IMAM BUKHARI meriwayatkan, “Kebanyakan doa Rasulullah SAW adalah “ Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta lindungilah kami daripada azab neraka.”
Abu Ya’la meriwayatkan; “Rasulullah SAW berkhutbah; “Janganlah engkau melupakan dua kebesaran syurga dan neraka.” Kemudian baginda menangis hingga bercucuran air mata membasahi janggutnya.Lalu baginda bersabda: “Demi zat yang aku di dalam kekuasaan-Nya, jika kamu tahu apa yang aku tahu daripada urusan akhirat,tentu kamu akan berjalan ke gunung dan memenuhi kepalamu dengan debu.”
Ath-Thabrani meriwayatkan; “Jibril datang kepada Rasulullah SAW pada waktu yang tidak biasanya dia datang.Kemudian baginda berdiri menyambut kedatangannya seraya berkata; “Wahai Jibril,belum pernah aku melihat engkau berubah rupa.” Jibril berkata; “Aku datang setelah Allah memerintahkan aku mengintip neraka.” Rasulullah SAW bertanya; “Wahai Jibril ceritakan kepadaku tentang keadaan neraka!” Jibril menjawab, “Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan jahanam supaya menyalakan api seribu tahun hingga menjadi putih. Lalu Dia memerintah supaya menyala seribu tahun lagi hingga menjadi merah. Dan kemudian Dia memerintahkan supaya menyala seribu tahun lagi, sehingga warnanya bertukar menjadi hitam pekat.Tidak kelihatan lagi cahayanya dan tidak terpadam lagi nyalanya. Demi zat yang mengutusmu sebagai Nabi dengan benar, kalau jahanam itu dibuka sebesar lubang jarum, matilah seluruh penghuni bumi kerana kepanasan. Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, jika sahaja seorang penjaga jahanam menjelma ke dunia, tentulah seluruh penghuninya akan mati kerana ngeri melihat rupanya yang amat buruk serta baunya yang amat busuk. Demi zat yang mengutusmu dengan kebenaran, kalau sepotong rantai ahli neraka, yang telah dijelaskan Allah dalam kitab-Nya itu diletakkan di atas gunung,tentu akan lebur dan meleleh ke dasar bumi.”
Gambaran Neraka Jahanam
Ya Allah, lindungi diriku dan keluarga daripada api neraka...