31 October, 2009

Khidmat Percuma: BPK


Biro Pengantaraan Kewangan: Saluran Mendapatkan Pembelaan

Pernahkah anda mengalami situasi yang berikut?

Senario 1
Encik Ali  meletakkan motosikalnya dalam kawasan rumah beliau yang berpagar dan berkunci. Walau bagaimanapun beliau telah lupa mencabut kunci motosikalnya. Keesokan harinya, beliau dapati pintu pagar rumahnya telah dipecahkan orang dan motosikalnya dicuri.

Apabila tuntutan insurans dibuat, tuntutan itu telah ditolak oleh syarikat insurans berkenaan dengan alasan Encik Ali tidak mengambil tindakan yang wajar dalam menjaga motosikal tersebut.


Senario 2
Encik Ahmad ingin mendepositkan wang tunai berjumlah RM12,000 melalui Mesin Deposit Tunai.  Beliau hanya berjaya mendepositkan sejumlah RM10,500 dalam tujuh (7) transaksi (setiap transaksi bernilai maksimum RM1,500), sebelum sistem MDT secara tiba-tiba gagal berfungsi.  Walaupun transaksi kelapan (8) telah dilakukan, Encik Ahmad mendapati amaun tersebut tidak dikreditkan ke dalam akaunnya.  Cik Lina cuba mendapatkan bantuan daripada pegawai bank berkenaan.  Apabila mereka kembali ke MDT, mesin tersebut telah berfungsi semula dan tidak menunjukkan tanda-tanda mesin tersebut telah rosak.

Encik Ahmad membuat laporan tentang kehilangan wangnya yang berjumlah RM1,500 dan pihak bank telah melakukan siasatan.  Nasib tidak menyebelahi Encik Ahmad kerana pihak bank memutuskan untuk tidak memulangkan wang yang didepositkan oleh Encik Ahmad kerana mereka mendapati tidak ada lebihan wang dalam MDT berkenaan.



Dua senario di atas merupakan antara contoh-contoh pertikaian, aduan dan tuntutan yang dikendalikan oleh Biro Pengantaraan Kewangan (BPK).

BPK merupakan satu badan bebas yang ditubuhkan bagi membantu pelanggan perkhidmatan kewangan menyelesaikan pertikaian, aduan dan tuntutan terhadap bank, syarikat insurans, pengendali takaful dan pengeluar kad kredit/caj secara cepat dan mudah. Perkhidmatan yang diberikan adalah percuma. Sekiranya keputusan telah dibuat oleh Pengantara, keputusan tersebut mesti dipatuhi oleh institusi kewangan yang terlibat.

Skop
BPK mengendalikan semua pertikaian, aduan atau tuntutan yang melibatkan perbankan/kewangan dan insurans/takaful  dengan had amaun:
•    Berkaitan dengan Perbankan/ Kewangan –      RM100,000
•    Berkaitan dengan Insurans/Takaful –
        -  RM200,000 (insurans/takaful motor dan         kebakaran)
        -  RM100,000 (jenis insurans/takaful yang lain)
        -  RM5,000 (kerosakan harta pihak ketiga)

Pengecualian
BPK tidak mengendalikan pertikaian, aduan atau tuntutan yang berkaitan dengan:
•    Penentuan harga umum
•    Polisi produk
•    Perkhidmatan pelanggan institusi kewangan
•    Kes yang melebihi had masa atau lebih daripada 6 tahun
•    Kes yang telah dibawa atau dirujuk ke mahkamah atau penimbang tara
•    Keputusan kredit (kelulusan, penolakan dan penjadualan semula pinjaman)
•    Kes penipuan (selain daripada kes penipuan melibatkan instrumen pembayaran seperti kad kredit, kad caj, kad ATM dan cek yang tidak melebihi  RM25,000.00

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :-

Biro Pengantaraan Kewangan
Tingkat 25, Dataran Kewangan Darul Takaful
No. 4, Jalan Sultan Sulaiman
50000 Kuala Lumpur

Talian Am         :          03-2272 2811
Talian Faks       :          03-2274 5752
E-mel              :         enquiry@fmb.org.my
Laman Web     :         http://www.fmb.org.my

Bagi kes yang melibatkan keputusan kredit seperti kelulusan, penolakan dan penjadualan semula pinjaman, anda boleh merujuk kes tersebut kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Saya akan menerangkan peranan AKPK dalam keluaran yang akan datang. 

