31 March, 2010

Orang Jahil...


Semua orang marah apabila dia dikatakan "bodoh". Tidak kurang juga yang marah apabila dia dikatakan "kurang cerdik".  Tetapi apabila seseorang itu dikatakan jahil, seperti "kau ni jahil betullah", ramai  pula yang akur.  Malah, ada yang memberi reaksi "aku memang jahil dalam hal ini".


Hakikatnya, jahil sama sahaja dengan bodoh atau "stupid". Jahil ialah perkataan Arab yang bermaksud bodoh atau tidak mengetahui (ajaran agama Islam, sesuatu hal, dan lain-lain). Contoh: Dolah jahil dalam hal agama; cetek pengetahuannya; Jahil basit (orang yang) jahil tetapi sedar akan kejahilannya; jahil murakab (orang yang) jahil dan tidak pula menyedari kejahilan dirinya; jahil teropong: bodoh dan tidak mahu menerima ajaran-ajaran orang; jahil tukil: terlalu jahil.


Sebenarnya, jahil juga bermaksud buta huruf, buta hati, tidak berpendidikan, tidak berpengetahuan dan tidak bertamadun. Dalam kata yang kurang enak didengar, jahil bermakna bebal, benak, bangang, bengap, bongok, tongong, tolol, dongok, baghal, bahlul, bingung, pandik, sementung, otak udang, otak tumpul, ngong, palui, pusung, ahmak, hamik, piras hangit, goblok, pongah, bongak, congong dan songor.
 
Apahal ni Babah? Nak tuduh-tuduh orang jahil pula?

Bukan, bukan dan bukan...
Tetapi... Dalam beberapa entri yang akan datang, Babah akan cuba menyenaraikan perkara-perkara jahil yang biasa dilakukan orang supaya dapat menjadi iktibar kepada anda yang masih jahil . Oleh itu, anda boleh mengaku akan kejahilan anda dan dapat mengelakkan sakit hati daripada dituduh jahil.

Sebagai mukadimah, elakkan daripada menyebut "amin" (bermaksud: perkenankanlah ya Allah doa kami) apabila pembaca doa (contoh: imam) baharu memulakan doa dengan puji-pujian kepada Allah dan salawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. kerana anda boleh dianggap jahil jika terus berbuat demikian. Pujian-pujian kepada Allah dan Salawat ke atas Nabi ialah permulaan doa yang belum boleh dianggap doa dan tidak perlu diaminkan. Cuba perhatikan contoh di bawah:

Imam: Segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Salawat dan Salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, rasul yang mulia... sekalian rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam...

Makmum: Amin...

Selepas doa diucapkan, baharulah kena tempatnya kita menyebut amin, seperti:

Imam: Ya, Allah ya Tuhan kami, ampun dosa-dosa kami.

Makmum: Amin...

Nota:  
Hal di atas merupakan satu contoh perbuatan yang tidak kena pada tempatnya kerana kejahilan, seperti orang bertanyakan nama anda, tetapi anda menjawab "umur saya 46 tahun". Jika dengan manusia kita perlu bertertib ketika berkata-kata, inikan pula dengan Allah Azzawajalla.

Bersambung....










28 March, 2010

Orang Gila...


Setiap kali pulang ke kampung, babah sering terserempak dengan seorang lelaki tidak siuman di simpang empat berlampu isyarat, depan masjid, Pekan Hulu Langat. Dia mengejar kereta babah dan mengetuk tingkap kereta.  Biasanya, babah berhenti dan melayan hamba Allah itu. Maka terkeluarlah dialog yang berikut:

Orang Gila: Assalamualaikum encik.
Babah: Waalaikum salam tuan.
Orang Gila: Encik ada duit tak?
Babah: Ada. Mengapa?
Orang Gila: Saya nak pinjam sejuta. Nak buat bisnes. Dulu dah rugi berjuta-juta. Orang tipu.
Babah: Dulu bisnes apa?
Orang Gila: Import eksport.
Babah: Wow hebat tu! Nah sejuta, sambil babah menyerahkan sekeping duit seringgit. Cukup tak?
Orang Gila: Terima kasih encik. Sejuta dah cukup (sebelum pergi beliau merapatkan kaki dan memberi tabik hormat, gaya seorang tentera Nazi).


