07 December, 2009

Sehari Selembar Benang 13


Salah satu komponen yang menjadikan bahasa Melayu sedap didengar ialah peribahasanya (bidalan, pepatah atau perumpamaan) yang diwarisi zaman berzaman. Peribahasa menggambarkan ketajaman pemerhatian dan pemikiran nenek moyang kita yang membandingkan realiti kehidupan dengan segala tingkah laku manusia dan suasana alam sekeliling. Aspek ini telah diabaikan atau dipandang enteng (ringan atau mudah) oleh para penulis ekonomi, perbankan dan kewangan sehingga bahasa Melayu yang digunakan kaku dan hilang keindahannya.



Photobucket
Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher

Sebenarnya, banyak perumpamaan yang boleh kita gunakan apabila menggarap sesuatu isu yang bersangkutan dengan ekonomi, perbankan dan kewangan. Berikut ialah beberapa contoh peribahasa yang masih relevan digunakan dalam penulisan ekonomi, perbankan dan kewangan moden.

1.        Cermat masa banyak, jimat masa sedikit - selalu berhati-hati ketika berbelanja;
2.        Cicir dipungut, hilang dicari - jangan melakukan pembaziran;
3.        Hempas tulang berisi perut - hidup akan senang jika rajin bekerja;
4.        Ingat sebelum kena, jimat (hemat) sebelum habis - berwaspada setiap masa supaya tidak terpedaya dan habis harta;
5.        Jika hendak beranak, ikutlah kata bidan - mendengar nasihat pakar;
6.        Sempit bertimpuh, lega berlunjur - menyesuaikan perbelanjaan dengan pendapatan;
7.        Air digenggam tidak tiris - orang yang kedekut atau terlalu cermat apabila berbelanja;
8.        Air mudik sungai, semua teluk diranai - orang yang boros akan berbelanja tanpa perhitungan;
9.        Alah membeli, menang memakai - tidak apalah barang yang dibeli itu mahal sedikit asalkan barang itu tahan lama;
10.       Aur ditanam betung tumbuh - mendapat laba (untung) yang banyak dengan modal yang sedikit;
11.       Baru bertunas sudah dipetik, masakan boleh hidup - belum banyak untungnya, sudah berbelanja besar;
12.       Besar pasak daripada tiang, besar sendal daripada gelegar - lebih besar belanja daripada pendapatan; dan
13.       Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher - penjamin lebih berisiko berbanding dengan peminjam.

Sila dapatkan lebih banyak contoh-contoh peribahasa Melayu di sisipan blog ini.

Sambungan Selembar Benang...

Istirahat vs istirehat
Istirahat bermaksud keadaan atau suasana santai. Perkataan ini tidak ada kena mengena langsung dengan perkataan rehat yang bermaksud melepaskan lelah atau mengaso. Tetapi, perkataan istirahat ini selalu disalah eja menjadi istirehat sedangkan tidak ada perkataan istirehat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu.

Selsema vs selesema
Perkataan selsema juga tidak terdapat dalam perbendaharaan kata bahasa Melayu. Yang ada ialah selesema. Selesema bermaksud sakit dan berhingus.

Hadirin vs hadirat
Hadiran bermaksud sekalian (bukan sekelian) yang hadir, manakala hadirat bermaksud kehadiran, tempat menghadap (raja, nabi, Tuhan). Orang Melayu telah menyalah guna perkataan ini dengan menganggap hadirin untuk lelaki manakala hadirat untuk perempuan, seperti muslimin dan muslimat. Cara yang betul mengungkap perkataan ini ialah hadirin yang dihormati....

17 comments:

  1. sy suka mngarang puitis tapi kene ada idea gak, bahasa melayu mmg dah byk lari.. dan seolah2 di pandang ringan.. terus terang sy kata anak sulung sy tak mahir bahasa english jadi ssh jwbnya sbb math pun dlm Bi.. kekdg satu apa pun dia tak paham

    ReplyDelete
  2. Tuan Shamsudin,
    Terima kasih atas perkongsian pelbagai maklumat tentang bahasa dan keindahan bahasa dalam blog tuan. Blog tuan juga telah saya masukkan dalam senarai tepi blog saya dalam kategori blog yang selalu dikunjung @ dibaca oleh oleh saya.

