18 January, 2010

Palestin: Tercalarkah Iman Kita?


Pada Jumaat lepas, saya menerima sekeping kalendar yang bertemakan "Selamatkan Al-Quds: Masjid Al-Aqsa Kiblat Pertama".



Yang menarik perhatian saya bukanlah kalendar tersebut, tetapi rajah yang terdapat di belakangnya (sila lihat gambar di bawah).


                              (a)                       (b)                     (c)                     (d)

Huraian Rajah di atas (diambil daripada beberapa sumber):

(a) Kawasan berlorek (gelap) merupakan kawasan milik umat Palestin, manakala kawasan berwarna putih adalah kawasan penempatan orang-orang Yahudi.

(b) Kawasan berlorek semakin mengecil berikutan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) terhadap pelan pemisahan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab pada tahun 1947, iaitu satu rancangan yang telah ditolak oleh masyarakat Arab.  Kepimpinan Yahudi,diketuai bakal Perdana Menteri mereka ketika itu David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan Israel pada 14 Mei 1947. Kemerdekaan  Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.

(c) Perang Enam Hari terus mengubah peta negara Palestin. Perang itu (B.Ibrani: מלחמת ששת הימים Milkhemet Sheshet HaYamim, B. Arab: حرب الأيام الستة ḥarb al-ayyām al-sittaṯ) juga dikenali sebagai Perang Arab-Israel 1967 yang melibatkan negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan dan Syria.

(d) Sejak tahun 2000 hingga sekarang, tanah jajahan musuh Allah ini (Zionis) semakin meluas sehingga saudara kita, rakyat Palestin menjadi pelarian di negara mereka sendiri.


Teks Asal



Palestin merupakan negara dan tempat lahir beberapa Rasul. Al-Qur’an menceritakan bahawa Nabi Ibrahim, Lut, Ismail, Ishak, Ya’kub, Yusuf, Daud, Sulaiman, Saleh, Zakaria, Yahya dan Isa tinggal di Palestin. Beberapa Nabi dalam kalangan Bani Israel yang tidak disebut di dalam Al-Quran juga tinggal di tanah suci ini, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis sahih.


”Maha suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Al-Isra’:1).


Palestin juga merupakan negara yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. dengan peristiwa perjalanan Nabi Muhamad s.a.w. pada waktu malam (al-Isra’) ke Masjid Al-Aqsa dan dari sana Nabi Muhamad s.a.w diangkat (mikraj) ke langit. Di Masjid al-Aqsalah Allah menghimpunkan kesemua Nabi dan mereka bersama-sama bersolat dengan diimamkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. Ini merupakan tanda kesinambungan tauhid (Percaya kepada Allah Yang Satu) yang dibawa oleh kesemua Nabi dan Rasul, dan penyerahan warisan serta dakwah kepada seluruh umat Islam. Dalam satu hadis sahih menyatakan bahawa Masjid Al-Aqsa merupakan ”tanah kebangkitan dan kiamat” - Terjemahan Babah.



Pesan Babah:
Kita hanya memerhatikan pembersihan etnik yang dilakukan oleh Zionis terhadap saudara seagama kita di bumi Palestin dan membiarkan mereka dihalau dan dibunuh, sedangkan Rasulullah s.a.w. pernah berkata "Tidak sempurna iman seseorang kamu, sehingga ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri". Bukan itu sahaja, kita telah membiarkan musuh Allah itu mencemarkan kiblat kita yang pertama (Masjid al-Aqsa) sebelum Allah memerintah Nabi s.a.w. beralih kiblat Mekah Al-Mukarramah. Oleh itu, bantulah mereka mengikut kemampuan anda sebelum datang bala Allah kepada kita dan sebelum umat yang akan datang menghina kita kerana membiarkan saudara kita sendiri disembelih oleh Zionis.







Read more...

15 January, 2010

Sofia, apa khabar kau wahai anakku?


Sudah tentulah Sofia lebih baik di bawah penjagaan Allah, berbanding  penjagaanku yang serba kekurangan ini. Allah s.w.t. menganugerahi Sofia Adila binti Samsudin kepada kami pada 23 April 2000.  Allah mengambilnya kembali pada 23 Mei 2002. Tempoh titipan ini hanya selama 2 tahun sebulan. Seandainya Allah terus meminjamkan Sofia kepada kami, umur anak itu pada 23 Mei 2010 akan menjangkau 10 tahun. Meskipun pemergian Sofia sudah lama berlalu, tetapi ingatan kami sekeluarga kepadanya tetap terpahat di hati, senyuman Sofia tetap berada di hujung kelopak mata.