Babah memang bersimpati dengan nasib orang tidak siuman a.k.a. orang gila. Mereka berkata jujur, walaupun biasanya kata-kata mereka tidak betul. TETAPI, adakah Allah bersimpati dengan mereka di akhirat kelak? Babah pernah bertanya dengan seorang ustaz tentang kedudukan orang gila di sisi Allah.

Babah: Ustaz, semasa kecil dulu saya pernah diberitahu bahawa orang gila tidak berdosa. Apa-apa yang mereka lakukan semuanya tidak diambil kira. Kalam mereka terangkat ke langat. Betul ke ustaz?
Ustaz: No way! Orang gila juga akan dihisab oleh Allah. Sebahagian besar daripada mereka akan dihumban ke neraka!
Babah: Biar betul ustaz?
Ustaz: Ya. Tengok punca mengapa mereka gila. Kebanyakan mereka gila kerana perempuan, harta benda, akibat mempelajari ilmu syaitan, hatta dianiaya dengan ilmu sihir?
Babah: Gila kerana teraniaya pun akan dihisab oleh Allah?
Ustaz: Ya. Allah juga akan melihat sejauh mana anda berusaha mempertahankan diri anda daripada dianiayai. Jika tidak ada langsung "defence", anda boleh dianggapkan telah melakukan "suicide".
Babah: Walaupun daripada syaitan dan jin?
Ustaz: Ya.



Bagaimana pula dengan orang tak siuman yang berlagak gila, seperti seorang yang gila talak menerjah e-mel kawan-kawan babah dengan mengatakan cerita babah di sini dusta? Orang yang berlagak gila ini tidak sedar apa yang dia lakukan telah membuktikan bahawa babah bukan membuat cerita rekaan, sekurang-kurangnya pada perspektif babah. Mesej "isteri solehah perlu dihormati" tepat mengenai sasaran.


Nasihat: Saya suka menasihati Si Polan supaya membuka blog sendiri dan mencurahkan isi hati di blog anda itu. Janganlah "menerewang" lagak orang tidak siuman menerjah e-mel orang lain untuk menyampaikan mesej beracun yang akhirnya meracuni diri anda sendiri.


Nota: Selama tiga minggu ini babah sibuk mengendalikan beberapa kursus. Oleh itu,  babah tidak berkesempatan untuk mengemas kini blog. Namun, babah tetap melawati blog-blog anda melalui BlackBerry babah. Mana-mana blog yang membolehkan babah komen, babah catat sepatah dua kata. Tetapi rata-rata,  blog anda tidak membenarkan babah meninggalkan jejak melalui BlackBerry. Nantii jika ada masa terluang, babah akan menceritakan pengalaman yang "berbunga-bunga" ketika menjadi pengarah program untuk dua kursus yang melibatkan peserta antabangsa dan satu kursus yang melibatkan "unemployed graduates". Memang menarik...



27 March, 2010

Lari...Orang Gila...


Hari ini babah terjumpa lagi orang gila. Tetapi, kali ini kena cepat-cepat cabut lari...


Orang gila yang berani mati...

Kalaulah ada kebocoran gas, "rentung" orang gila ni...



Fir'aun...


Ketika mengulang baca buku "Islam Aqidah dan Syariah" karangan Prof. Dr. Mahmud Syaltut, sheikhul Azhar yang terkenal itu, pada muka surat 27-29, babah terjumpa ayat al-Qur'an, surah Yusuf: ayat 90-92 yang menceritakan kisah Fir'aun yang ditenggelamkan oleh Allah di Lautan Qulzum.

Nota: Sudah berulang kali membaca al-Qur'an masih juga terlepas pandang...


Ayat-ayat itu adalah seperti yang berikut:

Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Fir´aun dan bala tentaranya, karena hendak menganiaya dan menindas (mereka); hingga apabila Fir´aun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia: "Saya percaya bahwa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)".

Apakah sekarang (baru kamu percaya), padahal sesungguhnya kamu telah derhaka sejak dahulu, dan kamu termasuk orang-orang yang berbuat kerosakan.

Maka pada hari ini Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah daripada tanda-tanda kekuasaan Kami.

Ayat "Kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu" mendapat perhatian babah. Lantas babah membuka Tafsir Al-Azhar, karangan Prof. Dr. Hamka, Juzuk 10-11-12, muka surat 310.