Kompang Oh Kompang!


Kompang dikatakan berasal dari Parsi.  Diriwayatkan bahawa semasa Rasulullah s.a.w. berkunjung ke sana, baginda disambut meriah oleh kebingitan paluan kompang.  Selain itu, kompang juga digunakan semasa peperangan, iaitu untuk membakar semangat juang tentera-tentera Islam. Alat muzik ini diperkenalkan di Nusantara oleh pedagang Arab yang datang berdagang dan pada ketika itu sambutan terhadap alat muzik ini amat menggalakkan, terutamanya dalam kalangan penduduk Tanah Melayu yang berketurunan Jawa.

Kini, kompang dianggap sebagai alat muzik tradisional warisan budaya Melayu yang hanya digunakan untuk upacara rasmi berunsur budaya dan juga untuk majlis perkahwinan orang-orang Melayu yang masih ingin mengekalkan tradisi zaman berzaman ini.  Ketiadaan hiruk-pikuk bunyi kompang membuatkan suasana sesuatu majlis perkahwinan menjadi sepi.  Jika tidak terdapat pasukan kompang di sesuatu kawasan, terutamanya di bandar-bandar, rakaman bunyi kompang dimainkan melalui sistem pembesar suara.  Seperti alat-alat muzik tradisional yang lain, suatu masa nanti kompang juga akan menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.  Minat orang-orang Melayu, lebih-lebih lagi anak-anak muda pada kompang semakin berkurang dan penggunaan rakaman bunyi kompang hanya akan mempercepat proses kepupusan itu.  Wallahualam.



Paluan kompang mengiringi pengantin menuju ke pelamin



31 Oktober 2009: Perkahwinan Nana & Hannas
Tahniah daripada Cik Din & Cik Iya!

30 October, 2009

Khidmat Percuma: BNMLINK dan BNMTELELINK


Bank Negara Malaysia dan Orang Ramai 
Meskipun ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik setelah mengalami kemerosotan kesan kemelesetan ekonomi dunia, namun terdapat segelintir masyarakat terus dirundung kesusahan akibat keadaan itu.  Golongan ini tidak dibiarkan bersendirian menghadapi kesukaran hidup.  Kerajaan melalui pelbagai agensi  telah menyediakan pelbagai saluran kepada orang ramai untuk mendapatkan pembelaan dan membuat aduan, antaranya Bank Negara Malaysia yang sentiasa bersedia menerima kunjungan individu atau usahawan yang menghadapi masalah tentang hal-hal yang berkaitan dengan kewangan dan perbankan.



Namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat tidak sedar akan kewujudan saluran-saluran ini.  Contohnya, Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (LINK) yang ditubuhkan pada tahun 2005.  LINK yang memulakan operasi lebih empat tahun yang lalu merupakan pusat sehenti yang menyediakan maklumat kepada orang ramai mengenai perbankan Islam dan konvensional, insurans dan takaful, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pentadbiran pertukaran wang asing, Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), Biro Maklumat Cek, institusi kewangan pembangunan dan hal-hal berkaitan pembiayaan yang lain. Di samping itu, LINK juga memberi khidmat nasihat serta melayani rungutan orang ramai tentang perkara-perkara yang dinyatakan di atas.  


