Setelah memenuhi syarat pertama, syarat kedua rasanya lebih berat. Itulah sebabnya mengapa saya agak kurang yakin bahawa seseorang wanita boleh menjadi Pemburu Jin. Namun begitu, tiada yang MUSTAHIL dalam hidup ini.
Syarat Kedua: Mempunyai sikap "membujur lalu, melintang patah", "berani kerana benar" dan "benci pada kemungkaran".
Walaupun ada sedikit perasaan gentar di hati, pantang sekali perasaan itu terpancar pada wajah . Ingatlah, hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahui isi hati dan perasaan manusia. Hatta, malaikat Raqib dan Atid pun tidak mengetahui niat yang tersimpan di dada manusia. Kedua-dua malaikat itu hanya mula mencatat baik buruk amalan manusia hanya selepas amalan itu dilakukan. Jika begitu, apalah kelebihan yang ada pada jin dan syaitan. Jika anda takut sekali pun, jin dan syaitan tidak mengetahuinya, melainkan anda menggigil ketakutan, lari bertempiaran dan terkencing dalam celana (seluar). Syaitan dan jin tidak mengetahui kewafatan Nabi Allah Sulaiman sehingga patah tongkatnya yang reput dimakan anai-anai. Oleh itu, sikap garang, tubuh badan yang tegap, suara yang tinggi dengan tempikan dan sifat-sifat keberanian lain (walaupun di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu) merupakan antara aset penting untuk menjadi Pemburu Jin yang hebat.
i. "Kemudian Kami tundukkan kepadanya (Nabi Sulaiman) angin yang berhembus dengan baik menurut ke mana sahaja yang dikehendakinya, dan (Kami tundukkan pula kepadanya) syaitan-syaitan semuanya pakar binaan dan penyelam. Dan syaitan yang lain ada yang diikat dalam belenggu" (As-Shad: ayat 36-38);
ii. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Umar r.a. :"Sesungguhnya syaitan betul-betul lari daripada engkau wahai Umar!" (Riwayat Imam Ahmad, Turmizi dan Ibnu Hibban);
iii. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya saya betul-betul melihat syaitan-syaitan jin dan manusia lari bertempiaran daripada Umar" (Riwayat Turmizi dengan Isnad Sahih); dan
iv. Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu dapat mengheret syaitannya sebagaimana salah seorang daripada kamu mengheret untanya dalam perjalanan" (Riwayat Iman Ahmad).
v. Seorang sahabat bernama Ya'la bin Murrah menceritakan pengalamannya bersama Rasulullah s.a.w., katanya: "Aku melihat Rasulullah s.a.w tiga kali yang orang lain tidak melihatnya sebelumku, juga tak seorang pun melihatnya sesudahku. Aku keluar bersama baginda dalam satu perjalanan. Apabila sampai di tengah jalan, kami melewati seorang perempuan sedang duduk bersama anaknya. Perempuan itu berkata: " Wahai Rasulullah, anakku ini terkena bala', dan aku juga terkena bala' daripadanya. Pada hari ini sahaja, entah beberapa kali, aku tidak tahu". Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bawa kemari". Perempuan itu pun mengangkat anaknya kepada Rasulullah s.a.w. Lalu baginda mendudukkan di antaranya dengan tengah kenderaan. Kemudian membuka mulutnya dan meludah tiga kali, lalu baginda bersabda: "Dengan nama Allah, Aku hamba Allah, aku menghalau wahai musuh Allah". Rasulullah s.a.w. dapat menghalau jin itu dengan amaran, tengkingan dan kutukan, tetapi ini tidak cukup. Sesungguhnya kerana kekuatan, keyakinan dan hubungan baiknya dengan Allah mempunyai pengaruh yang besar.
Bersambung...