05 March, 2013

Tragedi Lahad Datu: Jika perintah Allah dipatuhi...

Semasa tentera Kesultanan Sulu mendarat dan menceroboh sempadan Malaysia pada 9 Februari lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata isu ini akan diselesaikan secara baik tanpa pertumpahan darah, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Lapan orang dikatakan telah terkorban di pihak Malaysia, manakala lebih 40 orang tentera Kesultanan Sulu telah menemui maut.  Kesemua yang meninggal dunia adalah umat Islam, melainkan beberapa orang bukan Islam dalam kalangan Polis Diraja Malaysia. Punca perbalahan sehingga kini masih kabur. Tentera Kesultanan Sulu digambarkan sebagai teroris atau "pengganas" yang menceroboh negara. Itupun setelah pertumpahan darah berlaku.  Sebelum itu mereka tidak termasuk dalam definisi "pengganas" pun.


Beberapa hari sebelum darah perajurit negara dan "pengganas" mengalir di bumi Sabah, Hishamuddin, menteri yang menjaga keselamatan Malaysia dan rakyatnya menyatakan jangan dengar khabar angin. Rupa-rupanya reaksi lembab beliau dalam banyak perkara sebelum ini semakin terserlah dalam krisis Lahad Datu. Berkurung terus di bawah tempurung, sedangkan dunia kini terbuka luas. Maklumat tidak boleh disembunyikan. Lihat sahaja video dan gambar yang dikeluarkan melalui internet berhubung dengan tembak menembak ini yang dapat disaksikan dengan jelas bukan lagi khabar angin. Lebih menarik daripada itu, dalam satu sidang media Hishamuddin membuat lawak tahap Maharaja dengan meminta tentera Sultan Sulu ‘meletak jawatan’. Bukannya meletak senjata. Orang yang sepatutnya meletak jawatan, tiada lain selain beliau.


Jika semua pihak tahu bahawa salah satu strategi peperangan yang paling ampuh ialah mengelak untuk berperang. Berperang adalah percaturan terakhir dan bukanlah jalan yang boleh diambil sewenang-wenangnya untuk menyelesaikan masalah, kerana peperangan itu akan membawa bencana yang lebih besar dalam jangka panjang. Permusuhan dan dendam kesumat yang membara boleh menimbulkan banyak kesan politik-sosio-ekonomi yang berpanjangan.



Ditinjau dari segi akhlak Islam pula,  sikap seorang muslim sesama muslim haruslah berbeza jika dibandingkan ketika berhadapan dengan musuh yang jelas kekafirannya. Setiap muslim dengan muslim lainnya bersaudara, kerana itu sebagai saudara, tentu bukan pada tempatnya bila segala persoalan diselesaikan dengan menggunakan senjata.

Tindakan yang perlu diambil apabila perbalahan berlaku ialah mencari jalan pendamaian dan menetapkan perjanjian.Jika perjanjian yang telah dibuat itu kemudian dilanggar oleh salah satu pihak, maka pihak yang melanggar itu harus diperangi. Inilah perintah Allah yang patut dipatuhi.  Perhatikan firman Allah s.w.t yang berikut ini :

"Dan kalau ada dua golongan daripada mereka yang beriman itu berperang hendaklah kamu damaikan antara kedua-duanya! Tetapi kalau yang satu melanggar perjanjian terhadap yang lain, hendaklah yang melanggar perjanjian itu kamu perangi sampai mereka kembali kepada perintah Allah. Kalau dia telah kembali, damaikanlah antara kedua-duanya menurut keadilan, dan hendaklah kamu berlaku adil; sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil."(QS. Al-Hujurat : 9)

Nabi s.a.w. berpesan:
Jika terjadi saling membunuh antara dua orang muslim maka yang membunuh dan yang terbunuh keduanya masuk neraka. Para sahabat bertanya, "Itu untuk si pembunuh, lalu bagaimana tentang yang terbunuh?" Nabi Saw menjawab, "Yang terbunuh juga berusaha membunuh kawannya." (HR. Bukhari)

Oleh itu,
Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu (Al-Hujuraat:6).

 

Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran dan selamatkan negara kami daripada para munafik yang melata...