 

Bagi melengkapi perkhidmatan kaunter yang disediakan oleh LINK, Bank Negara Malaysia telah mewujudkan pusat perhubungan yang dikenali sebagai BNMTELELINK pada bulan Julai 2007. Orang ramai boleh berhubung terus dengan Bank Negara Malaysia melalui telefon, faksĂ­mile, surat ataupun e-mel.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :-

BNMLINK (Laman Informasi Nasihat dan Khidmat)
Tingkat Bawah, Blok D
Bank Negara Malaysia,
Jalan Dato’ Onn,
504800 Kuala Lumpur

BNMTELELINK (Laman Informasi Nasihat dan Khidmat melalui Talian)

Talian Bebas Tol     :       1-300-88-5465 (LINK)
Talian Faks               :       03-21741515
Alamat E-mel           :       bnmtelelink@bnm.gov.my

BNMTELELINK
Jabatan Komunikasi Korporat
Bank Negara Malalysia
Peti Surat 10922
50929 Kuala Lumpur

Waktu Urusan: Isnin-Jumaat
9.00pagi  hingga 5.00 petang 

Dalam keluaran yang akan datang, saya akan menerangkan peranan yang dimainkan oleh Biro Pengantaraan Kewangan, sebuah agensi bebas yang ditubuhkan oleh institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia sebagai salah satu infrastruktur perlindungan pengguna perkhidmatan kewangan.

29 October, 2009

Selembar Benang 8


Dalam bahasa Melayu asli, orang kita hanya boleh menghitung sehingga seratus ribu (?) yang dipanggil keti (100,000).  Kata bilangan sebelum keti ialah laksa (10,000).  Sila rujuk Kamus Dewan Edisi ke-4 untuk makna kedua-dua kata aksara (angka/nombor) itu.  Dengan pengaruh bahasa sanskerta, kita mendapat satu lagi kata bilangan, iaitu juta (1,000,000). Antara ketiga-tiga kata aksara tersebut, yang masih bertahan dalam penggunaan hingga sekarang ialah juta, yang mewakili jumlah seribu ribu.  Kata nombor laksa kini telah bertukar menjadi kata nama makanan yang terkenal di Johor, Penang dan Sarawak, iaitu Laksa Penang, Laksa Johor dan Laksa Sarawak.  Manakala kata nombor keti telah lama terkubur.



Pengaruh bahasa Inggeris membawa masuk perkataan milion (istilah lama bagi kata nombor juta), bilion dan trilion pula.  Peminjaman kata bilion dan trilion diserap terus ke bahasa Melayu kerana aksara sebanyak ini tidak pernah tergambar oleh masyarakat Melayu lama (?), Wallahualam. 

Sebermula, maka Raja Suran pun berkira-kira hendak menyerang negeri China. Maka baginda menyuruhlah menghimpunkan segala bala tenteranya. Maka sekalian rakyat pun berkampunglah daripada segala pihak negeri, tiada terpermanai lagi banyaknya. Maka segala raja-raja yang takluk kepada Raja Suran itu pun sekaliannya datang dengan alat senjatanya, dan dengan segala rakyatnya sekali; adalah banyaknya seribu dua ratus laksa. Setelah sudah sekaliannya berkampung, maka Raja Suran pun berangkatlah hendak menyerang benua China. Maka adalah daripada kebanyakan rakyat berjalan itu segala hutan belantara pun habislah menjadi padang, dan bumi pun bergetar seperti gempa, dan gunung pun bergerak runtuh kemuncaknya, dan segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata, dan batu pun habis berpelantingan dan segala sungai yang besar-besar pun habislah kering, jadi seperti lumpur, kerana dua bulan perjalanan rakyat itu tiada berputusan lagi; jikalau pada malam yang kabut sekalipun menjadi terang seperti bulan purnama pada ketika cuaca daripada kebanyakan cahaya senjata dan kilat mahkota segala raja-raja; dan jikalau halilintar di langit berbunyi sekalipun tiada kedengaran daripada kesangatan bunyi tempik segala hulubalang dan sorak segala rakyat, bercampur dengan bunyi gajah, kuda, tiada lagi sangka bunyi. Maka segala yang bertemu dengan Raja Suran itu habislah dialahkannya. Maka segala negeri itu semuanya habis takluk kepada baginda....

Dipetik daripada "Sejarah Melayu", W.G.Shellabear, Fajar Bakti, 1996, Cetera yang Pertama, pp.8-9.

