10 February, 2013

Mengapa langit dan bumi enggan menangisi kematianmu...

Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.” Ad-Dukhan:29



Dalam tafsirnya, Ibn Kathir berkata: maksudnya mereka tidak mempunyai amal soleh yang dibawa naik ke langit, maka langit tidak menangis kerana kehilangan amal soleh tersebut. Di bumi juga mereka tidak ada tempat yang mereka jadikan untuk menyembah Allah, maka bumipun tidak rasa kehilangan dengan kematian mereka.

Lantaran itu layaklah mereka tidak diberi tempoh dan tidak dilewatkan dengan sebab kekufuran mereka, kejahatan mereka, jenayah mereka dan kedegilan mereka.

Al-Hafidz al-Musili meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Tidak ada seorang hambapun kecuali ada baginya dua pintu di langit. Satu daripadanya ialah yang keluar darinya rezekinya dan satu lagi pintu yang darinya masuk amalan dan perkataannya. Apabila hamba itu mati, kedua-dua pintu tersebut akan rasa kehilangan. Maka kedua-duanya menangis.” Lalu dia membaca ayat ini (Ad-Dukhan:29).

Disebutkan juga bahawa mereka tidak beramal dengan amal soleh di atas muka bumi yang boleh membuatkan bumi menangis kerana kehilangannya, dan tidak pernah dinaikkan ke langit kata-kata mereka yang baik juga amal mereka yang soleh yang boleh membuatkan langit menangis kerana kehilangannya. Ibn Abi Hatim meriwayatkan dari Ubbad bin Abdullah, katanya: seorang lelaki bertanya Sayyidina Ali r.a.: “Adakah langit dan bumi akan menangis kerana kematian seseorang?” Beliau menjawab: “Sesungguhnya engkau telah bertanyaku soalan yang tidak pernah ditanya oleh seseorang sebelummu. Sesungguhnya tiada seorang hamba kecuali dia mempunyai tempat solat di dunia dan tempat naik amalannya di langit. Dan sesungguhnya Aali (kelaurga) Firaun, mereka tidak mempunyai amal soleh di bumi dan tidak ada amal yang dinaikkan ke langit. Kemudian beliau membacakan ayat (Ad-Dukhan:29)





Ya Allah terimalah amal ibadatku dan ampunilah aku...

Info: Masjid Sheikh Zayed Bin Sultan Al Nahyan di Abu Dhabi

REPUBLIKA.CO.ID, ABU DHABI: Masjid ini memang hebat. Didirikan oleh Presiden Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan--yang kemudian namanya diabadikan menjadi nama masjid dan mampu menampung 40.000 jamaah.

Masjid Sheikh Zayed Bin Sultan Al Nahyan di Abu Dhabi

Bahan binaan yang digunakan bukanlah jenis yang biasa. Sebahagiannya diimport dari Italia, Jerman, Maroko, Pakistan, India, Turki, Cina dan Selandia Baru. Lebih daripada 3.000 pekerja dan 38 kontraktor bersama-sama membangunkan masjid ini.

Bangunan utama dan lantai lebih banyak dipengaruhi oleh Masjid Badshahi, Pakistan, manakala menara bangunan ini merupakan gabungan gaya seni bina Arab, Mughal dan Moor.

Setiap tahun, masjid ini dikunjungi 2.56 juta pelancong. Pada tahun 2012 yang lalu, masjid ini dikunjungi 4.685 juta orang, iaitu 2.562 juta merupakan pelacong. Pada bulan Ramadhan tahun lepas, lebih 686.000 jamaah mengimarahkan masjid ini.

Antara sekian banyak jamaah dan pelancong, terdapat beberapa tokoh penting yang pernah datang ke sini, seperti Ratu Belanda Beatrix Wihelmina Armgard, Pangeran Willem Alexander dan Putri Maxima, Presiden Kosovo Atifete Jahjaga serta Presiden Turki, Abdullah Gul.

