Sudah tentulah Sofia lebih baik di bawah penjagaan Allah, berbanding penjagaanku yang serba kekurangan ini. Allah s.w.t. menganugerahi Sofia Adila binti Samsudin kepada kami pada 23 April 2000. Allah mengambilnya kembali pada 23 Mei 2002. Tempoh titipan ini hanya selama 2 tahun sebulan. Seandainya Allah terus meminjamkan Sofia kepada kami, umur anak itu pada 23 Mei 2010 akan menjangkau 10 tahun. Meskipun pemergian Sofia sudah lama berlalu, tetapi ingatan kami sekeluarga kepadanya tetap terpahat di hati, senyuman Sofia tetap berada di hujung kelopak mata.
Sofia anak yang senantiasa ceria
Allah s.w.t. memberi notis kepadaku hanya seminggu. Namun aku gagal mengesan notis itu. Si Anak sering muntah apabila diberi susu. Doktor klinik biasa (GP Doctor) setakat ilmunya yang ada, menasihati kami supaya menukar susu anak itu. Melihat Sofia semakin tidak selesa dan sering tidak tidur malam (namun tidak pula menangis), lantas kubawa Sofia ke Hospital Pakar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Atas nasihat doktor pakar di sana, kami membawa pula Sofia ke Hospital Ampang Puteri. Di sana Sofia disahkan menghidapi tumor otak (kanser) yang dipanggil "Brain Stem Gliomas" di peringkat paling kritikal. Apabila diberitahu hal itu, aku hanya mampu berkata "Ya Allah!"
Seminggu kemudian, Sofia "berjaya" menjalani pembedahan. Hospital dipenuhi keluargaku yang begitu ramai termasuk orang-orang yang aku tidak kenali. Ramai, sememangnya ramai. Dia berjaya meraih kasih sayang hampir kesemua yang berada di sana. Itulah Sofia kesayangan Allah. Aku tidak henti-henti menelefon kawan-kawan dan sahabat handai untuk mengungkap rasa gembiraku yang teramat sangat atas "kejayaan" pembedahan tersebut.
Hari raya Aidilfitri terakhir bersama Sofia
Tetapi, menjelang dinihari, aku dipanggil doktor kerana terdapat komplikasi pada anakku. Hatiku luluh, remuk, hancur, kakiku menggeletar hampir tidak mampu berdiri apabila melihat anakku sedang bertarung dengan nyawanya. Mulut hanya mampu berkata "Ya Allah". Sedetik kemudian, aku berlari mencari surau. Aku bersolat sunat dua rakaat. Namun, aku tidak dapat menahan tangis. Aku lebih banyak menangis daripada membaca ayat-ayat Allah. Selepas memberi salam, aku berpaling memandang isteriku dan mendengar "bah, anak kita sudah tiada..."
Malam sebelum hari pembedahan.
Sofia sedang membaca buku bersama mama "Ini matanya, ini mulutnya..."
Sofia selepas dibedah
Sejam sebelum Sofia meninggalkan kami
Jika masa dapat diputarkan kembali atau jika aku sedar akan notis yang Allah berikan kepadaku, niscaya aku tidak akan melepaskan peluang untuk mendakap Sofia erat-erat, menciumnya tak henti-henti, mendukungnya biar lenguh tangan dan jari.
Sofia anak babah, babah tetap merindui Sofia walaupun Sofia telah jauh meninggalkan babah. Kita akan berjumpa di sana, tetapi ketika itu Sofia mungkin sudah dewasa.
Air mata babah mengalir di dalam hati apabila teringat lagu
Ayam Oh Ayam McD, nyanyian SOFIA.
"Ayam oh ayam, mengapa engkau......"