Sambungan Selembar Benang

Ejen vs agen
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi agent ialah ejen yang bermaksud wakil jualan.  Jika ejen dieja agen, makna itu akan berubah kepada sesuatu yang menyebabkan berlakunya tindak balas (proses dsb): ~ pendebungaan.

Agensi vs ejensi
Ejaan bahasa Melayu yang betul bagi agency ialah agensi yang bermaksud organisasi perniagaan. Ejensi pula tidak membawa apa-apa makna.

e-Tip Bahasa Melayu 8


Tidak tahu dari mana asal usulnya, dalam bahasa Melayu sekarang ini terdapat dua pasang rujukan hormat berdasarkan jantina, iaitu tuan-puan dan encik-cik.  Pasangan tuan-puan merupakan rujukan kepada nama orang yang biasanya mempunyai gelaran bukan diraja, seperti gelaran profesional atau gelaran keagamaan, misalnya profesor, Dr., Profesor Madya, Haji dan Hajah, dan menghasilkan sebutan-sebutan seperti Tuan Profesor, Puan Hajah, Tuan Dr., dan sebagainya, sebelum nama sebenarnya  Sebagai sebutan untuk diri orang kedua; kata tuan atau puan boleh digunakan untuk sesiapa sahaja termasuk yang mempunyai gelaran diraja atau yang tidak bergelaran sama sekali.

Pasangan encik-cik pula hanya merupakan rujukan hormat yang digunakan sebelum nama sebenar, misalnya Encik Ali, Cik Aminah dan sebagainya, tetapi tidak nampak rasminya jika digunakan untuk menyebut diri orang kedua.  Contohnya, jika Encik Ali ditulis pada ruang kiri sebelah atas dalam surat rasmi, tetapi panggilan untuk beliau dalam surat itu seterusnya ialah tuan dan bukan encik.  Ayat seperti "surat encik/cik sudah saya terima" akan menjadikan sesuatu surat rasmi itu "kurang rasmi" sifatnya. 

Menurut pakar bahasa di Jabatan Linguistik Melayu, Universiti Malaya, iaitu Profesor Asmah Haji Omar, perbezaan panggilan bagi kategori wanita yang sudah berkahwin (puan) dan belum berkahwin (cik) mungkin bersumberkan bahasa Inggeris yang membezakan panggilan antara Mrs. dengan Miss.  Menurut beliau, pembezaan yang serupa itu merupakan sesuatu yang di luar tabii bahasa Melayu.  Bahkan kebanyakan orang Melayu sendiri pun tidak sedar akan perbezaan itu.  Usaha menimbulkan perbezaan "kahwin-belum berkahwin" itu adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan dan yang sememangnya tidak perlu diada-adakan, kerana perbezaan ini tidak pernah wujud dalam alam bahasa orang-orang Melayu.  Beliau berharap dengan adanya usaha orang-orang barat (Anglo-American) yang cuba menghapuskan perbezaan antara Miss dan Mrs. dengan menggantikan kedua-duanya dengan Ms., orang Malaysia perlulah kembali berfikir dalam alam bahasa Melayu yang lebih waras dan asli.  Orang Indonesia sudah pun menghapuskan penggunaan Nyonya (sudah berkahwin) dan Nona (belum berkahwin) dan kedua-dua panggilan itu telah digantikan dengan kata Ibu atau Bu.


Rujukan Biadap...

(Bergantung pada sistem sosial yang merangkum struktur sosial, susun lapis masyarakat, status dan prestij)

