21 December, 2009

Antara Dua Darjat...


Dari Kemegahan Hingga Ke Kuburan

Sepanjang hidup kita, kita banyak menyaksikan keadaan, kejadian atau peristiwa yang kita rasakan berlaku secara tidak adil.  Salah satu punca ketidakadilan ini ialah amalan pihak tertentu (biasanya, pihak berkuasa) yang salah meletakkan sesuatu pada tempatnya (salah meletakkan keutamaan) dan bersikap lebih cenderung pada sesuatu perkara atas kepentingan peribadi.  Walhasil, wujudlah ungkapan "antara dua darjat" yang dipopularkan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Semasa bercuti di Pulau Pangkor bersama keluarga dua minggu lepas, saya melihat satu fenomena "antara dua darjat" berlaku di sana, seperti dalam gambar di bawah:


Pelaburan besar untuk duniawi, surau dibiarkan sehingga hilang seri...

Nota:
Pembangunan hebat telah berlaku di Pulau Pangkor selepas Dato' Seri Dr. Zambry bin Abdul Kadir, anak watan Pulau itu ditabalkan sebagai Menteri Besar Perak. Anda akan dapat merasakan kelainan Pulau itu sebaik sahaja feri yang membawa anda berlabuh di pangkalan. Tidak ada yang salah mengenai perkara ini. Apa yang mungkin Dr. Zambry terlepas pandang adalah keadaan surau yang terletak di lokasi strategik Pulau Pangkor, iaitu di Teluk Nipah yang begitu daif. Dr. Zambry sepatutnya peka tentang hal ini kerana pembangunan surau dan masjid merupakan pelaburan jangka panjang hingga ke akhirat, di samping dapat mengawal persepsi masyarakat terhadap beliau. Saya mengenali Dr. Zambry kerana kami pernah berbual beberapa kali secara empat mata. Meskipun kami berlainan "kapal", saya secara peribadi memandang tinggi pada beliau yang saya anggap cukup berkarisma, tidak seperti apa yang digambarkan oleh sebahagian media alternatif. Namun, aku tetap memilih "bulan mengambang".

Sebelum ini, saya merasakan perkara yang sama berlaku pada bahasa Melayu yang kucintai:


Bahasa Melayu yang patut dijunjung, tetapi bahasa Inggeris juga yang terus disanjung

Nota:
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Laporan Razak 1956 mencadangkan bahasa Melayu sebagai pengantar dalam sistem pendidikan negara.


Sebelum itu, hal ini terungkap dalam pembinaan Menara Kembar (bukan Berkembar) yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur sekarang ini. Gambar di bawah ini menceritakan segala-galanya.


Menara KLCC semenangnya hebat, tetapi masih ramai lagi rakyat yang hidup melarat...

Sebenarnya, hal yang sedemikian bukanlah suatu perkara yang luar biasa kerana selepas meninggalkan dunia yang fana ini pun manusia tetap memikirkan darjat, sedangkan di sisi Allah ketinggian darjat seseorang bergantung pada nilai takwanya.



Darjat dibawa ke kubur dengan harapan dapat berlibur...

Nota:
Berdasarkan Sunnah Nabi s.a.w, kubur yang tinggi harus dirobohkan dan diratakan. Berdasarkan hadis Ali bin Abi Thalib r.a. bahwa ia berkata, "Ketahuilah, aku akan mengutusmu untuk sebuah tugas yang dahulu pernah Rasulullah s.a.w. tugaskan kepadaku, iaitu janganlah biarkan patung kecuali engkau menghancurkan dan janganlah biarkan kuburan yang tinggi kecuali engkau ratakan!" (HR Muslim (969).


Akhirul kalam,
Hakikat ini perlu diterima kerana itulah sebenarnya sikap manusia.  Al-Qur'an yang diperintahkan oleh Allah untuk diikuti, manusia tetap mencari atau mengambil alternatif lain sebagai pedoman dan panduan.


Al-Quran diturunkan darjat (di bawah undang-undang dunia) menjadi bahan sedekah untuk Si Mati dan doa semasa kenduri, bukan untuk diikuti dan dipatuhi...