...bangkai Fir'aun itu telah menjadi ayat, menjadi peringatan buat orang yang datang di belakang, baik yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri, atau buat raja-raja dan penguasa yang datang di belakang hari, dari zaman ke zaman, dari masa ke masa, bahawa apabila kalimat takwim daripada Allah telah berlaku dan maut telah mendatang, sama sahajalah keadaan bangkai raja, bangkai opsir (pegawai tentera) dan bangkai perajurit.

Wajah Fir'aun Daripada Imaginasi Pakar

Kemusykilan:
Saya masih musykil tentang ungkapan Fir'aun Kecil oleh Y.B. Zulkefli Nordin, wakil rakyat Kulim yang senantiasa berkopiah itu. Adakah dia tahu apa-apa yang dia ucapkan atau hanya mengikut naluri yang bersulam dendam kesumat? Belum lagi panggilan itu ditarik balik, Si Y.B. kini cuba "menyamak" najis  menjadikan "seseorang itu" malaikat pula. 
 







26 March, 2010

Anak Derhaka...


Ada orang berkata "sabarlah pada karenah anak-anak, takut nanti ketidaksabaran kita menjadikan anak itu derhaka". Kalimah ini kedengaran lunak di pihak ibu bapa, tetapi "awas" pada sang anak! Syariat agama tidak sedemikian lunaknya...


Adakah anak yang menderhakai orang tuanya terlepas daripada nista derhaka jika ibu bapanya rela dan tidak mengeluh atas perbuatan anak mereka itu? Adakah anak derhaka akan terlepas daripada murka Allah jika  ibu bapanya redho dan terus memanjakan mereka?

"No way man...".

Allah tetap mengutuk kederhakaan si anak walaupun orang tuanya sendiri tidak berasa kesal hati atas perbuatan anaknya itu, kerana perkara derhaka bukan hanya urusan orang tuanya sahaja, tetapi Allah menganggapnya sebagai hal yang besar. Meskipun orang tua yang diderhakai tidak mengutuk atau mendoakan akan keburukan anaknya itu, Allah tetap akan membalas sikap durjana anak tersebut di dunia dan di akhirat.

Contohnya:
Seorang anak yang mengutuk orang tuanya dari belakang. Kutukan itu tidak didengari dan tidak diketahui oleh ibu bapanya. Tetapi Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Maka Allah akan membalas dengan menimpakan nasib yang sangat jelek terhadap anak yang durhaka seperti itu, walaupun orang tuanya sendiri ikut berduka atas nasib yang dideritai anaknya.


Siksa atas anak yang derhaka diberi secara kontan oleh Allah di dunia, seperti penderitaan sakit (jasmani mahu pun rohani), sukar mencari nafkah (selalu kesempitan wang meskipun berpendapatan besar), hidup yang sering kacau atau berantakan dan lain-lain. Di akhirat, siksa yang lagi hebat menanti anak yang derhaka...

Oleh itu,
Wahai kawan-kawanku...
Jagalah tingkah laku dan tutur katamu terhadap ibu bapa, di depan, mahupun di belakang mereka...

Perhatikan hadis-hadis di bawah ini:

"Dua kejahatan yang akan dibalas oleh Allah di dunia ini, (iaitu) zina dan derhaka kepada ibu bapa" (riwayat Thabarani).

"Segala dosa diampuni Allah daripadanya, mana yang Ia kehendaki, kecuali dosa kepada ibu bapa. Derhaka kepada ibu bapa mencepatkan balasan bagi yang derhaka itu dalam hidupnya di dunia sebelum matinya" (riwayat Bukhari dan Muslim).

"Segala dosa dapat diundurkan daripadanya (siksanya) oleh Allah, mana-mana sahaja yang Ia kehendaki, sampai pada Hari Kiamat, kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan siksa bagi orang yang melakukan derhaka kepada ibu bapa dalam penghidupan dunia sebelum matinya" (riwayat Thabarani dan Hakim).

"Rasulullah s.a.w. ditanyai tentang dosa-dosa besar. Baginda berkata "Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa dan membunuh orang dan menjadi saksi palsu" (riwayat Bukhari).








Sofia, Maafkan Babah...


Pagi tadi Babah menziarahi rumah Sofia Adila, anak keenam Babah. Sofia Adila kembali ke rahmatullah pada 23 Mei 2002. Dari tarikh itu, beginilah rumah Sofia...

