20 December, 2009

Sakit Hatiku Membuak-buak!


Sakit Hati Tahap Pertama.
Hari ini aku mencari ATM Maybank yang masih berfungsi di sekitar Cheras. Dari stesen minyak hingga ke cawangan-cawangannya. Semua memaparkan ”Out of Service”. Perkara seperti ini biasa berlaku pada hujung minggu. Aku yang tak serik-serik mencuba nasib nak keluarkan wang sendiri!



Sakit Hati Tahap Kedua
Sebelum itu, hatiku disakiti dengan peristiwa di bawah.

Lost or stolen card?
Don't worry. Call 1-800-88 3231 or 03-2072 1373 for credit cards and 1-300 88 6688 for ATM cards to report it immediately.



Itu janji Maybank kepada kita. Janji yang dibuat dalam bahasa Inggeris kerana kita sememangnya tidak menjangkakan bahawa mereka berminat untuk menggunakan bahasa Melayu. Laman web maybank2u.com.my 100% berbahasa Inggeris, sedangkan lebih 50% pelanggannya berbangsa Melayu.

“Helo, Maybank. Saya Samsudin Jidin. Saya ingin melaporkan kehilangan kad ATM saya, tetapi saya ingin memohon supaya penggunaan kad itu digantung (suspend) terlebih dahulu sebelum ditamatkan perkhidmatannya bagi membolehkan saya mencari kad tersebut di sekitar rumah. Jika didapati benar-benar hilang, baharulah saya akan membuat aduan rasmi tentang kehilangan kad berkenaan" kata saya kepada penyambut panggilan yang ramah (?).

“Boleh tak Encik memberikan nombor kad yang hilang itu kepada saya” sampuk gadis yang bersuara lunak di sebelah sana.

“Saya tak ingat dan tak semestinya saya perlu mengingati nombor sebanyak 16 digit itu. Nombor itu tidak penting, kecuali nombor akaun dan nombor pin” kata saya yang mula naik angin.

” Ini prosedur Encik" balasnya.

”Prosedur yang tak betul kena diperbaiki”, kata saya dengan suara yang agak tinggi.

”Oklah Encik. Saya akan maklumkan masalah ini kepada pihak atasan kami. Mengenai kehilangan kad ATM Encik, kami tidak boleh menggantung perkhidmatan kad Encik. Encik kena pergi ke cawangan kami yang berhampiran untuk menukar kad baharu. Tetapi kami akan mengenakan caj sebanyak RM12.00”.

”Mengapa tidak boleh digantung dahulu, sedangkan kad kredit boleh? Saya tidak mahu dengan mudah kehilangan RM12.00 kepada Maybank" jerit saya yang sudah hilang sabar sedikit.

”Ini prosedur Encik” balas penyambut panggilan.

”Prosedur lagi... Kalau tak dapat bantu saya tak apalah” kata saya dengan kecewa.

”Ya. Ada apa-apa yang boleh saya bantu lagi” katanya mengikut format khidmat pelanggan Maybank.

”Maaf, dari mula lagi anda tidak membantu saya”, balas saya dan terus menamatkan panggilan.

Begitulah cerita bagaimana sakitnya hatiku berhadapan dengan syarikat kewangan di Malaysia yang menggunakan sepenuhnya sistem pasaran monopolistik mereka. Orang ramai terpaksa akur

Sakit Hati Tahap Ketiga
Sakit hati dan mata apabila syarikat sebesar Maybank ini tidak cuba menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Sekali-sekali guna bahasa Melayu pun masih hancai-boncai (kata pasar).


Deposit ialah kata nama yang bermaksud simpanan. Kata kerjanya ialah mendepositkan. Oleh itu ayat "Depositlah hari ini" pada kain rentang seperti dalam gambar di atas sangat jelas kesalahannya. Begitu juga dengan perkataan minima yang sepatutnya ditulis minimum.