Nota:
Firman Allah s.w.t:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَىْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلأَخِرِ
Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah s.w.t (al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah s.w.t dan hari kemudian.. (QS. An-Nisaa`:59)



Firman Allah s.w.t:

وَأَنزَلْنَآإِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ الْكِتَابِ وَمُهَيْمِنًا عَلَيْهِ فَاحْكُم بَيْنَهُمْ بِمَآأَنزَلَ اللهُ وَلاَتَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ الْحَقِّ
Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Qur'an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, iaitu kitab-kitab (yang diturunkan sebelumnya) dan batu ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu; maka putuskanlah perkara mereka menurut apa yang Allah SWT turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. (QS. Al-Maidah:48)


Pesanan Babah:
Sebagai insan yang lemah, kita sering alpa sehingga anak-anak sendiri pun kadang kala kita bezakan, inikan pula hal-hal lain. Bagi mengelakkan berlaku kealpaan yang berlanjutan, kita dinasihati Nabi s.a.w. untuk selalu bermuhasabah diri dan terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan sekadar yang termampu oleh kita. Selainnya, kita serahkan kembali kepada Allah untuk menentukannya.

Firman Allah:
Dan Katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir. QS. Al-Kahfi: 29


"Mangsa antara dua darjat"



Nota bahasa:
1. Kata antara merupakan kata sendi nama, manakala kata di antara berfungsi sebagai penanda arah.
Contoh di antara:
Di antara Johor dengan Singapura terentang jambatan yang lebar.
Daud duduk di antara emak dengan bapanya.
Contoh antara:
Antara majalah yang diminati ialah Mangga dan Mastika.
Hubungan diplomatik antara China dengan Taiwan tidak pernah wujud.

2. Pangkalan bermaksud tempat perahu, feri atau kapal berlabuh. Perkataan ini sering disalah eja dengan pengkalan.
Read more...

20 December, 2009

Sakit Hatiku Membuak-buak!


Sakit Hati Tahap Pertama.
Hari ini aku mencari ATM Maybank yang masih berfungsi di sekitar Cheras. Dari stesen minyak hingga ke cawangan-cawangannya. Semua memaparkan ”Out of Service”. Perkara seperti ini biasa berlaku pada hujung minggu. Aku yang tak serik-serik mencuba nasib nak keluarkan wang sendiri!



Sakit Hati Tahap Kedua
Sebelum itu, hatiku disakiti dengan peristiwa di bawah.

Lost or stolen card?
Don't worry. Call 1-800-88 3231 or 03-2072 1373 for credit cards and 1-300 88 6688 for ATM cards to report it immediately.



Itu janji Maybank kepada kita. Janji yang dibuat dalam bahasa Inggeris kerana kita sememangnya tidak menjangkakan bahawa mereka berminat untuk menggunakan bahasa Melayu. Laman web maybank2u.com.my 100% berbahasa Inggeris, sedangkan lebih 50% pelanggannya berbangsa Melayu.

“Helo, Maybank. Saya Samsudin Jidin. Saya ingin melaporkan kehilangan kad ATM saya, tetapi saya ingin memohon supaya penggunaan kad itu digantung (suspend) terlebih dahulu sebelum ditamatkan perkhidmatannya bagi membolehkan saya mencari kad tersebut di sekitar rumah. Jika didapati benar-benar hilang, baharulah saya akan membuat aduan rasmi tentang kehilangan kad berkenaan" kata saya kepada penyambut panggilan yang ramah (?).

“Boleh tak Encik memberikan nombor kad yang hilang itu kepada saya” sampuk gadis yang bersuara lunak di sebelah sana.

“Saya tak ingat dan tak semestinya saya perlu mengingati nombor sebanyak 16 digit itu. Nombor itu tidak penting, kecuali nombor akaun dan nombor pin” kata saya yang mula naik angin.

” Ini prosedur Encik" balasnya.

”Prosedur yang tak betul kena diperbaiki”, kata saya dengan suara yang agak tinggi.

”Oklah Encik. Saya akan maklumkan masalah ini kepada pihak atasan kami. Mengenai kehilangan kad ATM Encik, kami tidak boleh menggantung perkhidmatan kad Encik. Encik kena pergi ke cawangan kami yang berhampiran untuk menukar kad baharu. Tetapi kami akan mengenakan caj sebanyak RM12.00”.

