03 November, 2009

Artikel Khas: Bahasa Melayu dan Islam

Hari ini kita kembali semula berbicara tentang bahasa Melayu (fasal yang mendukung blog ini).  

Apabila du’at (pendakwah) datang ke Nusantara mereka terpaksa mencari bahasa perantara dakwah yang sesuai. Maka antara bahasa yang maju ketika itu (kurun ke-7 hingga ke-13) ialah bahasa Jawa dan Sanskerta, Tetapi bahasa-bahasa ini sarat dengan nilai-nilai Hindu dan Buddha. Sedangkan al-Quran bersifat mubin, iaitu jelas dan tidak boleh disampaikan dengan makna-makna yang taksa (kabur). Maka bahasa yang paling murni ketika itu ialah bahasa Melayu kerana ia bahasa tahap rendah, tidak ada kosa kata dan perbendaharaan kata yang membawa nilai-nilai falsafah dan keagamaan. Bahasa Melayu adalah seperti bahasa Arab kuno – yang miskin daripada nilai-nilai agama dan filsafah, tidak seperti bahasa Persia, Yunani, Greek dan Romawi.

Lantas bahasa Melayu yang miskin itu diperkasa dengan istilah-istilah al-Quran. Antara istilah yang membanjiri bahasa Melayu ialah kalimah-kalimah berkaitan akidah. Istilah iman tidak boleh diterjemahkan ke dalam istilah sedia ada. Iman bukan bermaksud ‘percaya’ kerana iman membawa erti tasdiq bil qalbhi, taqrir bil lisan (membenarkan dengan hati, mengucapkan dengan lisan) dan komponen ketiga yang penting ialah amal bil jawarih (amal dengan anggota badan). Akidah itu sendiri menjadi sebahagian daripada bahasa Melayu. Akidah ialah akaid atau ikatan. Akidah bukan sekadar pegangan atau kepercayaan tetapi ikatan yang bersifat hablum minallah dan habluminnas. Dari sinilah datangnya perkataan ‘ikat’ – daripada akaid ataupun akidah. 



Pendakwah Arab mengamati bahasa Melayu dan menjumpai perkataan ‘takut’ – tetapi takut tidak boleh digunakan untuk merujuk pada takwa, kerana takut membawa pada perasaan mahu menjauhkan diri. Tetapi takwa membawa seseorang itu semakin hampir kepada Allah. Maka takwa pun diterima pakai sebagai istilah bahasa Melayu.

Dalam bahasa Melayu juga ada istilah berserah atau pasrah. Tetapi pasrah atau berserah boleh membawa maksud berserah kepada nasib tanpa melakukan sesuatu. Ia tidak sama dengan tawakal yang membawa maksud berikhtiar bersungguh-sungguh, kemudian menyerahkan segala urusan kepada Allah. Lalu istilah tawakal pun diambil menjadi istilah bahasa Melayu.

Ada beberapa perkataan yang tidak berubah, iaitu surau dan sembahyang atau seumayang (Aceh). Surau ialah berhala sembahan orang Melayu. Di situ mereka berkumpul untuk acara keagamaan pada zaman Hindu. Gigihnya para pendakwah sehingga mereka menyampaikan Islam di tempat-tempat sembahan orang Melayu. lalu surau tadi bertukar menjadi musala, meunesah, langgar, madrasah pada hari ini. Di dalam surau tersebut mereka melakukan upacara sembahyang (sembah nenek moyang). Lalu sembahyang tadi bertukar menjadi solat. Perkataan sembahyang masih kekal digunakan, tetapi membawa maksud solat.

Dalam solat terdapat dua perbuatan, iaitu sujud dan ruku. Dalam bahasa Melayu ada perbuatan tunduk dan sembah. Sujud dan ruku bukan sekadar tunduk. Tunduk ialah perbuatan menyembah kepada sesuatu – tunduk kepada Allah (khalik) dan boleh juga  tunduk kepada makhluk. Dalam Islam tunduk kepada makhluk adalah syirik, sedangkan sujud dan ruku hanya layak untuk Allah. Lalu sujud dan ruku menjadi sebahagian daripada istilah bahasa Melayu. 