Yang di-Pertuan Agong
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Permaisuri Agong
Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Sultan
Duli Yang Maha Mulia
Sultanah
Duli Yang Maha Mulia
Raja Perempuan
Duli Yang Maha Mulia
Tengku Ampuan
Duli Yang Maha Mulia
Tengku Ampuan (balu)
Yang Maha Mulia
Tengku Mahkota
Yang Teramat Mulia
Raja Muda
Yang Teramat Mulia
Tengku (kerabat)
Yang Mulia
Raja 
Yang Mulia
Sayid
Yang Mulia
Perdana Menteri
Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri (bergelar Tengku/Raja)
Yang Amat Berhormat Mulia
Timbalan Perdana Menteri
Yang Amat Berhormat
Menteri Besar
Yang Amat Berhormat
Ketua Menteri
Yang Amat Berhormat
Wakil Rakyat
Yang Berhormat
Menteri (bergelar Tengku/Raja)
Yang Berhormat Mulia
Wakil Rakyat (bergelar Tengku/Raja)
Yang Berhormat Mulia
Yang di-Pertua Dewan Negara
Yang Berhormat
Yang di-Pertua Dewan Rakyat
Yang Berhormat
Tun
Yang Amat Berbahagia
Toh Puan
Yang Amat Berbahagia
Tan Sri
Yang Berbahagia
Puan Sri
Yang Berbahagia
Dato Seri
Yang Berbahagia
Datin Seri
Yang Berbahagia
Dato’
Yang Berbahagia
Datin
Yang Berbahagia
Toh Puan
Yang Berbahagia
Setiausaha Kerajaan
Yang Berhormat
Pegawai Kewangan
Yang Berhormat
Penasihat Undang-undang Negeri
Yang Berhormat
Mantan (bekas) Tunku Ampuan
Yang Maha Mulia
Undang Luak & Tunku Besar Tampin
Yang Maha Mulia
Anak-anak Raja Bergelar
Yang Mulia
Senator
Yang Berhormat
Dato’-dato’ Kurnia
Yang Berbahagia
Ketua Hakim Negara
Yang Amat Arif
Hakim
Yang Arif
Hakim bergelar Tengku/Raja 
Yang Arif Mulia
Yang di-Pertua Negeri
Tuan Yang Terutama
Gabenor (bukan BNM)
Tuan Yang Terutama
Duta/Duta Asing
Tuan Yang Terutama
Pesuruh Jaya Tinggi Asing
Tuan Yang Terutama
Pegawai-pegawai tinggi kanan tidak bergelar
Yang Amat Berusaha
Pegawai Kanan Yang Tidak Bergelar
Yang Berusaha
Pegawai Daerah
Yang Berusaha
Mufti
Yang Berbahagia
Kadi
Yang Arif
Ketua Pengarah
Yang Berbahagia
Pengarah
Yang Berbahagia
Haji
Tuan Haji (tidak digunakan untuk Hajah)
Orang Biasa
Tuan/Puan


Sambungan e-Tip Bahasa Melayu 

e-Tip kali ini meneruskan perihal kata ialah. Terdapat dua lagi rumusan yang perlu kita fahami sebelum pegangan tentang kata ialah menjadi mantap dalam minda kita.

1.  Kata pemeri ialah tidak boleh hadir dengan kata nafi
Contoh:
Salah: Kakitangan yang baharu itu ialah bukan seorang ahli ekonomi.
Betul: Kakitangan yang baharu itu bukan seorang ahli ekonomi

2. Kata pemeri ialah tidak boleh diikuti dengan kata kerja.
Contoh:
Salah: Kenaikan harga umum ialah disebabkan oleh kenaikan harga bahan api.
Betul: Kenaikan harga umum disebabkan oleh kenaikan harga bahan api.

Posting yang akan datang saya akan membawa isu tentang penggunaan perkataan yang jelas salah dari segi tatabahasa dan "haram" digunakan.