”Mengapa tidak boleh digantung dahulu, sedangkan kad kredit boleh? Saya tidak mahu dengan mudah kehilangan RM12.00 kepada Maybank" jerit saya yang sudah hilang sabar sedikit.

”Ini prosedur Encik” balas penyambut panggilan.

”Prosedur lagi... Kalau tak dapat bantu saya tak apalah” kata saya dengan kecewa.

”Ya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu lagi” katanya mengikut format khidmat pelanggan Maybank.

”Maaf, dari mula lagi anda tidak membantu saya”, balas saya dan terus menamatkan panggilan.

Begitulah cerita bagaimana sakitnya hatiku berhadapan dengan syarikat kewangan di Malaysia yang menggunakan sepenuhnya sistem pasaran monopolistik mereka. Orang ramai terpaksa akur

Sakit Hati Tahap Ketiga
Sakit hati dan mata apabila syarikat sebesar Maybank ini tidak cuba menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Sekali-sekali guna bahasa Melayu pun masih hancai-boncai (kata pasar).


Deposit ialah kata nama yang bermaksud simpanan. Kata kerjanya ialah mendepositkan. Oleh itu ayat "Depositlah hari ini" pada kain rentang seperti dalam gambar di atas sangat jelas kesalahannya. Begitu juga dengan perkataan minima yang sepatutnya ditulis minimum.


"Tembak"mana-mana yang pincang"



Nota:
Pasaran monopolistik adalah salah satu bentuk pasaran yang terdapat banyak pengeluar dengan menghasilkan barangan serupa tetapi memiliki perbezaan dalam beberapa aspek. Penjual dalam pasaran monopolistik tidak terbatas, namun setiap produk yang dihasilkan pasti memiliki karakter tersendiri yang membezakannya dengan produk lain. Contohnya ialah syampu, ubat gigi, dan lain-lain. Meskipun fungsi semua syampu sama, yakni untuk membersihkan rambut, tetapi setiap produk yang dihasilkan pengeluar berbeza, misalnya perbezaan dari segi aroma, warna, kemasan, dan lain-lain. Dalam pasaran monopolistik, pengeluar memiliki kemampuan untuk mempengaruhi harga, walaupun pengaruhnya tidak sebesar pengeluar daripada pasaran monopoli atau oligopoli.

Read more...

18 December, 2009

Komen Sahabat Bernama Izazin...



Komen seorang sahabat bernama Izazin di blog Bujang Susah (klik di sini) tentang artikel saya “Kawan Karibku Murtad” yang diposkan di sana:


Saya salahkan kawan anda itu sekali tetapi salahkan anda 9 kali. Kenapa? Sebab anda tidak berusaha menariknya semula bila dia jatuh, kedua, lidah anda kelu nak ckp walhal jumpa dah byk kali sebab kalau bercakap kang u tak dpt pulak projek2 "baik", ketiga, sebab byk terhutang budi rela kawan gadai agama, keempat dasar lelaki pemalas kerja keras, buat terjemahan pakai otak je, kalau Allah tarik satu fius otak tu, u all dpt buat terjemahan ke?, nabi n sahabat dulu siap berperang, gadai nyawa nak naikkan n mertabatkan Islam, kelima, u pun dah dihasut oleh iblis melengah-lengahkan usaha menariknya ke jalan benar, keenam, kalau buat kerja berlantaikan material, nak martabatkan bahasa Melayu konon, mang tak dapat aper, cuba berlantaikan soleh, jadilah penterjemah soleh, nak martabatkan agama dengan mempergunakan bahasa, ketujuh, u pun dah syok dibuai duniawi, kelapan, u tulis n isi blog dgn petikan yg maha dahsyat tp u sendiri tak baca, anak ketam suruh jln lurus, u pulak jadi mak ketam, kelapan, amalan u sendiri kene perbetulkan, muhasabahlah diri sendiri, dan yang kesembilan, lu pikirlah sendiri........