"Tembak"mana-mana yang pincang"



Nota:
Pasaran monopolistik adalah salah satu bentuk pasaran yang terdapat banyak pengeluar dengan menghasilkan barangan serupa tetapi memiliki perbezaan dalam beberapa aspek. Penjual dalam pasaran monopolistik tidak terbatas, namun setiap produk yang dihasilkan pasti memiliki karakter tersendiri yang membezakannya dengan produk lain. Contohnya ialah syampu, ubat gigi, dan lain-lain. Meskipun fungsi semua syampu sama, yakni untuk membersihkan rambut, tetapi setiap produk yang dihasilkan pengeluar berbeza, misalnya perbezaan dari segi aroma, warna, kemasan, dan lain-lain. Dalam pasaran monopolistik, pengeluar memiliki kemampuan untuk mempengaruhi harga, walaupun pengaruhnya tidak sebesar pengeluar daripada pasaran monopoli atau oligopoli.

Read more...

18 December, 2009

Komen Sahabat Bernama Izazin...



Komen seorang sahabat bernama Izazin di blog Bujang Susah (klik di sini) tentang artikel saya “Kawan Karibku Murtad” yang diposkan di sana:


Saya salahkan kawan anda itu sekali tetapi salahkan anda 9 kali. Kenapa? Sebab anda tidak berusaha menariknya semula bila dia jatuh, kedua, lidah anda kelu nak ckp walhal jumpa dah byk kali sebab kalau bercakap kang u tak dpt pulak projek2 "baik", ketiga, sebab byk terhutang budi rela kawan gadai agama, keempat dasar lelaki pemalas kerja keras, buat terjemahan pakai otak je, kalau Allah tarik satu fius otak tu, u all dpt buat terjemahan ke?, nabi n sahabat dulu siap berperang, gadai nyawa nak naikkan n mertabatkan Islam, kelima, u pun dah dihasut oleh iblis melengah-lengahkan usaha menariknya ke jalan benar, keenam, kalau buat kerja berlantaikan material, nak martabatkan bahasa Melayu konon, mang tak dapat aper, cuba berlantaikan soleh, jadilah penterjemah soleh, nak martabatkan agama dengan mempergunakan bahasa, ketujuh, u pun dah syok dibuai duniawi, kelapan, u tulis n isi blog dgn petikan yg maha dahsyat tp u sendiri tak baca, anak ketam suruh jln lurus, u pulak jadi mak ketam, kelapan, amalan u sendiri kene perbetulkan, muhasabahlah diri sendiri, dan yang kesembilan, lu pikirlah sendiri........


Komen saya terhadap komen beliau:


1. ”Abang Mat” jatuh sudah lama dulu, iaitu pada tahun 1998 dan beberapa tahun kemudian beliau menjadi paderi. ”Mendakwah” seorang paderi (ulama Kristian) tidak semudah mulut menyebut "menarik semula bila dia jatuh".  Jika saya kenal sahabat ini, nescaya saya akan mencadangkan nama beliau sebagai ”Menteri Agama” supaya gejala murtad dapat segera dibendung.


2.  Antara cara yang berhemah yang dituntut Nabi s.a.w untuk berdakwah dengan menunjukkan keperibadian yang baik, berdakwah mengikut waktu dan keadaan yang sesuai dan berlemah lembut. Cara ”keras” yang disarankan oleh sahabat kita ini sudah tidak relevan, lebih-lebih lagi sehingga menyeru untuk berperang.  Bagi beliau cara berperang boleh menyelesaikan segala masalah agama.  Saya rasa selain daripada menjadi ”Menteri Agama”, beliau juga boleh dilantik menjadi ”Menteri Dalam Negeri dan Hal-Ehwal Peperangan”.


3.   Projek itu bukan projek ”Abang Mat”.  Dia tidak ada satu projek pun.  Kami berkongsi projek bersama-sama.  Projek terjemahan tidak ada kena dalam soal ini.  Kerjasama kami dalam projek-projek ini berlaku sebelum saya mengetahui ”Abang Mat” sudah meninggalkan agama Islam.  Apa yang saya faham dengan ilmu yang cetek ini, bermuamalat dengan penganut agama lain dibolehkan oleh agama. ”Mubah” kata ulama.  Mungkin “haram” mengikut anutan Sang Sahabat.