Ketika hendak solat, tubuh badan dan pakaian mestilah bersih daripada najis. Najis dan kotoran tidak sama. Kotoran tidak semesti najis dan tidak semestinya membatalkan solat. Lalu najis menjadi istilah bahasa Melayu. 

Jika kita lihat orang Melayu mempunyai beberapa perkataan untuk menggambarkan perasaan mereka, seperti – ‘marah’, ‘geram’, ‘benci’, ’suka’, ‘cinta’, ‘ghairah’ dan sebagainya. Kesemua perasaan ini adalah naluri untuk kelangsungan hidup. Perasaan-perasaan ini jika tidak dikekang boleh mendatangkan kemusnahan hidup kerana ia bersumberkan nafsu. Apabila Islam datang maka diperkenalkan beberapa konsep atau perkataan yang tidak ada dalam kamus kehidupan orang Melayu, seperti ’sabar’, ‘ikhlas’, ‘tawaduk’, ‘reda’ dan’syukur’.

Cuba kita tanya apakah perkataan yang semakna dengan sabar dalam bahasa Melayu. Kita tidak akan menemui istilah yang menyamai makna ’sabar’. Kita boleh kata ‘tahan kemarahan’, ‘tahan nafsu’ dan ‘tahan rasa sakit’. Perkataan-perkataan ini tidak membantu. Menahan rasa sakit, menahan rasa marah dan menahan kehendak nafsu hanya menambahkan rasa sakit, meningkatkan rasa marah dan menyebabkan nafsu semakin meluap-luap. Tetapi apabila disuruh bersabar – rasa sakit semakin hilang, rasa marah semakin reda, dan nafsu yang bergejolak semakin tenang. Ini kerana sabar adalah satu kebiasaan jiwa yang reda kepada Allah yang dipupuk seiring dengan solat ‘Carilah pertolongan Tuhanmu dengan solat dan sabar – dan itu amat payah kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. 

Kemudian kita tanya pula perkataan ikhlas – Apakah ada perkataan lain yang seakan-akan membawa makna ikhlas dalam bahasa Melayu? Saya yakin anda tidak akan menemui perkataan yang seerti dengan perkataan itu. Ini kerana setiap perbuatan atau pertolongan dalam budaya Melayu sebelum Islam membawa maksud dan tujuan tertentu. Pertolongan diberikan dengan niat untuk mendapatkan imbalan. Tetapi apabila Islam datang, orang Melayu dididik supaya ikhlas dalam pemberian, ikhlas dalam pertolongan kerana mengharapkan ganjaran, pahala dan keredaan Allah SWT. 

Bagaimana pula dengan perkataan tawaduk? Tawaduk bukan membawa maksud merendah diri. Budaya merendah diri memang kaya pada masyarakat Melayu. Sebab itu ada perkataan ‘hamba’, ‘tuan hamba’, ‘patik yang hina’ (patik bermakna anak anjing yang baru lahir), Duli yang Maha Mulia, sembah patik di atas batu jemala (duli ialah debu yang melekat pada kaki raja). Tawaduk tidak bererti tunduk menghina diri. Tawaduk bererti tidak meninggi diri kerana sedar akan setiap insan dicipta daripada Adam dan Adam pula daripada tanah. Dan ‘tidak ada kelebihan orang Arab atas orang Ajam, kelebihan orang Ajam atas orang Arab (sabda Rasulullah SAW). Yang paling baik dalam kalangan kamu adalah orang yang paling bertakwa (al-Quran). Dengan adanya sifat tawaduk – raja dan rakyat jadi setaraf, yang mulia ialah orang yang bertakwa kepada Allah. Lalu bertukarlah kata-kata ‘pantang Melayu derhaka kepada raja’ kepada ‘raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. 

Ada satu lagi perkataan Arab yang sudah menjadi istilah Melayu, iaitu tasamuh. Perkataan tasamuh ini telah dimasukkan ke dalam perkataan Melayu kerana tiada istilah bahasa Melayu yang dapat menepati makna tasamuh, iaitu kelapangan dada, keluasan fikiran dan kesabaran.  Wallahualam.

Ditulis oleh: Dr.Hafidzi - penulis buku Jejak Risalah Nusantara
Disunting oleh: Samsudin bin Jidin (Mybabah)