Perhatian: Pembaca dinasihati supaya membaca dan memahami dengan teliti entri ini dan entri-entri seterusnya. Tanpa pemahaman dan penelitian yang jitu anda mungkin dirasuk jin.
Selama enam tahun aku memburu jin yang nakal, seperti anggota polis memburu para penjenayah yang keras kepala. Seperti manusia, dalam kalangan jin juga ada golongan haprak yang perlu dijentik telinga mereka yang runcing itu supaya mereka sedar betapa mereka bukanlah sehebat mana...
Jin merupakan salah satu makhluk yang dijadikan Allah seperti manusia, flora dan fauna, gunung-ganang, bakteria, haiwan, bintang di langit dan lain-lain. Anehnya, jin tidak pernah mendapat perhatian manusia untuk dikaji sedangkan makhluk-makhluk lain diselidik sehingga ke akar umbi. Lebih malang lagi, orang Islam menganggap jin musuh mereka, sedangkan Allah tidak pernah merestui tanggapan itu. Hal ini saling tak tumpah dengan tanggapan orang Islam kepada khinzir yang dijadikan musuh, sedangkan Allah hanya melarang memakan daging haiwan itu.
Jin tidak semestinya syaitan, tetapi syaitan wujud dalam kalangan jin. Allah senantiasa menyuruh kita berlindung dengan-Nya daripada syaitan yang direjam - bukan jin. Allah tidak pernah menyuruh kita memusuhi jin, tetapi ramai "ulama" menyesatkan orang yang berbaik-baik dengan jin. Mereka lupa bahawa Nabi Allah Sulaiman mempunyai ribuan@jutaan kawan-kawan dalam kalangan jin.
Adakah disebabkan oleh nila setitik habis susu sebelanga atau seperti kerbau terpalit lumpur, habis terpalit kerbau sekandang? Adakah wajar seorang dua manusia dirasuk jin, kesemua makhluk jin patut dibenci?
Bersambung...
Entri akan datang:
Bila menjadi "dukun" jatuh wajib ke atas diri anda?
Babah mengubati Allahyarham Sudirman
Babah menyelamatkan rakan sejawat daripada terjun dari tingkat 12 sebuah bangunan
"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai"
Surah Al-A'raf: Ayat 179