    ReplyDelete
  3. Aduhai, kalau kau jadi pemeriksa pasti kertas karangan aku banyak bulat-bulat merah.

    Tiga-tiga perkataan itulah yang selalu aku salah gunapakai.

    Lagi banyak nukilan kau aku baca, lagi kerdil aku dibuatnya...

    Anyway, tq atas tulisan yang infomatif... Seriau nak tulis panjang-panjang, takut banyak silap!

    ReplyDelete
  4. yg selsema bru tw,.
    ingt wjud dlm kamus.,

    ReplyDelete
  5. Salam Maiyah, Insan Marhaen dan CikTi. Kita jangan takut membuat kesalahan dan jangan pula susah diperbetulkan. Insya-Allah, dari semasa ke semasa kita boleh memperbaiki apa yang kurang. Yang saya gusar ialah CikTi. Takut sudah terbiasa menulis cara remaja, nanti tak sengaja pula membuat kesilapan ketika berkomunikasi secara rasmi. Sesekali kena cuba menulis secara formal untuk pembaca CikTi. Tengok respons mereka.

    Salam Tuan Rusdi. Saya akan selalu berkunjung ke blog anda untuk terus memperbaiki bahasa Melayu saya. Jazakaullahu khairan kathira.

    ReplyDelete
  6. salam en,
    terima kasih sharing

    makin lama makin moden
    makin manusia maju (konon)
    makin byk menda segera
    makin banyak ayat2 baru
    ayat moden
    ayat2 terkini
    omg
    omg= oh my god
    hahhaha

    ReplyDelete
  7. Blog yg memartabatkan bahasa Melayu. Harap anak2 muda masa kini lebih menghargai bahasa Melayu dari bahasa luar. Tp tu la, kebanyakan Melayu kini lebih suka berbicara menggunakan bahasa inggeris dari Melayu. Lihat sahaja di pasaraya/restoran terkenal terutamanya di sekitar KL. Sesama Melayu pun nak ambik pesanan menggunakan bahasa inggeris. Adeh. :D

    ReplyDelete
  8. assalammualaikum encik Samsudin

    peribahasa yang dicontohkan di atas , menarik sekali.
    sayangnya, banyak yang baru saya ketahui hari ini.

    tentang 3 perkataan yang sering disalah guna itu, memang saya salah seorang darinyalah..

    * saya dah google sedikit tentang pasantren Gontor itu... memang teruja betul ya. terima kasih atas maklumat tersebut.

    ReplyDelete
  9. Salam blueCity, alang dan Cikgu Normah. Terima kasih kerana sudi bertandang ke rumah saya. Saya ingin menegaskan sekali lagi kepada semua pembaca blog ini, tiada niat saya untuk sengaja mencari salah orang dan saya juga bukan anti kepada cara penulisan anak-anak muda. Saya hanya ingin mereka tahu membezakan mana yang betul dan mana yang salah bagi memudahkan mereka berkomunikasi secara formal kelak. Wallahualam.

    ReplyDelete
  10. Menang membeli menang memakai-beli perfume kat Parkson RM385
    alah membeli alah memakai-beli kereta proton MPV
    alah membeli menang memakai-baju kat uptown
    menang membeli alah memakai-nasi ayam yg murah tapi xsdp.


    pening laa hehhh

    ReplyDelete
  11. Wow Cik Cookie hebat macam Karam Singh. Sangat kreatif... Terima kasih-terima kasih.

    ReplyDelete
  12. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  13. Salam tuan rumah....

    Yang berhutang terjerat di kaki, yang menjamin terjerat di leher...... aku duk terjerat di leher la ni.... huwaaaa.... huwaaa....

    ReplyDelete
  14. terima kasih, kerana membahasakan peribadi kita.

    ReplyDelete
  15. Salam Umar, Shifu67 dan Muhaimin. Terima kasih atas komen kalian. Janganlah ragu-ragu untuk datang memberi komen lagi. Manfaatkan hari-hari yang kita lalui untuk belajar apa-apa sahaja. Saya juga akan berkunjung ke blog-blog anda untuk mempelajari sesuatu di sana.

    ReplyDelete
  16. aha.... bagus... kalah laman web DBP.. bagus.

    ReplyDelete
  17. Terima kasih aloy. Janganlah puji tinggi sangat, kalau jatuh, tersembam...

    ReplyDelete