29 January, 2013

Nyaris tertipu oleh pegawai "BNM"...

Petaling Jaya: Seorang kerani wanita di Medan Maju Jaya, di sini, nyaris menjadi mangsa penipuan sindiket penyamaran pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur apabila diperdaya membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa kononnya simpanannya itu akan dibekukan untuk siasatan satu kes mahkamah.


Menurut sumber, mangsa berusia 46 tahun mendakwa menerima panggilan dari pejabat Pos Malaysia, Kompleks Dayabumi memaklumkan dia mempunyai surat dari mahkamah yang tidak dituntut dan memintanya menunggu panggilan dari IPK Kuala Lumpur, 21 Januari lalu. “Mangsa kemudian dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Johnson Tan sebelum pegawai polis itu memberitahu mangsa tidak menghadirkan diri dalam satu kes mahkamah.

“Pegawai polis itu memaklumkan mangsa terbabit kes berkaitan sindiket wang palsu dan diminta menunggu panggilan pihak BNM untuk arahan selanjutnya,” katanya. Katanya, tidak lama kemudian mangsa dihubungi seorang lelaki dari BNM yang memperkenalkan diri sebagai Encik Tan dan memberitahu akaun bank mangsa sudah disekat serta tidak boleh melakukan urusan keluar dan masuk duit.

“Bagaimanapun, lelaki terbabit menawarkan bantuan bagi mengelak akaun atau wang mangsa daripada dibekukan atau dirampas dan memperdaya mangsa membuat pindahan wang dari akaun bank mangsa ke akaun bank yang dibekalkan sindiket. “Lelaki terbabit meminta mangsa pergi ke bank berhampiran untuk melakukan pemindahan wang selain memberikan satu akaun atas nama seorang lelaki tidak dikenali,” katanya. Namun, mangsa mengesyaki ia perbuatan sindiket penipuan dalam talian sebelum membuat laporan di Balai Polis Petaling Jaya.

AWAS dengan sindiket penipuan seperti ini!

Sumber berita: MyMetro


 
Hubungi pihak berwajib seperti Bank Negara Malaysia LINK (+60(3) 2698 8044 sambungan 8950 / 8958) atau pihak polis jika perkara seperti ini berlaku kepada diri anda...

No comments:

Post a Comment