Komen saya terhadap komen beliau:


1. ”Abang Mat” jatuh sudah lama dulu, iaitu pada tahun 1998 dan beberapa tahun kemudian beliau menjadi paderi. ”Mendakwah” seorang paderi (ulama Kristian) tidak semudah mulut menyebut "menarik semula bila dia jatuh".  Jika saya kenal sahabat ini, nescaya saya akan mencadangkan nama beliau sebagai ”Menteri Agama” supaya gejala murtad dapat segera dibendung.


2.  Antara cara yang berhemah yang dituntut Nabi s.a.w untuk berdakwah dengan menunjukkan keperibadian yang baik, berdakwah mengikut waktu dan keadaan yang sesuai dan berlemah lembut. Cara ”keras” yang disarankan oleh sahabat kita ini sudah tidak relevan, lebih-lebih lagi sehingga menyeru untuk berperang.  Bagi beliau cara berperang boleh menyelesaikan segala masalah agama.  Saya rasa selain daripada menjadi ”Menteri Agama”, beliau juga boleh dilantik menjadi ”Menteri Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Peperangan”.


3.   Projek itu bukan projek ”Abang Mat”.  Dia tidak ada satu projek pun.  Kami berkongsi projek bersama-sama.  Projek terjemahan tidak ada kena dalam soal ini.  Kerjasama kami dalam projek-projek ini berlaku sebelum saya mengetahui ”Abang Mat” sudah meninggalkan agama Islam.  Apa yang saya faham dengan ilmu yang cetek ini, bermuamalat dengan penganut agama lain dibolehkan oleh agama. ”Mubah” kata ulama.  Mungkin “haram” mengikut anutan Sang Sahabat.


4.  Insan ”soleh” hanya diiktiraf oleh Allah bukan makhluk, jauh sekali oleh sahabat kita ini.  Sempitnya pemikiran beliau. Mungkin selepas soleh, beliau akan mengkategorikan orang itu sebagai "keramat” pula.  Wallahualam.


5.  ”Duniawi” juga dituntut oleh Yang Maha Esa selain daripada usaha menyediakan bekalan untuk ”akhirat”.  Teringin sangat saya berjumpa dengan sahabat ini untuk melihat betapa ”zuhudnya” beliau.


6. ”u tulis n isi blog dgn petikan yg maha dahsyat tp u sendiri tak baca”. anak ketam suruh jln lurus, u pulak jadi mak ketam, kelapan, amalan u sendiri kene perbetulkan, muhasabahlah diri sendiri, dan yang kesembilan, lu pikirlah sendiri........ Komen Babah: Ayat carca-marba ini perlu dijawab oleh Bujang Susah kerana ia bukan ditujukan kepada saya. Nadanya macam ada sesuatu yang tidak disukai oleh sahabat kita kepada Bujang Susah dan artikel saya dibelasah dengan semberono (maaf Bujang).


Kesimpulan:
Pada awalnya, respons saya kepada Bujang Susah adalah supaya beliau tidak melayani komen-komen seperti itu. Golongan seperti ini telah wujud sejak dari zaman Nabi s.a.w. lagi. Mereka senantiasa tidak senang dengan usaha kebaikan yang orang lain buat.  Bagi beliau, orang lain semuanya salah kecuali beliau.  Banyak kali juga saya bertemu orang-orang seperti ini dalam hidup saya, tetapi pada amnya mereka ini tidak lebih seperti ”tin kosong” dan sebahagiannya pula seperti ”lalang”.  Akhirul kalam, ingin saya tegaskan di sini, cerita ”Abang Mat” adalah ringkasan daripada cerita yang panjang lebar tentang hubungan kami.  Jika artikel itu ditulis berjela-jela, ramai pembaca semput membacanya atau terus mengabaikannya.  Matlamatnya satu, iaitu untuk menjadi iktibar kepada pembaca blog babah bahawa di luar sana pelbagai perkara yang di luar daya fikir kita boleh berlaku.  Bukan babah mahu mereka membanteras murtad (tugas ini harus dibebankan kepada Jabatan Agama - demi keselamatan) tetapi supaya mereka berwaspada dan memelihara diri dan keluarga daripada kesesatan.  Ini adalah berdasarkan firman Allah s.a.w. yang mafhumnya:


 "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (Tahrim 66:6)”.  



Apo nak dikato lai...



Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...