penggunaan 'kaki' bagi orang yang suka melakukan sesuatu, lebih menjurus kepada perkara yang negatif. Kalau orang yang 'kaki masjid', gelaran apa yang lebih sedap dipakai ya?

VpeaceV

Unknown said...

Salam Umi. Dalam konteks persoalan yang ditanya, kaki bermaksud orang yang suka melakukan sesuatu (perbuatan). Masjid kata nama. Oleh itu, saya cadangkan kita guna kaki solat/sembahyang.

CITY® said...

heheheh...

kakitangan..

kukikiskukukakiku

heeeeeeeeeeee

Unknown said...

Salam BluE, apa bendanya kukikiskukukakiku?

Unknown said...

Awat semua orang panggil nota kaki?

Unknown said...

Salam budak kampung. Sesekali datang bertanya, tersentak saya dibuatnya. Terima kasih atas pertanyaan. Nota kaki ialah istilah yang diterjemah langsung daripada bahasa Inggeris, foot note. Dalam bahasa Inggeris, istilah lain ialah bottom note. Yang ini mungkin kita boleh menggunakan nota bawah. Sememangnya, nota itu terletak paling bawah dengan saiz fon yang lebih kecil. Wallahualam.

azieazah said...

Terimakasihhh.. Terimakasihhh.. Terimakasihhh..

Saya suka perkongsian berilmu sebegini.

Sebab saya KAKI baca, KAKI tulis dan KAKI komen..

Unknown said...

Salam Azie. He...he...Jangan sampai jadi kaki gosip sudahlah...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...