Makluman: Aku terpaksa menangguhkan sambungan entri yang lalu kerana terpanggil untuk menjawab pelbagai persoalan yang bermain di minda beberapa sahabat blogger, lebih-lebih bagi menangkis tohmahan Si Polan yang berbicara sombong, kosong tanpa ilmu.
Ramai yang sudah banyak termakan cokelat ini...
Sebentar tadi aku didatangi sahabat lama, Abdul Hakim namanya. Usia Hakim lebih 300 tahun (anggaran beliau sendiri), tetapi masih remaja dalam dimensi masa manusia. Aku yakini perkara ini kerana Allah memaklumkan kepada kita semua "Demi masa, sesungguh manusia itu dalam kerugian...". Dalam hal ini, Allah tidak menyebut Jin, bukan kerana Allah lupa, tetapi bagiku Jin tidak relevan jika dikaitkan dengan masa. Usia mereka panjang-panjang belaka. Mereka juga bergerak pantas dari satu tempat ke satu tempat. Tidak seperti kita, yang senantiasa rugi dari segi masa (contoh: masa yang terbuang akibat kesesakan jalan raya pada waktu pagi). Umur manusia pula, secara relatifnya pendek. Tidak cukup untuk beribadat mensyukuri nikmat yang kurniakan Allah kepada mereka. Walaupun begitu, kecenderungan manusia lebih kepada melakukan hal-hal yang sia-sia.
Dan demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian...
Abdul Hakim fasih mengucapkan dua kalimah syahadah, "jarang" meninggalkan solat dan agak "tartil" apabila membaca al-Qur'an.
Abdul Hakim: Assalamualaikum Abang.
Babah: Waalaikumsalam. Hakim ke?
(kadang kala aku geram juga apabila dia memanggil aku Abang, sedangkan usianya jauh lebih tua daripada aku)
Abdul Hakim: Mengapa nampak sedih sahaja Abang ni?
Babah: Abang sedang sedih dan bengang dengan apa yang berlaku di mahkamah tinggi dua tiga hari ini. Semuanya berpunca daripada Si Bahlol yang cuba membahlolkan orang lain. Hakim boleh buat sesuatu tak?
Abdul Hakim: Tak berani saya Abang. Diaorang punya kawan-kawan yang hebat. Kita berdoa sahajalah memohon Allah melindungi sahabat Abang itu daripada fitnah yang berterusan. Kalau abang mahu, saya boleh cuba.
Babah: Tak usahlah. Bahaya tu. Hakim, boleh Abang tanya sikit tak?
Abdul Hakim: Apa dia Abang?
Babah: Ada "orang" kata, kami orang Islam haram berkawan dengan golongan Jin seperti awak.
Abdul Hakim: Cis, celaka orang itu! Beritahu saya, biar saya pergi cungkil mata mereka.
Nota: Aku faham sangat dengan perangai Hakim yang panas baran yang sesuai dengan asal kejadiannya dari angin api seperti firman Allah dalam surah al-Hijr: ayat 26-27:
"Dan sesungguhnya Kami telah mencipta manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma"
Babah: Sabarlah Hakim. Abang akan tetap berkawan dengan Hakim meskipun ada "ulama" dalam kalangan mereka mengharamkan kami berkawan dengan Hakim. Abang teringat empat ayat di dalam surah Al-Jin: ayat 1-4:
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah kitab suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!"
"Kitab yang memberi panduan ke jalan yang betul, lalu Kami beriman kepadaNya, dan Kami tidak sekali-kali akan mempersekutukan sesuatu makhluk dengan Tuhan kami"
"Dan (ketahuilah wahai kaum kami!) Bahawa sesungguhnya: tertinggilah kebesaran dan keagungan Tuhan kita daripada beristeri atau beranak"
"Dan (dengan ajaran Al-Quran nyatalah) bahawa sesungguhnya: (ketua) yang kurang akal pertimbangannya daripada kalangan kita telah mengatakan terhadap Allah kata-kata yang melampaui kebenaran"
Abdul Hakim: Terima kasih Abang. Orang itu memang bahlol. Sedangkan apa yang mungkin dimaksudkan oleh ulama itu ialah berkawan dengan jin jahat (syaitan) adalah haram, begitu juga dengan manusia jahat (syaitan), seperti firman Allah dalam surah al-An'am: ayat 112:
"Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh dari syaitan-syaitan manusia dan jin, setengahnya membisikkan kepada setengahnya yang lain kata-kata dusta yang indah-indah susunannya untuk memperdaya pendengarnya. dan jika Tuhanmu menghendaki, tentulah mereka tidak melakukannya. Oleh itu, biarkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan (dari perbuatan yang kufur dan dusta) itu"
Babah: Betul kata Hakim. Satu lagi, lebih teruk daripada itu, ada kawan-kawan Abang berkata kononnya Nabi s.a.w. berkata "sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin".
Abdul Hakim: Masya-Allah. Ini lagi celaka! Betul-betul menghina kami. Tidakkah sejahat-jahat manusia ialah orang yang syirik kepada Allah, sedangkan kami beriman. Sejahat-jahat manusia ada yang merogol anak sendiri, sedangkan kami menjaga anak-anak kami seperti menatang minyak yang penuh. Sejahat-jahat manusia....(Abdul Hakim terus merungut...). Beritahulah saya siapa yang menghina kami sampai begitu sekali. Biar saya penggal kepala dia.
Babah: Jangan marah kepada mereka kerana mereka semua masih jahil. Sudahlah. Nanti Abang minta mereka memohon maaf kepada awak. Jika tidak, Abang janji Abang akan berikan nama mereka kepada awak. Sebenarnya Abang lagi sedih kerana orang-orang yang jahil ini mendustai Nabi s.a.w. dengan mengatakan bahawa "sejahat-jahat manusia adalah sebaik-baik jin". Mereka berani mendustai kekasih Allah.
Abdul Hakim: Saya betul-betul marah ni Abang. Beritahu saya siapa yang berkata begitu?
Babah: Nantilah...
Abdul Hakim: Abang janji ya!
Babah: Baiklah. Hakim baliklah dulu, Abang nak bersolat dan tidur.Hari sudah larut malam.
Abdul Hakim: Saya balik dulu. Assalamulaikum.
Babah: Waalaikumsalam.