10 February, 2013

Mengapa langit dan bumi enggan menangisi kematianmu...

Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Mereka (ketika dibinasakan) itu tidak ditangisi oleh langit dan bumi (atau penduduk keduanya) dan mereka pula tidak diberi tempoh lagi.” Ad-Dukhan:29



Dalam tafsirnya, Ibn Kathir berkata: maksudnya mereka tidak mempunyai amal soleh yang dibawa naik ke langit, maka langit tidak menangis kerana kehilangan amal soleh tersebut. Di bumi juga mereka tidak ada tempat yang mereka jadikan untuk menyembah Allah, maka bumipun tidak rasa kehilangan dengan kematian mereka.

Lantaran itu layaklah mereka tidak diberi tempoh dan tidak dilewatkan dengan sebab kekufuran mereka, kejahatan mereka, jenayah mereka dan kedegilan mereka.

Al-Hafidz al-Musili meriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Tidak ada seorang hambapun kecuali ada baginya dua pintu di langit. Satu daripadanya ialah yang keluar darinya rezekinya dan satu lagi pintu yang darinya masuk amalan dan perkataannya. Apabila hamba itu mati, kedua-dua pintu tersebut akan rasa kehilangan. Maka kedua-duanya menangis.” Lalu dia membaca ayat ini (Ad-Dukhan:29).

Disebutkan juga bahawa mereka tidak beramal dengan amal soleh di atas muka bumi yang boleh membuatkan bumi menangis kerana kehilangannya, dan tidak pernah dinaikkan ke langit kata-kata mereka yang baik juga amal mereka yang soleh yang boleh membuatkan langit menangis kerana kehilangannya. Ibn Abi Hatim meriwayatkan dari Ubbad bin Abdullah, katanya: seorang lelaki bertanya Sayyidina Ali r.a.: “Adakah langit dan bumi akan menangis kerana kematian seseorang?” Beliau menjawab: “Sesungguhnya engkau telah bertanyaku soalan yang tidak pernah ditanya oleh seseorang sebelummu. Sesungguhnya tiada seorang hamba kecuali dia mempunyai tempat solat di dunia dan tempat naik amalannya di langit. Dan sesungguhnya Aali (kelaurga) Firaun, mereka tidak mempunyai amal soleh di bumi dan tidak ada amal yang dinaikkan ke langit. Kemudian beliau membacakan ayat (Ad-Dukhan:29)





Ya Allah terimalah amal ibadatku dan ampunilah aku...

No comments:

Post a Comment