28 October, 2009

Sambutan Kemuncak Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat BNM


Hari ini merupakan hari kemuncak sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat BNM. Acara penting yang diadakan pada hari ini ialah pertandingan berbalas pantun yang berselang-seli dengan nyanyian lagu Dondang Sayang Nyonya Melaka.  Juri pantun yang dijemput ialah Puan Rogayah binti Abd. Hamid, Ketua Jabatan, Pengembangan Bahasa Melayu, Dewan Bahasa & Pustaka, Puan Zaiton bt. Abdul Rahman (Munsyi Dewan) dan Puan Rasanubari (BNM). Pertandingan akhir berbalas pantun ini adalah antara Kumpulan Za'aba (Ibu Pejabat BNM) dan Kumpulan Munsyi Abdullah (BNM Cawangan Johor Bahru).  Setiap pasukan disyaratkan mempunyai seorang pemantun berbangsa asing.  Dato' Zamani, Timbalan Gabenor telah sudi menyampaikan hadiah kepada para pemenang.  Meriah sungguh! Tetapi yang lebih meriah ialah perasaanku. Puas melihat anak-anak muda mengungkap bait-bait pantun warisan nenek moyang kita.   Bertambah puas hatiku pabila anak muda berbangsa India lembut lidahnya melafazkan pantun dengan bersahaja...


Cuba lihat wajah mereka nan ceria...
 
Kami juga dihiburkan oleh
Kumpulan Dondang Sayang Nyonya Melaka



Upacara Penyampaian Hadiah

Sempat juga saya mengambil kesempatan merakamkan
 detik ini sebagai kenang-kenangan

27 October, 2009

Pendeklamasian Sajak Sempena Sambutan Bulan Bahasa 2009


Kemeriahan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Bank Negara Malaysia (BNM) diteruskan lagi pada hari ini dengan majlis Pendeklamasian Sajak bermula pukul 3.00 petang.  Tujuh pendeklamasi dari BNM yang terdiri daripada golongan dan dua jemputan khas, iaitu Prof. Dr. Siti Zainon (UPM) dan penyampai radio Sinar FM, Encik Khairil Rashid telah mengunggap sajak dengan begitu bersemangat sekali.  Tahniah adik-adik...Anda sememangnya hebat...



Pada majlis ini, saya sendiri mendeklamasikan
sajak Baha Zain yang bertajuk:

"Bahasa Melayu Melawan Kembali"
(Catatan tentang kisah antisejarah)

Berhimpun kita beramai-ramai di sini
Memperhitung satu per satu dosa-dosa yang lalu, 
Dosa-dosa kamu yang berdusta kepada bangsamu
Dosa-dosa kamu yang membuat kami
Sedih, merayu, dan sekarang pedih lalu berseru
“Siapakah yang telah berdusta, dan kini menjadi seteru?”
Telah terkorban Temasik  di tangan mereka
Telah putih mata kami melihat  Pedra Branca
Telah kau sunglap bahasa Melayu menjadi Bahasa Malaysia
Dengan sekelip mata, bahasa orang menjadi maharaja
Mengajar anak-anak kecil melupakan warisannya
Mengajar murid-murid sekolah mengejek bangsanya.

Ayuh! mari kita ajar anak-anak itu membaca sejarah
Menghormati yang telah pergi, semasa hidupnya berjerih payah
Zaaba, Sako, Burhanuddin, Boestamam, Samad dan Keris Mas
Dengan mantera dan sihir bahasa ibundanya menyuarakan kemerdekaan
Nah! Siapa hari ini yang berebut kekuasaan, dan mabuk kemewahan? 
Silakanlah, tetapi jangan hina roh-roh  di perkuburan
Dan  rakyat biasa yang masih hidup dengan sisa-sisa perjuangan.

Ayuh!  mari kita tulis  tentang kisah yang hitam
Sebuah tragedi besar sesudah tewasnya Jebat
Darah mengalir dari lantai-lantai Putrajaya
Darah rakyat yang menjadi racun berbisa
Jatuh ke bumi bertahun- tahun padi tak jadi
Mengalir ke lautan jutaan ikan terapung mati.

“Ayuh ! mari kita mara ke depan “
Pesan seorang pujangga
Pasang benteng dengan bahasa
Tancapkan lembing dengan suara
Hanya itulah yang kita ada
Menikam ke rongga-rongga dada mereka.

Ayuh! mari kita berhimpun dan berarak
Kita bakar dengan api puisi dan sajak.

Wahai! Saudara-saudaraku yang muda
Di depanmu ada api, biarkan menyala.
Wahai ! saudara-saudaraku yang muda

Di tanganmu, tergenggam maruah bangsa.