Rumah Sofia Adila dikelilingi Banglo dan Semi-D

Tanpa kemewahan...

Bukan Babah tidak mampu. Malah, Babah boleh sahaja membina rumahmu lebih hebat daripada rumah jiran-jiranmu...

Rumah yang berjerejak atau berkekisi


Rumah yang bermar-mar

TETAPI anakku, Babah terpaksa menelan kesedihan Babah kerana...

Jabir r.a. pernah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah melarang kuburan dikapur (disimen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan di atasnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Diharamkan oleh syara’ menghias, membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan hujah syara’ dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah: Daripada Abdullah bin Hasanah berkata: "Aku lihat Osman bin Affan r.a. memerintahkan agar diratakan kubur".

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (beliau merupakan salah seorang dalam kalangan ulama besar as-Syafieyah) menjelaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam as-Syafie telah berfatwa: Dibenci mengapur, membaca dan menulis tulisan di atas kubur, sama ada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya.

Maafkan Babah wahai sayangku.

Juga, mohon kemaafan yang tulus dari sanubari Babah kerana Babah tidak pernah memohon keampunan untukmu atau menghadiahimu dengan surah al-Fatihah, seperti yang biasa Mama lakukan, kerana Babah percaya kamu tidak pernah berbuat dosa...

Doa Babah hanyalah "Ya Allah, izinkan aku melawat anakku di syurga apabila sampai waktunya nanti..."


Pengalaman tambahan hari ini:
1. Jiran sebelah rumah dirompak. Jumlah kerugian RM22 ribu.
2. Rumah jiran belakang rumah dipanah petir sehingga atap rumahnya berlubang sebesar 5 kaki persegi.
3. Babah bersyukur kerana musibah tersebut tidak mengenai Babah dan keluarga.







  



Masih ada yang percuma...


Kata orang, mana ada lagi khidmat percuma di dunia ini? Kencing dan berak pun dikenakan bayaran...


Tetapi, penduduk kawasan Petaling Jaya Selatan masih beruntung kerana pengurusan keberangkatan mereka ke alam barzakh diberi percuma oleh sebuah parti politik yang selalu dikecam oleh pihak pemerintah...

Kelengkapan kain kapan  PERCUMA
Mandian jenazah PERCUMA
Kenderaan van jenazah PERCUMA
Tempahan tanah kubur* PERCUMA
Bacaan talkin * PERCUMA
Kos minyak dan tol PERCUMA
Sagu hati pemandu  PERCUMA

Gambar diambil di pagar masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya

Babah, Jebat Berani, Ayid, Bujang Susah,Ijoks2009, Mohamad Azhan, Amalhaj, Anak Muallaf, Rohaifi dan rakan-rakan seperjuangan babah yang lain pasti gembira dan bangga atas usaha para sahabat  kita yang terus menerus berkhidmat untuk masyarakat tanpa  mengira penat dan lelah. Syabas!

Nota:
* Tak tahu pula Babah selama ini tanah kubur dan bacaan talkin dikenakan bayaran.
** Kalau orang kata insiatif ini merupakan salah satu usaha untuk menarik hati pengundi, tentulah silap tohmahan itu kerana ketika ini kawasan tersebut tidak berada dalam suasana pilihan raya dan Si Arwah tidak lagi ada kesempatan untuk mengundi...









24 March, 2010

Quranic Law of Attraction


Sejak awal minggu ini, jiwaku resah gelisah, marah, geram, sedih dan bermacam-macam. Ya Allah, apakah yang patut aku lakukan untuk melegakan perasaan ini? Aku selak buku yang baharu dibeli semalam (belum sempat membacanya), iaitu buku "Quranic Law of Attraction" karangan Rusdin S.Rauf. Aku membeli buku ini kerana ingin membandingkan dengan buku "The Secret" karya Rhonda Byrne dan "The Law of Attraction" karya Esther Hicks yang telah kubaca beberapa tahun lalu.

Hasil...


Aku terjumpa sebutir mutiara pada muka surat 108 buku itu:

Ketika ditimpa masalah besar dan saudara rasakan susah mendapat penyelesaiannya, cuba buka al-Qur'an, berdoalah terlebih dahulu, dan luruskan niat saudara. Saudara boleh berdoa seperti ini, "Ya Allah, sampai saat ini aku masih belum menemui penyelesaian untuk masalah yang aku tanggung ini. Aku memohon dengan penuh harapan kepada-Mu supaya memberikan aku jalan yang terbaik".