4.  Insan ”soleh” hanya diiktiraf oleh Allah bukan makhluk, jauh sekali oleh sahabat kita ini.  Sempitnya pemikiran beliau. Mungkin selepas soleh, beliau akan mengkategorikan orang itu sebagai "keramat” pula.  Wallahualam.


5.  ”Duniawi” juga dituntut oleh Yang Maha Esa selain daripada usaha menyediakan bekalan untuk ”akhirat”.  Teringin sangat saya berjumpa dengan sahabat ini untuk melihat betapa ”zuhudnya” beliau.


6. ”u tulis n isi blog dgn petikan yg maha dahsyat tp u sendiri tak baca”. anak ketam suruh jln lurus, u pulak jadi mak ketam, kelapan, amalan u sendiri kene perbetulkan, muhasabahlah diri sendiri, dan yang kesembilan, lu pikirlah sendiri........ Komen Babah: Ayat carca-marba ini perlu dijawab oleh Bujang Susah kerana ia bukan ditujukan kepada saya. Nadanya macam ada sesuatu yang tidak disukai oleh sahabat kita kepada Bujang Susah dan artikel saya dibelasah dengan semberono (maaf Bujang).


Kesimpulan:
Pada awalnya, respons saya kepada Bujang Susah adalah supaya beliau tidak melayani komen-komen seperti itu. Golongan seperti ini telah wujud sejak dari zaman Nabi s.a.w. lagi. Mereka senantiasa tidak senang dengan usaha kebaikan yang orang lain buat.  Bagi beliau, orang lain semuanya salah kecuali beliau.  Banyak kali juga saya bertemu orang-orang seperti ini dalam hidup saya, tetapi pada amnya mereka ini tidak lebih seperti ”tin kosong” dan sebahagiannya pula seperti ”lalang”.  Akhirul kalam, ingin saya tegaskan di sini, cerita ”Abang Mat” adalah ringkasan daripada cerita yang panjang lebar tentang hubungan kami.  Jika artikel itu ditulis berjela-jela, ramai pembaca semput membacanya atau terus mengabaikannya.  Matlamatnya satu, iaitu untuk menjadi iktibar kepada pembaca blog babah bahawa di luar sana pelbagai perkara yang di luar daya fikir kita boleh berlaku.  Bukan babah mahu mereka membanteras murtad (tugas ini harus dibebankan kepada Jabatan Agama - demi keselamatan) tetapi supaya mereka berwaspada dan memelihara diri dan keluarga daripada kesesatan.  Ini adalah berdasarkan firman Allah s.a.w. yang mafhumnya:


 "Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya dari manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan" (Tahrim 66:6)”.  



Apo nak dikato lai...



Read more...

17 December, 2009

Kawan Karibku Murtad


Pengalaman saya di bawah ini boleh dijadikan iktibar oleh kawan-kawan sempena  sambutan Maal Hijrah 1431 ini.



Saya mengenali Abang Mat lebih lima tahun yang lalu.  Kami merupakan rakan kongsi dalam kegiatan penterjemahan.  Abang Mat sememangnya cukup arif dan berpengalaman dalam bidang ini dan beliau amat dikenali dalam kalangan para penterjemah tanah air. Beliau merupakan penterjemah sepenuh masa dan bergantung hidup pada usaha yang agak "mewah" ini. Klik di sini jika kurang yakin.

Hubungan persahabatan kami berputik apabila saya memberi komen yang menghina hasil karya terjemahan beliau.  Cara begini biasa saya gunakan untuk mendapat perhatian seseorang.  Tetapi awas, anda perlu ada kehebatan untuk berbuat demikian.  Maksudnya, ada perlu cukup kekuatan dari segi ilmu dan jati diri sebelum menggunakan teknik "melampau" ini.

Bermula detik itu, kami selalu berhubung antara satu sama lain dan menjadi semakin akrab apabila kami mula berkongsi "projek".  Beliau kata (bukan saya kata) saya hebat dan berbakat dalam bidang penterjemahan, khususnya dalam laras perbankan dan kewangan. Saya tidak berasa begitu, sehingga suatu hari beliau tergetar-getar menelefon saya bertanyakan sama ada saya boleh membantu beliau menterjemah laporan tahunan sebuah syarikat swasta ternama. Katanya, tanpa saya, beliau akan menolak tawaran itu.  Wow, saya rasa cukup hebat! Itu satu motivasi  yang paling terkesan di jiwa saya.