Setiap hari, masjid ini menyediakan pelbagai layanan seperti kunjungan pelancong, pendidikan, dan kegiatan ibadah. Begitu sibuknya, masjid ini membuat satu panduan sehingga diharapkan tetap menjaga nilai-nilai budaya dan nasional. Ini tentu sesuai dengan harapan Sheikh Zayed yang sangat konsisten menjaga nilai budaya Islam di United Arab Emirate.




Hebat-hebat....

Hadis pilihan sebagai renungan...

Daripada Buraidah bin al-Aslami r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Berilah khabar gembira kepada mereka yang berjalan di dalam gelap menuju ke masjid, dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat" (riwayat Abu Daud dan Al-Tarmizi).

Daripada Abu Hurairah r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Sekiranya kamu mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya kamu kurang ketawa dan banyak menangis" (riwayat Al-Bukhari).

Daripada Jubair bin Mu'tim r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga pemutus silaturahim" (riwayat Al-Bukhari dan muslim).

Daripada Abdullah bin Abbas r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab di antaranya dengan Allah" (riwayat Al-Bukhari).



Daripada Ibn Abbas r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Dua mata yang tidak disentuh oleh api neraka; mata yang menangis kerana takutkan Allah, dan mata yang berjaga malam mengawal jalan Allah" (riwayat Al-Tharmizi).

Daripada Thauban r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seorang insan terhalang daripada mendapat rezeki lantaran dosa yang dilakukannya" (riwayat Ibn Majah).

Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang yang terdapat di hatinya walau sebesar zarah perasaan takabbur" (riwayat Muslim).

Daripada Abu Said al-Khudri r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Ziarahilah pesakit dan iringilah jenazah, nescaya ia boleh mengingatkan kamu kepada akhirat" (riwayat Al-Haithami).

Daripada Abu Hurairah r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Perbanyakkan mengingat pemutus kelazatan (mati)" (riwayat al-tharmizi dan al-Nasa'i).

Daripada Abdullah bin Amr r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Orang yang bersifat kasihan, dikasihi oleh Yang Maha Mengasihani. Kasihanilah mereka di bumi, nescaya yang di langit akan mengasihi kamu" (riwayat Abu Daud dan Al-Tharmizi).

Daripada Abu Hurairah r.a.
Nabi S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Jalan ke syurga dibentangi dengan perkara yang tidak disukai manakala jalan ke neraka dibentangi dengan syahwat". (riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Jangan khuatir, Allah mengatur segala-galanya...

Abul Faraj Ibnul Jauzi mengisahkan bahawa ada seorang lelaki yang setiap hari melihat seekor burung yang datang membawa sepotong daging, lalu memindahkannya dari suatu tempat di kota dan membawanya menuju puncak sebuah pohon kurma.



Lelaki berkenaan kehairanan kerana burung itu sama sekali tidak mungkin bersarang di atas pohon kurma tersebut. Lelaki itu pun berusaha untuk memanjat pohon kurma sehingga ke pucuknya. Di sana, beliau menemui seekor ular yang buta. Setiap kali ular itu merasa lapar, maka burung itu pun datang membawakan sepotong daging untuknya. Burung itu akan mendekatinya lalu ular itu akan membuka mulutnya. Burung itu pun menjatuhkan sepotong daging itu ke dalam mulut ular buta itu. Maha Suci Allah S.W.T, yang telah menundukkan burung tersebut kepada seekor ular yang buta itu dan menunjuki ular itu kepada rezekinya.

Berkongsi cerita dari sini.

 


Allahuakbar...

Solat Berjamaah di Masjid Walaupun Ketika Sakit...

Ketika Amir bin Abdullah bin Zubair r.a. berada di ambang kematian dengan sisa-sisa nafas yang dimilikinya, terdengar azan, dia berkata kepada orang di sebelahnya: "Angkatlah aku".

Mereka bertanya: "Engkau hendak ke mana wahai Amir?"

"Ke masjid", jawabnya.

"Dalam keadaan seperti ini?" tanya orang ramai.

Dia menjawab: "Subhanallah, adakah patut aku tidak menyahut azan padahal aku mendengarnya? Angkatlah diriku".