Sesudah berdoa, ambil al-Qur'an dan bukalah secara rambang. Kemudian baca halaman yang saudara buka itu.

Aku melakukan apa yang disarankan oleh pengarang buku.

SUBHANALLAH... Ayat-ayat yang berikut tertera di depan mata:

Surah as-Sajadah: ayat 12-15

Ayat 12: Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata:) "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal solih, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin".

Ayat 13: Dan kalau kami menghendaki nescaya kami akan berikan kepada tiap-tiap jiwa petunjuk (bagi)nya, akan tetapi telah tetaplah perkataan (ketetapan) daripadaKu; "sesungguhnya akan aku penuhi neraka jahanam itu dengan jin dan manusia bersama-sama".

Ayat 14: Maka rasailah olehmu (siksa ini) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan harimu ini (hari kiamat); sesungguhnya kami telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah siksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan.

Ayat 15: Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri.

Alhamdulillah...
Jawapan kepada keresahanku terjawab. Allah berjanji kepada kita semua  "tinggalkan masalah itu kepada-Ku, nanti Kuselesaikan semuanya..." Kini, hati nuraniku berasa lega kerana Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.. 

Nota: Buku "Quranic Law of Attraction" telah memberikan sebutir mutiara kepadaku, mutiara yang tiada ternilai harganya. Belilah buku ini. Harga cuma RM13.90. Hanya tajuk sahaja dalam bahasa Inggeris, kandungannya 100% berbahasa Melayu.










02 March, 2010

Sabar...Iblis-iblis ini akan bertaubat...


Sesungguhnya, orang yang mempunyai tahap kesabaran tinggi ada tempat di sisi Tuhan. Tetapi, adakah sikap senantiasa "cool" ini baik? Adakah perasaan marah, jengkel, meluat, benci, geram, menyampah, panas hati tidak perlu ada dalam jiwa manusia untuk menjadi insanul kamil? Adakah apabila kita melihat maksiat dan kezaliman yang berlaku berleluasa di hadapan kita, kita hanya perlu bersabar dan memohon kepada Allah supaya semua kebejatan itu boleh selesai dengan sendirinya? Lantas kita berdoa "Ya, Allah tunjukkanlah mereka jalan yang lurus?"

9 perogol ini akan bertaubat apabila sampai waktunya. Noktah! (?)

Kalau jawapan anda "Ya", sanggupkah anda mempertahankan kesabaran anda jika peristiwa yang berikut berlaku pada anda dan keluarga anda?

"salam...smlmaku dkt bangi tapi dpt SMS daripada umi aku ada satu rumah kene rompak..yg lebih menyayat hati dahlah puak SIAL HARAMJADAH ni merompak pastu merogol seorang anak gadis secara bergilir-gilir seramai 8 orang...BABI,PUKIMAK Punye anjing..sial anak haram aku germ bila terima berita ni....manusia ni memg anjing!!!PUKIMAK BANGSAT!!" (Amarah rakan Facebook yang dimuat naik semasa saya sedang mengarang N3 Kematian Syafia: Siapakah yang kurang ajar? - tanpa sebarang suntingan).


Nota: Babah ingin menjemput Siti Zulaikha untuk memberi komen pada N3 ini. Pertanyaan babah, adakah anda masih mahu kita memanggil mereka ini dengan panggilan yang baik dan berharap mereka akan bertaubat? Anjing, babi dan haiwan-haiwan lain jauh lebih baik daripada mereka. Bagi babah, meskipun reaksi spontan sahabat babah ini agak kasar, tetapi dengan istifar, insya-Allah segala-galanya akan selesai. Tetapi, bagi iblis-iblis yang durjana itu, penyelesaiannya tidak terletak hanya pada "taubat",  malah menjangkaui jauh daripada itu...Wallahualam.









Kematian Syafia: Siapakah yang kurang ajar?


