26 March, 2010

Anak Derhaka...


Ada orang berkata "sabarlah pada karenah anak-anak, takut nanti ketidaksabaran kita menjadikan anak itu derhaka". Kalimah ini kedengaran lunak di pihak ibu bapa, tetapi "awas" pada sang anak! Syariat agama tidak sedemikian lunaknya...


Adakah anak yang menderhakai orang tuanya terlepas daripada nista derhaka jika ibu bapanya rela dan tidak mengeluh atas perbuatan anak mereka itu? Adakah anak derhaka akan terlepas daripada murka Allah jika  ibu bapanya redho dan terus memanjakan mereka?

"No way man...".

Allah tetap mengutuk kederhakaan si anak walaupun orang tuanya sendiri tidak berasa kesal hati atas perbuatan anaknya itu, kerana perkara derhaka bukan hanya urusan orang tuanya sahaja, tetapi Allah menganggapnya sebagai hal yang besar. Meskipun orang tua yang diderhakai tidak mengutuk atau mendoakan akan keburukan anaknya itu, Allah tetap akan membalas sikap durjana anak tersebut di dunia dan di akhirat.

Contohnya:
Seorang anak yang mengutuk orang tuanya dari belakang. Kutukan itu tidak didengari dan tidak diketahui oleh ibu bapanya. Tetapi Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui. Maka Allah akan membalas dengan menimpakan nasib yang sangat jelek terhadap anak yang durhaka seperti itu, walaupun orang tuanya sendiri ikut berduka atas nasib yang dideritai anaknya.


Siksa atas anak yang derhaka diberi secara kontan oleh Allah di dunia, seperti penderitaan sakit (jasmani mahu pun rohani), sukar mencari nafkah (selalu kesempitan wang meskipun berpendapatan besar), hidup yang sering kacau atau berantakan dan lain-lain. Di akhirat, siksa yang lagi hebat menanti anak yang derhaka...

Oleh itu,
Wahai kawan-kawanku...
Jagalah tingkah laku dan tutur katamu terhadap ibu bapa, di depan, mahupun di belakang mereka...

Perhatikan hadis-hadis di bawah ini:

"Dua kejahatan yang akan dibalas oleh Allah di dunia ini, (iaitu) zina dan derhaka kepada ibu bapa" (riwayat Thabarani).

"Segala dosa diampuni Allah daripadanya, mana yang Ia kehendaki, kecuali dosa kepada ibu bapa. Derhaka kepada ibu bapa mencepatkan balasan bagi yang derhaka itu dalam hidupnya di dunia sebelum matinya" (riwayat Bukhari dan Muslim).

"Segala dosa dapat diundurkan daripadanya (siksanya) oleh Allah, mana-mana sahaja yang Ia kehendaki, sampai pada Hari Kiamat, kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan siksa bagi orang yang melakukan derhaka kepada ibu bapa dalam penghidupan dunia sebelum matinya" (riwayat Thabarani dan Hakim).

"Rasulullah s.a.w. ditanyai tentang dosa-dosa besar. Baginda berkata "Menyekutukan Allah dan derhaka kepada ibu bapa dan membunuh orang dan menjadi saksi palsu" (riwayat Bukhari).








Sofia, Maafkan Babah...


Pagi tadi Babah menziarahi rumah Sofia Adila, anak keenam Babah. Sofia Adila kembali ke rahmatullah pada 23 Mei 2002. Dari tarikh itu, beginilah rumah Sofia...

Rumah Sofia Adila dikelilingi Banglo dan Semi-D

Tanpa kemewahan...

Bukan Babah tidak mampu. Malah, Babah boleh sahaja membina rumahmu lebih hebat daripada rumah jiran-jiranmu...

Rumah yang berjerejak atau berkekisi


Rumah yang bermar-mar

TETAPI anakku, Babah terpaksa menelan kesedihan Babah kerana...

Jabir r.a. pernah berkata: “Rasulullah s.a.w. telah melarang kuburan dikapur (disimen), dijadikan tempat duduk, dan juga didirikan bangunan di atasnya.” (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Diharamkan oleh syara’ menghias, membuat batas, meninggikan tanah di atas kubur, memayungkan, mendirikan kubah, bangunan, menulis apa pun tulisan dan mengecat kubur berdasarkan hujah syara’ dan fatwa Imam as-Syafie rahimahullah: Daripada Abdullah bin Hasanah berkata: "Aku lihat Osman bin Affan r.a. memerintahkan agar diratakan kubur".

Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah (beliau merupakan salah seorang dalam kalangan ulama besar as-Syafieyah) menjelaskan dalam kitabnya (المنهاج) bahawa Imam as-Syafie telah berfatwa: Dibenci mengapur, membaca dan menulis tulisan di atas kubur, sama ada menulis namanya di atas batu di sebelah kepalanya atau di tempat-tempat yang lainnya.

Maafkan Babah wahai sayangku.

Juga, mohon kemaafan yang tulus dari sanubari Babah kerana Babah tidak pernah memohon keampunan untukmu atau menghadiahimu dengan surah al-Fatihah, seperti yang biasa Mama lakukan, kerana Babah percaya kamu tidak pernah berbuat dosa...

Doa Babah hanyalah "Ya Allah, izinkan aku melawat anakku di syurga apabila sampai waktunya nanti..."


Pengalaman tambahan hari ini:
1. Jiran sebelah rumah dirompak. Jumlah kerugian RM22 ribu.
2. Rumah jiran belakang rumah dipanah petir sehingga atap rumahnya berlubang sebesar 5 kaki persegi.
3. Babah bersyukur kerana musibah tersebut tidak mengenai Babah dan keluarga.







  



Masih ada yang percuma...


Kata orang, mana ada lagi khidmat percuma di dunia ini? Kencing dan berak pun dikenakan bayaran...


Tetapi, penduduk kawasan Petaling Jaya Selatan masih beruntung kerana pengurusan keberangkatan mereka ke alam barzakh diberi percuma oleh sebuah parti politik yang selalu dikecam oleh pihak pemerintah...

Kelengkapan kain kapan  PERCUMA
Mandian jenazah PERCUMA
Kenderaan van jenazah PERCUMA
Tempahan tanah kubur* PERCUMA
Bacaan talkin * PERCUMA
Kos minyak dan tol PERCUMA
Sagu hati pemandu  PERCUMA

Gambar diambil di pagar masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya

Babah, Jebat Berani, Ayid, Bujang Susah,Ijoks2009, Mohamad Azhan, Amalhaj, Anak Muallaf, Rohaifi dan rakan-rakan seperjuangan babah yang lain pasti gembira dan bangga atas usaha para sahabat  kita yang terus menerus berkhidmat untuk masyarakat tanpa  mengira penat dan lelah. Syabas!

Nota:
* Tak tahu pula Babah selama ini tanah kubur dan bacaan talkin dikenakan bayaran.
** Kalau orang kata insiatif ini merupakan salah satu usaha untuk menarik hati pengundi, tentulah silap tohmahan itu kerana ketika ini kawasan tersebut tidak berada dalam suasana pilihan raya dan Si Arwah tidak lagi ada kesempatan untuk mengundi...