26 January, 2013

Kisah Pilu Bilal bin Rabah selepas kewafatan Rasullullah...

“Tinggallah di sini dan azanlah untuk kami wahai Bilal!”


Bilal bin Rabah, muazin Rasulullah s.a.w. Orang pertama yang diangkat oleh baginda menjadi muazin di Masjid Nabawi di al-Madinah al-Munawwarah. Bilal r.a. tetap setia melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan selama hampir 10 tahun.

Apakah yang berlaku kepada Bilal selepas kewafatan kekasihnya dan kekasih kita, Rasulullah s.a.w.? Mungkin tidak ramai yang tahu?

Bilal datang bertemu Abu Bakar r.a. dan berkata: “Wahai Khalifah (pengganti) Rasulullah, sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Amalan seseorang mukmin yang paling afdhal ialah berjihad di jalan Allah.” Abu Bakar bertanya: “Lantas, apa yang engkau mahu wahai Bilal?” Bilal menjawab: “Aku hendak bermurabatoh (berada di medan jihad) di jalan Allah sehingga aku mati!”

Abu Bakar bertanya: “Kalau begitu, siapa yang akan azan untuk kami?” Bilal menjawab, sedang air mata bergenang di kelopak matanya: “Sesungguhnya aku tidak akan menjadi muazin kepada sesiapapun selepas Rasulullah s.a.w.!”

Abu Bakar memujuk dengan berkata: “Tinggallah di sini dan azanlah untuk kami wahai Bilal!”

Bilal membalas: “Sekiranya engkau telah merdekakan aku dahulu supaya aku tunduk kepadamu, maka letakkanlah aku sebagaimana yang engkau mahu. Tetapi sekiranya engkau merdekakan aku dulu kerana Allah, maka biarkanlah aku untuk apa yang engkau merdekakan aku.” Abu Bakar menjawab: “Bahkan aku merdekakan engkau untuk Allah wahai Bilal!” Maka Abu Bakar r.a. tiada pilihan kecuali membenarkan Bilal memilih jalannya untuk berjihad dan sentiasa berada di medan juang.

Bilal berhijrah ke Sham. Di situlah beliau mengabdikan diri di medan jihad… Salami isi hati yang dicurahkannya sendiri: “Aku tidak tertanggung tinggal di Madinah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. “ Setiap kali dia cuba mengalunkan azan, apabila tiba pada “asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah” kerongkongnya tercekik lalu dia akan menangis.

Maka dia berangkat ke Sham bersama para mujahidin. Selepas beberapa tahun berada di Sham, beliau berjumpa Rasulullah s.a.w. di dalam mimpinya. Baginda berkata kepada Bilal, “Kenapa begitu lama kamu menyepikan diri wahai Bilal? Bilakah masanya kamu akan menziarahi kami lagi?” Bilal terjaga dari tidurnya. Hatinya sungguh sedih. Beliau segera berangkat ke Madinah dan terus menuju ke makam Rasulullah s.a.w.

Bilal menangis dan berguling-guling di situ sehingga Hasan dan Husain menghampirinya. Beliau memeluk dan mencium mereka berdua sepuas-puasnya. Kedua-duanya berkata kepada Bilal: “Kami rindu untuk mendengar azanmu pada waktu dinihari.” Bilal naik ke atas sutuh (bahagian atas) masjid dan mula mengalunkan azannya yang amat dirindui oleh warga Madinah. Apabila Bilal mengalunkan “Allahu Akbar, Allah Akbar”, seluruh Madinah bergetar. Apabila tiba ungkapan “Asyhadu an la ilaha illa Allah”, getaran bertambah kuat. Dan apabila tiba ungkapan “asyhadu anna Muhammadar-Rasulullah”, wanita-wanita keluar dari bilik-bilik mereka.

Sehingga diriwayatkan bahawa tidak ada hari yang paling banyak kaum lelaki dan wanita menangis lebih daripada hari itu…

Ketika Amirul-Mukminin Umar bin al-Khattab melawat Sham, kaum muslimin memintanya agar memujuk Bilal supaya azan untuk mereka untuk satu solat sahajapun cukuplah. Umar memanggil Bilal dan menyampaikan hasrat penduduk Sham. Tiba waktu solat, Bilal menaiki tempat azan lalu mengalunkannya. Maka menangislah para sahabat yang sempat bersama Rasulullah s.a.w. ketika Bilal menjadi muazzinnya. Mereka menangis seolah-olah mereka tidak pernah menangis sebelum ini dan selama-lamanya. Dan Umar r.a. adalah orang yang paling kuat menangis dalam kalangan mereka. Ketika Bilal hampir menghembuskan nafas terakhir, beliau berkata kepada isterinya, Halah binti ‘Auf, saudara kepada Abdul Rahman bin ‘Auf: “Usah menangis! Esok kami akan bertemu dengan para kekasih, Muhammad dan sahabat-sahabat…”



 
Ya Muhammad, Rasullullah, betapa aku juga amat mencintaimu...

