Dalam siri Selembar Benang kali ini, saya ingin mengulas serba sedikit tentang beberapa penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda iklan yang terpampang di jalan-jalan raya sepanjang perjalanan saya ke utara tanah air baru-baru ini. Saya memilih tiga iklan yang menarik untuk dijadikan contoh, seperti yang di bawah ini:
1. P1 Wimax: Rangkaian Broadband Wayarles Terpantas
Ulasan:
Dari segi penulisan, jika sesuatu perkataan itu masih belum lagi mempunyai istilah yang persis, perkataan itu boleh dieja mengikut ejaan bahasa sumber tetapi ditulis condong (italik). Tetapi, jika perkataan tersebut telah mempunyai istilah yang mantap (diketahui umum) dan diiktiraf oleh DBP, maka istilah yang terdapat pada daftar istilah DBP perlulah diikuti. Oleh itu, penggunaan perkataan broadband yang diitalikkan meskipun betul dari segi penulisan, istilah jalur lebar adalah lebih tepat digunakan. Namun, dari segi pengiklanan, hal-hal begini selalu diabaikan. Kononnya, penjimatan kata dapat menjimatkan ruang seterusnya dapat menjimatkan kos. Mengenai istilah wayarles pula, perkataan ini telah diiktiraf oleh DBP. Istilah lain bagi wayarless ialah tanpa dawai bukan tanpa wayar.
2. MOA: Pitaya
Ulasan:
Istilah dragon fruit yang diguna pakai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ialah Pitaya. Istilah ini masih belum terdapat dalam Kamus Dewan atau daftar istilah pertanian. Begitu juga dengan istilah buah naga, meskipun istilah ini telah lama digunakan sebagai nama Melayu bagi dragon fruit, tetapi hingga ke saat ini ia kekal sebagai nama julukan (bukan jolokan) sahaja.
3. Sharp: Tajam & Jelas
Ulasan:
Istilah sharp dalam laras foto ialah tajam (dalam fokus). Walau bagaimanapun, untuk iklan ini istilah tajam tidak sesuai digunakan kerana perkataan tajam perlu dikaitkan dengan fokus, seperti fokus yang tajam dan jelas bagi televisyen berjenama Sharp. Tanpa perkataan fokus, iklan itu kelihatan janggal, melainkan syarikat tersebut ingin membuat gimik untuk mengaitkan tajam dengan pedang samurai yang dipegang oleh wanita Jepun berkimono yang terdapat pada iklan itu. Sekiranya wanita dan pedang samurai itu tidak termasuk dalam iklan papan tanda ini, slogan "tajam & jelas" mungkin perlu ditukar kepada "terang & jelas".
Sambungan Selembar Benang
Stesyen vs stesen
Ejaan Melayu yang betul bagi perkataan bahasa Inggeris station ialah stesen bukan stesyen. Begitu juga dengan perkataan commission yang dieja komisen bukan komisyen (istilah lain: pesuruhjaya). Tetapi ejaan Melayu bagi istilah television ialah televisyen, manakala bagi istilah profession pula ialah profesion.
Tusyen vs tuisyen vs tiusyen
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi tuition ialah tuisyen, bukan tusyen atau tiusyen. Tetapi bagi perkataan action, collection dan function, perkataan-perkataan tersebut diistilahkan dan dieja sebagai aksi, koleksi dan fungsi. DBP tidak mengiktiraf istilah perkataan position dan corruption sebagai posisi dan korupsi. Begitu juga perkataan selection sebagai seleksi. Istilah-istilah berkenaan diguna pakai secara meluas di Indonesia. Di Malaysia istilah yang mantap bagi perkataan position dan corruption ialah kedudukan dan rasuah.