Kemudian mereka memapahnya ke masjid. Dia sempat solat satu rakaat dibelakang imam sebelum meninggal dunia dalam keadaan bersujud.



Allahu Akbar! (Sumber: Malam Pertama di Alam Kubur, tulisan Dr. A'idh Al-Qarni M.A.)





Allahuakbar...

Solat berjamaah itu wajib walaupun kepada Si Buta...

Abu Hurairah r.a, meriwayatkan bahawa suatu ketika ada seorang buta yang datang menemui Rasulullah s.a.w. Dia berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki penuntun yang selalu membimbingku untuk berangkat ke masjid.” Dia bertanya kepada Rasulullah s.a.w. dengan tujuan meminta keringanan agar boleh mengerjakan solat di rumah, maka baginda pun memberikan keringanan untuknya. Akan tetapi, ketika dia berpaling (hendak pulang) maka baginda menanyakan kepadanya, “Apakah kamu masih mendengar azan untuk solat [berjemaah]?”. Dia menjawab,”Ya.” Maka Nabi pun mengatakan, “Kalau begitu penuhilah panggilan itu.” (HR. Muslim [653]).

An-Nawawi rahimahullah berkata '“Di dalam hadis ini terdapat penunjuk dalil bagi [ulama] yang berpendapat bahawa solat berjamaah adalah wajib ‘ain [bagi setiap lelaki]” (Syarh Muslim, cet. Dar Ibn Al-Haitsam, 3/459).

Nabi s.a.w bersabda, “Tidaklah ada tiga orang [muslim] di suatu kota atau kampung namun mereka tidak mendirikan solat [berjamaah] di sana, kecuali syaitan telah menguasai mereka. Maka hendaklah kamu [solat] berjamaah. Karena serigala itu hanya akan memangsa domba yang jauh [menyendiri].” (HR. Abu Dawud, An-Nasa’i dan Al-Hakim serta beliau -Al-Hakim- mensahihkannya).

Ketika menerangkan hadis di atas, Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah mengatakan, “[Ungkapan] itu –perintah Nabi kepada orang yang buta untuk menghadiri solat berjamaah– menunjukkan wajibnya solat berjemaah bagi orang buta, dan menunjukkan pula bahawa kebutaan bukanlah alasan untuk tidak mengikuti solat jamaah. Hadis itu pun menunjukkan bahawa solat berjamaah itu wajib dilakukan di masjid, bukanlah maksudnya hanya sekadar berjamaah - meskipun bukan di masjid-. Namun, yang diperintahkan adalah secara berjamaah dan bertempat di masjid…” (Syarh Riyadh Ash-Shalihin, cet Dar Al-Bashirah, 3/252).

Solat berjama’ah wajib dilakukan di masjid. Seandainya solat itu dilakukan bukan di masjid maka hal itu tidak menggugurkan dosa, bahkan mereka berdosa kerananya [iaitu kerana solat berjamaah tidak di masjid]- meskipun solat mereka tetap dinilai sah menurut pendapat yang terkuat, demikian keterangan Syaikh Ibnu Utsaimin di tempat yang lain (lihat Syarh Shalat Al-Jama’ah, cet. Dar Al-Kutub Al-Ilmiyah, hal. 26).

Oleh sebab itu, Syaikh Ibnu Utsaimin rahimahullah memfatwakan tidak boleh bagi seseorang atau sekelompok orang melaksanakan solat berjamaah di rumah padahal masjid dekat dengan rumah mereka.

Adapun, apabila masjid itu terletak sangat jauh dan mereka tidak boleh mendengar azan [maksud azan di sini adalah azan tanpa mikrofon, demikian menurut Syaikh dalam Syarh Riyadh Ash-Shalihin, 3/252], maka tidak mengapa bagi mereka melakukan solat berjamaah di rumah selama memang jarak tempat mereka jauh dari masjid dan sukar bagi mereka untuk menghadiri solat berjamaah (lihat Fatawa Arkan Al-Islam, cet. Dar Ats-Tsurayya hal. 367-368).





Semoga aku istikomah menunaikan solat di masjid/surau...