Berdosakah saya jika saya mengatakan Allah bukan berfirman, tetapi berkata? Perkataan firman berasal daripada bahasa Parsi yang bermaksud amaran atau kata perintah.
Berdosakah saya jika saya mengatakan Nabi s.a.w bukan bersabda, tetapi berkata? Perkataan sabda dipinjam daripada bahasa Sanskerta (Skankrit) yang bermaksud berkata atau bertitah.
Murkakah raja jika saya katakan mereka bukan bertitah tetapi berkata atau bercakap? Perkataan titah juga berasal daripada bahasa Sanskerta yang bermaksud berkata atau memberi perintah.
Benarkah perkataan firman, sabda dan titah lebih tinggi nilainya daripada perkataan berkata atau bercakap?
Mengapakah perkataan-perkataan itu dimuliakan, sedangkan di dalam al-Qur'an atau al-hadis tidak ada sekali pun perkataan-perkataan tersebut diguna pakai. Di dalam al-Qur'an , perkataan "qaala" digunakan untuk Allah, Nabi Muhammad s.a.w. atau sesiapa sahaja, termasuk musuh Allah, iaitu syaitan?
Sambungan Selembar Benang...
Kesilapan lumrah dalam mengungkap kata ganti diri:
1. Perkataan "beliau" tidak boleh digunakan untuk orang yang tidak dihormati (seperti penjenayah), kanak-kanak dan binatang;
2. Perkataan "dia" atau "ia" tidak boleh digunakan untuk binatang;
3. Perkataan "kami" bererti saya dengan dia, iaitu orang yang diajak bercakap tidak disertakan. Perkataan "kita" bererti anda dengan saya, iaitu orang yang diajak bercakap disertakan;
4. Perkataan "mereka" tidak boleh digunakan untuk benda dan binatang;
5. Perkataan "mereka" tidak boleh diulang menjadi "mereka-mereka"; dan
6. Perkataan "ia" dan "nya" tidak boleh digabungkan menjadi "ianya".
Mujur nama Allah tidak diambil daripada bahasa asing!