08 January, 2010

Melayu dan Mata


Tahukah anda bahawa orang Melayu terlalu berlebih-lebihan menggunakan mata mereka. Mereka bukan sahaja memandang, tetapi melihat, memerhati, menengok, menatap, mengintai, melirik, menjeling, mengerling, mengamat-amati, meneliti, mengintip,  menyaksikan, menatap, membelek, menjenguk, menjengah, meninjau, meluluk, mengintip, menonton, merenung, menenung, mencalik, melenak, melengung dan banyak lagi.


Mata melirik

Tidak ada bangsa lain di dunia ini yang mempunyai fungsi mata sebanyak orang Melayu. Ini menunjukkan betapa orang Melayu sangat menyakini mata, kadang kala mengetepikan (bukan mengenepikan) mentah-mentah mata hati (kata hati). Akibatnya, mereka mudah terpedaya. Terpedaya dalam memilih pasangan hidup – mata hanya memandang pada rupa paras (cantik atau yang kacak) dari segi luaran; terpedaya dalam akidah – mata melihat pada keluarbiasaan seseorang; terpedaya dalam perniagaan – mata hanya memerhati kekayaan harta benda (materialistik) dan pelbagai tipu daya lain.



Mata kati           Mata Orang


Menjolok mata      Mencolok mata


Mata kail vs mata orang

Keyakinan orang Melayu terhadap mata dapat diperhatikan dengan banyaknya istilah-istilah Melayu yang menggunakan kata mata, seperti yang berikut:
Mata kapak, mata pisau, mata anak tangga, mata bisul, mata air (punca air), mata air (kekasih), mata (markah), mata angin (arah yang ditunjukkan oleh kompas), mata batin (perasan dalam hati), mata benda (barangan yang berharga), mata gergaji (bahagian gergaji yang tajam atau orang yang suka bermuka-muka), mata hati, mata huruf, mata jahitan, mata jala, mata jalan, mata kail, mata kain (corak kain), mata kaki (buku lali), mata kasar (tanpa mengguna teropong), mata kati (tahil), mata kayu (bekas dahan yang dipotong atau buta huruf), mata keranjang, mata kerbau (telur yang digoreng bulat-bulat), mata lipas (mata yang suram), mata luka (liang luka), mata  panah, mata pelajaran, mata panah, mata pelajaran, mata pena, mata pencarian, mata wang, mata-mata (polis), silap mata dan banyak lagi.


Peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan mata:
Mata memandang apa hendak sakit, bahu memikul timpa perasaan
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
Mata tidur, bantal berjaga
Hilang di mata, di hati jangan.
Jadi mata dan telinga
Kerana mata buta, kerana hati mati
Silap mata pecah kepala
Tentang mata dengan mata

Pesan babah:
Gunakanlah pancaindera penglihatan anda sebaik-baiknya. Seimbangkan penglihatan mata dengan penglihatan hati dalam membuat pertimbangan. Orang kata ikut hati mati, ikut mata merana. Allah menjadikan mata untuk menilai, bukan untuk membuat keputusan. Serahkan kerja itu kepada akal yang waras. Wallahualam.








 

Kamus bahasa Melayu:
Meluluk - mengintai, mengintip (musuh dll);
Mencalik -  memandang, melihat;
Melengung -   memandang, menoleh.
Melirik - menjeling dgn tajam, mengerling