Allah s.w.t Yang Maha Mengetahui berbuat sesuatu wajib bersebab. Dia memanggil ke pangkuan-Nya Adik Syafia Humaira sudah pasti mempunyai hikmah tertentu. Bagi orang-orang yang beriman dan berilmu, mereka akan mengambil apa-apa jua peristiwa yang berlaku di depan mata mereka sebagai iktibar. Tetapi, bagi orang yang menganggap peristiwa ini sebagai lumrah alam, iaitu yang hidup akan menghadapi mati, yang jahat akan menerima hukuman dan yang lemah perlu dibela (sekarang si ibu dalam fasa mendapat simpati dan pembelaan), hanya sekadar itu yang mereka dapat (seperti menonton filem Hindi).  Sehari dua lagi, keadaan ini akan kembali sedia kala...


Persoalannya, siapakah yang masih kurang ajar yang mahu diajar oleh Allah. Mari kita lihat senarainya di bawah:

1. Ibu Syafia: Seorang ibu yang hidup penuh noda dan dosa dengan bersekedudukan selama 6 tahun. Peristiwa ini menghentikan noda dan dosa itu serta merta. Walaupun nampak pengajaran itu lebih kepada menzahirkan keaibannya, namun, si ibu kelihatan tidak berasa hilang maruah dan dengan mudah pula mengakui kesilapan lampaunya. Kini si ibu berasa diri kembali putih bersih, sebersih jiwa kanak-kanak, seperti Adik Syafia. Kalaulah pengajaran aib tidak mampan dik si ibu, kekesalan jiwa yang berterusan bakal menghantuinya. Wajah si anak akan terus bermain di kelopak mata sehingga ke akhir hayatnya; atau

2. Si iblis pembunuh: Kata Allah, cukuplah jangan kau dera lagi anak ini dan cukuplah, jangan kau berzina lagi (hasil zina masih terbonjol di perut). Kalau penderaan mental si anak dan perbuatan zina dapat kau tutupi, Aku izinkan anak ini kau bunuh di depan khalayak. Nah, terima pula habuan kau atas perbuatan zalim dan keji yang kau lakukan, dan azab di akhirat kelak, pasti jauh lebih hebat; atau

3. Bapa si anak yang dipenjara Beliau dipenjara atas kesalahan membunuh. Kematian Adik Syafia merupakan kifarah atas dosa itu. Jika benarlah Syafia anak kandungnya (Syafia berumur 3 tahun, sedangkan hubungan si ibu dan si iblis pembunuh sudah menjangkau 6 tahun), dia akan menanggung derita jiwa seperti mana yang dialami oleh waris mangsa yang dibunuhnya.  Lebih derita lagi ialah apabila mendengar si pembunuh anaknya merupakan lelaki yang bersekedudukan selama 6 tahun dengan isterinya. Pengajaran yang sangat memeritkan; atau

4. Pihak berkuasa agama: Orang ramai sedang menunggu akan tindakan lanjut daripada pihak JAIS ke atas si ibu. Kalau pembuat dosa dan noda di hotel-hotel boleh diserbu, mengapa orang yang sudah mengaku dan jelas bahawa beliau masih bersuami dan kini sedang mengandung anak luar nikah, boleh terampun kesalahannya dengan hanya memohon maaf? Peristiwa ini juga sepatutnya membuka mata mereka seluas-luasnya tentang kebejatan sistem yang ada dan merombak sistem itu yang dengan jelas telah gagal berfungsi; atau

5. Pemerintah: Setelah berlaku pelbagai siri penderaan, pembunuhan dan kehilangan kanak-kanak,  dan termasuk pembuangan bayi yang bermaharajalela, pihak pemerintah masih terus beretorik. Persekitaran yang mendorong kepada perilaku sumbang terus disemai dan dibaja, manakala hiburan muda-mudi tanpa batas terus diberi sokongan tanpa berbelah bahagi. Pelbagai sistem yang ada (termasuk sistem pendidikan) nampak jelas kepincangannya, namun pihak pemerintah masih sibuk mengira jumlah undi untuk menjamin kemenangan pada pilihan raya yang akan datang...

6. Orang ramai dan kita: Kematian Adik Syafia merupakan manifestasi daripada sikap kita yang tidak prihatin kepada apa-apa yang berlaku di sekeliling kita, hilang semangat kejiranan dan keagamaan, hidup secara mementingka diri, turut sama membajai aktiviti maksiat, kelu lidah untuk mengajak kepada yang makruf dan pelbagai lagi. Akibatnya, anak-anak kita juga tidak terjamin keselamatan mereka...


Siapakah yang kurang ajar itu @ kita semua masih kurang ajar?