(Baha Zain, Awal Muharam 1430)

26 October, 2009

Apabila bangsa lain berbahasa Melayu lebih baik daripada kita...


Hari ini saya menghadari satu program kebahasaan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 peringkat Bank Negara Malaysia.  Program ini diberi nama "Sepetang Bersama Personaliti Bahasa".  Ia menampilkan beberapa tokoh bahasa dan sasterawan serta individu terkenal dalam bidang penyiaran.  Personaliti-personaliti tersebut ialah Prof. Dr. Lim Swee Tin (UPM), Prof. Madya Dr. Victor A. Pogadaev (UM), Puan Selena Lee (Munsyi Dewan), Encik Karam Singh (TV3) dan Encik Charles Mohan (NTV7).



Dalam program ini tokoh-tokoh tersebut diberi masa selama 15-20 minit untuk bercerita tentang pengalaman mereka mempelajari bahasa Melayu sehingga mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan lancar dan bersahaja.  Saya kagum dengan kemampuan mereka berceloteh dan mengeluarkan hujah secara spontan tanpa memerlukan sebarang teks. Kesimpulan yang boleh saya buat melalui program ini ialah seandainya suatu ketika nanti bahasa Melayu menjadi asing di tanah air ini, keterasingan itu bukanlah kerana faktor lain selain daripada kealpaan bangsaku sendiri...Wallahualam.


Gambar-gambar lain

 



25 October, 2009

Isu lama yang tetap relevan...


Bahasa ialah maruah bangsa dan negara.  Bahasa Melayu akan terus menghadapi cabaran dalam memenuhi peranannya sebagai wahana kebudayaan moden.  Bahasa sebagai salah satu tonggak tamadun bangsa atau jati diri bangsa, tidak boleh tercicir atau tersisih bahkan mesti diperkukuh dan diperluas peranannya. Itulah harapan setiap orang yang berbangsa Melayu.



Bangsa kita sudah tidak berjiwa?

TETAPI, sekonyong-konyong penggunaan bahasa Inggeris sama ada secara formal mahupun tidak formal mengacung dan menjadikan status bahasa Melayu semakin rencam.  Fenomena ini berlaku dalam kedua-dua aspek penting komunikasi, iaitu penulisan dan pertuturan.  Bahkan tanpa disedari seakan-akan bahasa Melayu telah menurun tarafnya menjadi bahasa pengantar kedua selepas bahasa Inggeris. Ini amat bertentangan sekali dengan apa yang tersurat di dalam Perlembagaan Malaysia. Atas sebab itu, jelas terasa bahawa kualiti penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan orang ramai tampak semakin merosot hari demi hari.  Isu mengenai dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang masih belum nampak penghujungnya terus menginjak martabat bahasa Melayu. Yang menghairankan, bangsa Melayu sendiri yang bertelagah tentang hal ini, bangsa lain hanya menonton dan menunggu siapa bakal menjadi pemenang dan siapa pula yang akan kecundang.  Kesudahannya nanti ialah bangsa ini yang akan mengusung keranda bahasanya sendiri menuju ke liang lahad. 

Kini, timbul persoalan adakah suatu masa nanti bahasa Melayu akan pupus?   

Kita dimaklumkan bahawa daripada 6,000 bahasa yang dipertuturkan, hanya 300 sahaja yang dituturkan oleh lebih sejuta orang penutur dan yang lainnya, dituturkan kurang satu juta orang. Dijangka separuh daripada 5,700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad.  Lebih menakutkan, jika dahulu bahasa yang mengalami kepupusan antara dua hingga empat generasi atau antara 50 hingga 100 tahun, tetapi dengan keganasan globalisasi, kadar kebinasaan ini berlaku hanya dalam satu hingga dua generasi.  Bahasa Sanskerta (Sanskrit) yang pernah menjadi bahasa lingua franca atau bahasa global pada masa dahulu, telah pun pupus ditelan zaman. 