Pembunuh Adik William Yau dikenal pasti...

Pembunuh tersebut ialah:
1.  Pencuri petutup besi longkang aliran air tempat mangsa jatuh;
2. Kakitangan pihak berkuasa tempatan yang tidak memperdulikan keselamatan pengguna setelah menyedari akan bahayanya longkang tidak bertutup; dan
3. Orang ramai yang melihat longkang tanpa penutup, tetapi tidak melaporkan kepada pihak berwajib.




SUBANG JAYA 26 Jan. - Punca kematian William Yau Zhen Zhong yang mayatnya ditemui terapung di Jeti Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kelmarin hampir terjawab selepas polis menemui petunjuk baharu yang boleh dikaitkan dengan kehilangan kanak-kanak berusia enam tahun itu. Ini berdasarkan penemuan sebuah lubang tidak bertutup di sebatang longkang aliran air hujan atau monsoon drain kira-kira 200 meter dari tempat kanak-kanak itu dilaporkan hilang di Putra Heights, di sini pada 16 Januari lalu.

Sumber berita: Di sini

Sebelum ini, pihak polis terus berusaha mencari punca kematian adik William Yau...


 
Hidup kita mesti peduli dengan persekitaran...

Saudara-saudaraku, mohonlah keampunan Allah...

...kerana pintu keampunan-Nya sangatlah luas.



Saudara-saudaraku, manusia tidak sunyi daripada salah dan lupa. Semua orang pasti pernah berbuat dosa dan sebaik-baik cara penghapus dosa adalah dengan rajin bertaubat kepada-Nya. Allah s.w.t berfirman, “Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri, janganlah kalian berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni semua dosa. Sesungguhnya Dia Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (QS. Az-Zumar [39] : 53).

Saudara-saudaraku, kezaliman apa pun yang pernah kita lakukan, maka ketahuilah bahawa pintu ampunan Allah sangatlah luas. Allah s.w.t berfirman, “Sesungguhnya Rabbmu adalah pemilik keampunan bagi umat manusia atas kezaliman mereka, dan sesungguhnya Rabbmu benar-benar keras siksanya.” (QS. Ar-Ra’d [13] : 6).

Saudara-saudaraku, ke manakah hendak engkau cari keampunan itu kalau bukan kepada-Nya. Allah s.w.t berfirman, “Sesungguhnya Rabbmu adalah pemilik ampunan sekali gus pemilik seksaan yang amat pedih.” (QS. Fushshilat [41] : 43).

Saudara-saudaraku, tidakkah engkau mahu tergolong dalam golongan orang-orang yang dicintai-Nya, tidakkah engkau ingin menjadi orang yang diampuni kesalahan dan dosa-dosanya? Allah s.w.t berfirman s.w.t, “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang rajin bertaubat dan (Allah) mencintai orang-orang yang suka membersihkan diri.” (QS. Al-Baqarah [2] : 222).

Saudara-saudaraku, apakah kamu enggan untuk bertaubat dan menerima ampunan dari-Nya? Sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang. Allah s.w.t berfirman, “Apakah mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan meminta keampunan-Nya. Allah Maha pengampun lagi Maha penyayang.” (QS. Al-Maa’idah [5] : 74).

Saudara-saudaraku, apakah kita tidak ingin terbebas daripada azab yang sangat pedih? Apakah kita tidak ingin mendapatkan kebaikan? Allah s.w.t berfirman, “Apabila kalian bertaubat maka itulah yang lebih baik bagi kalian. Apabila kalian justeru berpaling, ketahuilah bahawa kalian tidak akan bisa melemahkan Allah, dan berikanlah khabar gembira untuk orang-orang kafir bahwa mereka akan mendapatkan seksa yang amat pedih.” (QS. At-Taubah [9] : 3). Ya Allah, terimalah taubat hamba-hamba-Mu ini…



 
 

Sesungguhnya Engkau Ya Allah, Maha penerima taubat lagi Maha penyayang.