Selembar Benang kali ini masih berkaitan dengan isu nombor, seperti dalam Selembar Benang 8 dan Selembar Benang 9. Terdapat beberapa kesilapan yang biasa dilakukan oleh orang ramai dari segi penulisan nombor, antaranya ialah:
1. Kesilapan menulis nombor bilangan ke berapa.
Dalam sistem penulisan bahasa Melayu yang betul, ke dan sesuatu angka hendaklah dipisahkan oleh tanda sempang (-), iaitu berbentuk ke-50 (k mestilah berhuruf kecil kecuali pada tajuk yang dieja dengan semua huruf besar). Bagi angka berbentuk roman, angka itu boleh berdiri sendiri tanpa ke yang telah membawa maksud yang dikehendaki.
Contoh:
Salah: ke 4
Betul: ke-4
Salah: ke-IV/ke IV
Betul: IV
2. Kata bilangan seperti setengah-setengah, tiap-tiap, berbagai-bagai dan kedua-dua tidak boleh disingkatkan.
Contoh:
Salah
a. setengah orang
b. tiap murid
c. berbagai warna
d. kedua mempelai
Betul
a. setengah-setengah orang
b. tiap-tiap murid
c. berbagai-bagai warna
d. kedua-dua mempelai
3. Kata para tidak boleh diulang.
Contoh:
Salah: Para-para penduduk perlu bekerjasama
Betul: Para penduduk perlu bekerjasama
4. Kata bilangan tentu seperti satu, dua dan tiga tidak boleh didekatkan dengan kata bilangan pecahan, seperti suku dan setengah.
Contoh:
Salah: dua setengah meter
Betul: dua meter setengah
Salah: dua suku jam
Betul:dua jam suku
Salah:tiga setengah ringgit
Betul: tiga ringgit setengah
Sambungan Selembar Benang
Landskap vs lanskap
Ejaan yang betul bagi landskap ialah landskap bukan lanskap. Walau bagaimanapun, sebutan bagi perkataan itu hendaklah mengikut ejaan lanskap.
Faksimili vs faksimile
Ejaan bahasa Melayu bagi facsimile ialah faksimile bukan faksimili. Ejaan bagi fax pula ialah faks.
Trend vs tren
Perkataan bahasa Inggeris trend (arah aliran) dieja trend dalam bahasa Melayu bukan tren kerana tren bermaksud kereta api.