Abang Mat memang baik.  Bertutur lembut dan teratur.  Kami sering ke masjid bersama-sama.  Semasa ibu saya meninggal dunia pada tahun 2006, beliau adalah antara kawan yang terawal muncul memberikan takziah dan mengiringi jenazah ibu ke tempat persemadian. Beliau sempat menyudahkan pembacaan Surah Yasin di atas kuburan ibu. Abang Mat memang prihatin dan peka.  Satu ketika saya menerima satu pesanan ringkas (SMS) daripada beliau berbunyi "Salam Din, saya baru memasukkan duit sebanyak RM3,000 ke dalam akaun awak.  Duit itu untuk anak awak yang akan masuk ke universiti tidak lama lagi, jangan guna untuk perkara lain".  Saya kaget, tetapi cuba berbuat selamba. SMS dibalas ringkas, "TQ bang".  Banyak lagi kebaikan beliau kepada saya yang tidak dapat disebutkan satu per satu di sini, takut nanti meleret-leret pula.

Awal tahun lepas, kawan rapat kami yang seorang lagi datang bertemu saya dan berbisik kepada saya, "Din, Abang Mat sudah keluar Islam.  Dia pesan suruh beritahu engkau. Dia tidak sanggup beritahu sendiri.  Bukan baharu, tetapi lama dulu.  Sejak tahun 1998 lagi.  Sekarang ini dia sudah pun menjadi Paderi. Setiap Ahad beri khutbah di Gereja". Saya terdiam. Lidah kelu. Otak buntu.  Masya-Allah...

Saya ambil telefon dan hantar SMS kepada kawan-kawan bergelar ustaz yang saya kenali untuk meminta pandangan mereka apa yang perlu saya buat.  Semuanya memberi respons "Putuskan hubungan".  Saya balas "Mana boleh ustaz.  Sayalah sekerat dua kawan dia yang Islam.  Yang lain-lain, China, India dan Mat Saleh. Nanti siapa nak bawa dia ke pangkal jalan".  Sekonyong-konyong Ustaz menarik balik fatwa, "Berkawanlah baik-baik Din.  Tetapi ingat, jangan kau terpesong pula".

Saya pulang ke rumah lalu mengambil buku Ahmed Deedat "The Choice, Islam and Christianity, Volume I"  yang saya beli beberapa tahun lalu dan saya tulis nota di dalamnya, "Abang Mat,  saya mohon abang baca buku ini dengan hati yang terbuka. Mungkin ia bermanfaat untuk abang.  Kita bersaudara bang, tetapi persaudaraan itu tidak seperti dahulu kerana kini ia menjadi janggal dan tidak semurni persaudaraan sesama Islam".



Sampai sekarang, buku bersama nota itu masih dalam simpanan saya kerana belum ada masa yang  paling sesuai untuk saya serahkan buku tersebut kepada beliau. Kami tidak pernah berbincang tentang perkara ini dalam setiap pertemuan dan beliau senantiasa mengelak untuk berbicara tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan agama.  Maal Hijrah 1431 ini, usia Abang Mat menjangkau 57 tahun.  Semoga Allah mengasihani beliau kembali dan melontarkan semula cahaya iman di lubuk hati Abang Mat....

Pesanan Babah: 
Abang Mat (bukan nama sebenar) murtad atas pengakuannya.  Tetapi sebahagian daripada kita tidak sedar betapa kita juga terdedah pada fenomena itu kerana kejahilan kita.  Ramai yang tergelincir akidah daripada landasan iman dan Islam, tanpa disedari, melalui pertuturan dan perbuatan. Justeru, awasilah perlakuan dan pertuturan. Teruskan memperdalam ilmu dan jadikan ucapan taubat sebagai wirid yang senantiasa bermain di bibir. Wallahualam.



Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami dan terimalah taubat kami...


Read more...

linkwithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...