Sofia anak yang senantiasa ceria

Allah s.w.t. memberi notis kepadaku hanya seminggu. Namun aku gagal mengesan notis itu. Si Anak sering muntah apabila diberi susu. Doktor klinik biasa (GP Doctor) setakat ilmunya yang ada, menasihati kami supaya menukar susu anak itu. Melihat Sofia semakin tidak selesa dan sering tidak tidur malam (namun tidak pula menangis), lantas kubawa Sofia ke Hospital Pakar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Atas nasihat doktor pakar di sana, kami membawa pula Sofia ke Hospital  Ampang Puteri. Di sana Sofia disahkan menghidapi tumor otak (kanser) yang dipanggil "Brain Stem Gliomas" di peringkat paling kritikal. Apabila diberitahu hal itu, aku hanya mampu berkata "Ya Allah!"



Seminggu kemudian, Sofia "berjaya" menjalani pembedahan. Hospital dipenuhi keluargaku yang begitu ramai termasuk orang-orang yang aku tidak kenali. Ramai, sememangnya ramai. Dia  berjaya meraih kasih sayang hampir kesemua yang berada di sana.  Itulah Sofia kesayangan Allah. Aku tidak henti-henti menelefon kawan-kawan dan sahabat handai untuk mengungkap rasa gembiraku yang teramat sangat atas "kejayaan" pembedahan tersebut.


Hari raya Aidilfitri terakhir bersama Sofia

Tetapi, menjelang dinihari, aku dipanggil doktor kerana terdapat komplikasi pada anakku. Hatiku luluh, remuk, hancur, kakiku menggeletar hampir tidak mampu berdiri apabila melihat anakku sedang bertarung dengan nyawanya. Mulut hanya mampu berkata "Ya Allah". Sedetik kemudian, aku berlari mencari surau. Aku bersolat sunat dua rakaat. Namun, aku tidak dapat menahan tangis. Aku lebih banyak menangis daripada membaca ayat-ayat Allah.  Selepas memberi salam, aku berpaling memandang isteriku dan mendengar "bah, anak kita sudah tiada..."


Malam sebelum hari pembedahan.
Sofia sedang membaca buku bersama mama "Ini matanya, ini mulutnya..."
 Sofia selepas dibedah


Sejam sebelum Sofia meninggalkan kami

Jika masa dapat diputarkan kembali atau jika aku sedar akan notis yang Allah berikan  kepadaku, niscaya aku tidak akan melepaskan peluang untuk mendakap Sofia erat-erat, menciumnya tak henti-henti, mendukungnya biar lenguh tangan dan jari.


Sofia anak babah, babah tetap merindui Sofia walaupun Sofia telah jauh meninggalkan babah. Kita akan berjumpa di sana, tetapi ketika itu Sofia mungkin sudah dewasa.



Air mata babah mengalir di dalam hati apabila teringat lagu
Ayam Oh Ayam McD, nyanyian SOFIA.
 "Ayam oh ayam, mengapa engkau......"





Read more...

14 January, 2010

Selembar Benang 16: Bahasa yang Mulia?




Berdosakah saya jika saya mengatakan Allah bukan berfirman, tetapi berkata? Perkataan firman berasal daripada bahasa Parsi yang bermaksud amaran atau kata perintah.

Berdosakah saya jika saya mengatakan Nabi s.a.w  bukan bersabda, tetapi berkata? Perkataan sabda dipinjam daripada bahasa Sanskerta (Skankrit) yang bermaksud berkata atau bertitah.

Murkakah raja jika saya katakan mereka bukan bertitah tetapi berkata atau bercakap? Perkataan titah juga berasal daripada bahasa Sanskerta yang bermaksud berkata atau memberi perintah.

Benarkah perkataan firman, sabda dan titah lebih tinggi nilainya daripada perkataan berkata atau bercakap?

Mengapakah perkataan-perkataan itu dimuliakan, sedangkan di dalam al-Qur'an atau al-hadis tidak ada sekali pun perkataan-perkataan tersebut diguna pakai. Di dalam al-Qur'an , perkataan "qaala" digunakan untuk Allah, Nabi Muhammad s.a.w. atau sesiapa sahaja, termasuk musuh Allah, iaitu syaitan?



Sambungan Selembar Benang...

Kesilapan lumrah dalam mengungkap kata ganti diri:
1. Perkataan "beliau" tidak boleh digunakan untuk orang yang tidak dihormati (seperti penjenayah), kanak-kanak dan binatang;
2. Perkataan "dia" atau "ia" tidak boleh digunakan untuk binatang;
3. Perkataan "kami" bererti saya dengan dia, iaitu orang yang diajak bercakap tidak disertakan. Perkataan "kita" bererti anda dengan saya, iaitu orang yang diajak bercakap disertakan;
4. Perkataan "mereka" tidak boleh digunakan untuk benda dan binatang;
5. Perkataan "mereka" tidak boleh diulang menjadi "mereka-mereka"; dan
6. Perkataan "ia" dan "nya" tidak boleh digabungkan menjadi "ianya".


 Mujur nama Allah tidak diambil daripada bahasa asing!
 



Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...