31 March, 2010

Orang Jahil...


Semua orang marah apabila dia dikatakan "bodoh". Tidak kurang juga yang marah apabila dia dikatakan "kurang cerdik".  Tetapi apabila seseorang itu dikatakan jahil, seperti "kau ni jahil betullah", ramai  pula yang akur.  Malah, ada yang memberi reaksi "aku memang jahil dalam hal ini".


Hakikatnya, jahil sama sahaja dengan bodoh atau "stupid". Jahil ialah perkataan Arab yang bermaksud bodoh atau tidak mengetahui (ajaran agama Islam, sesuatu hal, dan lain-lain). Contoh: Dolah jahil dalam hal agama; cetek pengetahuannya; Jahil basit (orang yang) jahil tetapi sedar akan kejahilannya; jahil murakab (orang yang) jahil dan tidak pula menyedari kejahilan dirinya; jahil teropong: bodoh dan tidak mahu menerima ajaran-ajaran orang; jahil tukil: terlalu jahil.


Sebenarnya, jahil juga bermaksud buta huruf, buta hati, tidak berpendidikan, tidak berpengetahuan dan tidak bertamadun. Dalam kata yang kurang enak didengar, jahil bermakna bebal, benak, bangang, bengap, bongok, tongong, tolol, dongok, baghal, bahlul, bingung, pandik, sementung, otak udang, otak tumpul, ngong, palui, pusung, ahmak, hamik, piras hangit, goblok, pongah, bongak, congong dan songor.
 
Apahal ni Babah? Nak tuduh-tuduh orang jahil pula?

Bukan, bukan dan bukan...
Tetapi... Dalam beberapa entri yang akan datang, Babah akan cuba menyenaraikan perkara-perkara jahil yang biasa dilakukan orang supaya dapat menjadi iktibar kepada anda yang masih jahil . Oleh itu, anda boleh mengaku akan kejahilan anda dan dapat mengelakkan sakit hati daripada dituduh jahil.

Sebagai mukadimah, elakkan daripada menyebut "amin" (bermaksud: perkenankanlah ya Allah doa kami) apabila pembaca doa (contoh: imam) baharu memulakan doa dengan puji-pujian kepada Allah dan salawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. kerana anda boleh dianggap jahil jika terus berbuat demikian. Pujian-pujian kepada Allah dan Salawat ke atas Nabi ialah permulaan doa yang belum boleh dianggap doa dan tidak perlu diaminkan. Cuba perhatikan contoh di bawah:

Imam: Segala puji bagi Allah, Tuhan Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Salawat dan Salam ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w, rasul yang mulia... sekalian rasul dan segala pujian itu tertentu kepada Allah yang memiliki sekalian alam...

Makmum: Amin...

Selepas doa diucapkan, baharulah kena tempatnya kita menyebut amin, seperti:

Imam: Ya, Allah ya Tuhan kami, ampun dosa-dosa kami.

Makmum: Amin...

Nota:  
Hal di atas merupakan satu contoh perbuatan yang tidak kena pada tempatnya kerana kejahilan, seperti orang bertanyakan nama anda, tetapi anda menjawab "umur saya 46 tahun". Jika dengan manusia kita perlu bertertib ketika berkata-kata, inikan pula dengan Allah Azzawajalla.

Bersambung....