Dari Kemegahan Hingga Ke Kuburan
Sepanjang hidup kita, kita banyak menyaksikan keadaan, kejadian atau peristiwa yang kita rasakan berlaku secara tidak adil. Salah satu punca ketidakadilan ini ialah amalan pihak tertentu (biasanya, pihak berkuasa) yang salah meletakkan sesuatu pada tempatnya (salah meletakkan keutamaan) dan bersikap lebih cenderung pada sesuatu perkara atas kepentingan peribadi. Walhasil, wujudlah ungkapan "antara dua darjat" yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Semasa bercuti di Pulau Pangkor bersama keluarga dua minggu lepas, saya melihat satu fenomena "antara dua darjat" berlaku di sana, seperti dalam gambar di bawah:
Pelaburan besar untuk duniawi, surau dibiarkan sehingga hilang seri...
Nota:
Pembangunan hebat telah berlaku di Pulau Pangkor selepas Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, anak watan Pulau itu ditabalkan sebagai Menteri Besar Perak. Anda akan dapat merasakan kelainan Pulau itu sebaik sahaja feri yang membawa anda berlabuh di pangkalan. Tidak ada yang salah mengenai perkara ini. Apa yang mungkin Dr. Zambry terlepas pandang adalah keadaan surau yang terletak di lokasi strategik Pulau Pangkor, iaitu di Teluk Nipah yang begitu daif. Dr. Zambry sepatutnya peka tentang hal ini kerana pembangunan surau dan masjid merupakan pelaburan jangka panjang hingga ke akhirat, di samping dapat mengawal persepsi masyarakat terhadap beliau. Saya mengenali Dr. Zambry kerana kami pernah berbual beberapa kali secara empat mata. Meskipun kami berlainan "kapal", saya secara peribadi memandang tinggi pada beliau yang saya anggap cukup berkarisma, tidak seperti apa yang digambarkan oleh sebahagian media alternatif. Namun, aku tetap memilih "bulan mengambang".
Sebelum ini, saya merasakan perkara yang sama berlaku pada bahasa Melayu yang kucintai:
Bahasa Melayu yang patut dijunjung, tetapi bahasa Inggeris juga yang terus disanjung
Nota:
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.
Sebelum itu, hal ini terungkap dalam pembinaan Menara Kembar (bukan Berkembar) yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sekarang ini. Gambar di bawah ini menceritakan segala-galanya.
Menara KLCC semenangnya hebat, tetapi masih ramai lagi rakyat yang hidup melarat...
Sebenarnya, hal yang sedemikian bukanlah suatu perkara yang luar biasa kerana selepas meninggalkan dunia yang fana ini pun manusia tetap memikirkan darjat, sedangkan di sisi Allah ketinggian darjat seseorang bergantung pada nilai takwanya.
Darjat dibawa ke kubur dengan harapan dapat berlibur...
Nota:
Berdasarkan Sunnah Nabi s.a.w, kubur yang tinggi harus dirobohkan dan diratakan. Berdasarkan hadis Ali bin Abi Thalib r.a. bahwa ia berkata, "Ketahuilah, aku akan mengutusmu untuk sebuah tugas yang dahulu pernah Rasulullah s.a.w. tugaskan kepadaku, iaitu janganlah biarkan patung kecuali engkau menghancurkan dan janganlah biarkan kuburan yang tinggi kecuali engkau ratakan!" (HR Muslim (969).
Akhirul kalam,
Hakikat ini perlu diterima kerana itulah sebenarnya sikap manusia. Al-Qur'an yang diperintahkan oleh Allah untuk diikuti, manusia tetap mencari atau mengambil alternatif lain sebagai pedoman dan panduan.
Al-Quran diturunkan darjat (di bawah undang-undang dunia) menjadi bahan sedekah untuk Si Mati dan doa semasa kenduri, bukan untuk diikuti dan dipatuhi...
Nota:
Firman Allah s.w.t:
فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ
Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah s.w.t (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah s.w.t dan hari kemudian.. (QS. An-Nisaa`:59)
Firman Allah s.w.t:
وَأَنزَلْنَآإِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِمَآأَنزَلَ اللهُ وَلاَتَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ الْحَقِّ
Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Qur'an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah SWT turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. (QS. Al-Maidah:48)
Pesanan Babah:
Sebagai insan yang lemah, kita sering alpa sehingga anak-anak sendiri pun kadang kala kita bezakan, inikan pula hal-hal lain. Bagi mengelakkan berlaku kealpaan yang berlanjutan, kita dinasihati Nabi s.a.w. untuk selalu bermuhasabah diri dan terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan sekadar yang termampu oleh kita. Selainnya, kita serahkan kembali kepada Allah untuk menentukannya.
Firman Allah:
Dan Katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. QS. Al-Kahfi: 29
"Mangsa antara dua darjat"
Nota bahasa:
1. Kata antara merupakan kata sendi nama, manakala kata di antara berfungsi sebagai penanda arah.
Contoh di antara:
Di antara Johor dengan Singapura terentang jambatan yang lebar.
Daud duduk di antara emak dengan bapanya.
Contoh antara:
Antara majalah yang diminati ialah Mangga dan Mastika.
Hubungan diplomatik antara China dengan Taiwan tidak pernah wujud.
2. Pangkalan bermaksud tempat perahu, feri atau kapal berlabuh. Perkataan ini sering disalah eja dengan pengkalan.