Jika hanya berdasarkan jumlah penutur, saya bersikap begitu pesimistik tentang masa depan bahasa Melayu kerana penutur bahasa Melayu secara relatifnya memang sedikit (kurang daripada 25 juta) dan semakin berkurang berbanding dengan penutur bahasa Indonesia yang berjumlah lebih 238 juta orang.  Mujurlah bahasa Melayu diikat oleh Perlembagaan (dalam Perlembagaan disebut bahasa Melayu) yang mampu memanjangkan jangka hayat bahasa itu, meskipun kini namanya telah diwartakan sebagai bahasa Malaysia, bukan lagi bahasa Melayu. 



Wah, sekarang kita menyandarkan pula nasib bahasa kita dengan bahasa Indonesia!  Ada pihak berkata, perbezaan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia umpama perbezaan antara bahasa Inggeris Britain dan bahasa Inggeris Amerika kerana kedua-duanya boleh memahami antara satu sama lain, walaupun berbeza dari segi ejaan dan kosa kata.  Tetapi, saya beranggapan sebaliknya.  Ramai penutur bahasa Melayu tidak lagi memahami apa yang dituturkan oleh bangsa Indonesia, malah setiap filem Indonesia di kaca TV sudah diberi sari kata dalam bahasa Melayu yang menggambarkan bahawa sari kata semakin penting bagi memudahkan penonton faham akan dialog yang diucapkan dalam filem tersebut. 

Justeru, untung nasib bahasa Melayu tidak langsung bergantung pada jumlah banyaknya penduduk Indonesia kerana bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sememangnya berbeza dan kian asing bagi kedua-dua penutur.   Perbezaan menjadi semakin ketara kerana penyerapan kata-kata asing yang amat berleluasa dalam kedua-dua bahasa itu.  Mungkin dalam penyerapan perkataan Arab, Farsi, Tamil, Sanskerta, dan Cina perbezaannya tidak begitu jelas, tetapi penyerapan kata-kata Eropah Barat memperlihatkan perbezaan yang agak menonjol.  Faktor penjajahan menjadikan bahasa Indonesia lebih banyak menyerap perkataan Eropah melalui bahasa Belanda, sementara bahasa Melayu pula lebih banyak menyerap bahasa Inggeris.  Penyerapan kata-kata asing ini memungkinkan suatu hari nanti kedua-dua bahasa tidak lagi saling difahami oleh penutur bahasa Melayu dan bahasa Indonesia. 

Contoh:
Bahasa Melayu
Basikal, polis, polisi (insurans), parti, universiti, ofis, pensyarah
Bahasa Indonesia
Sepeda, polisi, polis (asuransi), partai, universitas, kantor, dosen. 

Selain itu, penyerapan daripada perkataan bahasa Inggeris  bagi bahasa Indonesia diserapkan terus, sebalik bagi bahasa Malaysia, kebanyakan perkataan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. 

Contoh:
Bahasa Inggeris: identity, business, insurance, management
Bahasa Melayu: mengenal pasti, perniagaan, insurans, pengurusan
Bahasa Indonesia: mengidentifikasikan, bisnes, asuransi, manajemen 

Perbezaan dari segi ejaan.
Contoh:
Bahasa Melayu:   erti, harung, putera, beza, kendera, kerana, Isnin, wang
Bahasa Indonesia:  arti, arting, putra, beda, kendara, karena, Senin, uang,   

Perbezaan dari segi sebutan.
Contoh:
Bahasa Melayu:
Mac, Ogos, cabaran, bercakap, kedai, tiket, farmasi, restoran, hospital, zoo, televisyen, ibu pejabat, kereta, tanah
Bahasa Indonesia:
Maret, Agustus, tantangan, berbicara, toko, karcis, apotik, rumah makan, rumah sakit, kebun binatang, televisi, kantor pusat, mobil, lahan. 

Sekarang, mari kita fikirkan apakah faktor lain yang dapat menyelamatkan bahasa kita atau membiarkan sahaja bahasa Melayu terus tercungap-cungap dan semput menuju  ke destinasi akhir yang dinamakan kematian... 


Persemadian Bahasaku